Pages

Wednesday, 7 September 2011

Anak penjual sate, petani, penoreh getah, pembuat pasu dan kerani CEMERLANG dalam (STPM) 2009


Kemiskinan, kekurangan bukan halangan

KUALA LUMPUR 25 Feb. - Anak penjual sate, petani, penoreh getah, pembuat pasu dan kerani merupakan antara sembilan calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2009 yang dinobatkan sebagai pelajar cemerlang.

Ayu Faridah Nor Azman anak seorang penjual sate, Muhammad Najumuddin Firdaus Abdullah anak seorang petani serta Nurul Imani Zakaria anak seorang penoreh getah diumumkan sebagai pelajar cemerlang kerana memperoleh gred A untuk semua kertas peperiksaan yang diambil dan lulus Gred A untuk lima mata pelajaran.

Yap Jun Fai anak seorang kerani, Yong Kai Yi anak seorang peniaga kecil dan Hoo Xiao Mei anak kontraktor kecilan juga menerima anugerah pelajar cemerlang dengan memperolehi keputusan yang sama.

Apa yang lebih istimewa tiga pelajar cemerlang yang diletakkan dalam kategori istimewa juga datang dari latar belakang keluarga biasa di mana Masmin Mensih pelajar cemerlang kategori rabun, ayahnya Mensih Saidin hanyalah kakitangan Jabatan Perhutanan di Sandakan, Sabah.

Pelajar cemerlang kategori istimewa dari kategori spastik, Muhammad Raizan Ab. Rahman yang mendapat tiga Gred A dan satu C bapanya Ab. Rahman Kassim bertugas sebagai kakitangan kerajaan peringkat sokongan.

Sementara Loh Wei Siong pelajar cemerlang bagi Kategori Buta dan mendapat empat Gred A, bapanya Loh Hua Ming hanya bekerja di kilang sebagai pembuat pasu.

Ayu Faridah dari Tanjung Karang, Selangor di mana bapanya sebagai penjual sate meletakkan keazaman untuk mencapai kecemerlangan dan berharap dapat menjadi pensyarah satu hari nanti merupakan pendorong untuk dirinya berjaya.

''Kejayaan ini adalah berkat doa ibubapa, guru dan usaha yang telah dimulakan sejak memasuki tingkatan enam dengan memastikan belajar sekurang-kurangnya dua jam sehari pada sebelah malam,'' katanya.

Manakala Muhammad Najmuddin yang hanya mengharapkan tunjuk ajar guru dan belajar sahaja tidak menyangka akan mendapat kelulusan cemerlang.

Katanya, kekurangan dari segi kewangan di mana tidak mampu untuk ke kelas tuisyen tidak menghalang beliau untuk mencapai kejayaan.

''Apa yang penting ialah untuk mengikuti pelajaran di sekolah dengan tekun dan belajar semula setiap pelajaran yang telah dijelaskan oleh guru berulang kali, itu sahaja formula saya mencapai kecemerlangan dalam STPM,'' katanya.

Sementara Masmin yang menghadapi rabun teruk dan terpaksa membaca buku dengan meletakkannya dua atau tiga inci dari mukanya menegaskan kunci kejayaannya ialah tekun mendengar penjelasan guru di kelas.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...