Kisah si Fakir yang dulu pernah jadi jutawan
BEDAH...duit simpanan hari tua dicuri anak
JAH...pampasan tidak beri kebahagiaan
SEREMBAN: Benarlah kata pepatah, seorang ibu mampu menjaga 10 anak, namun anak yang ramai belum tentu boleh menjaga ibu seorang. Itulah yang dialami bekas peneroka Felda Lyndon B Johnson (LBJ) di Labu, dekat sini, Bedah Ahmad (bukan nama sebenar), 80, yang ditinggalkan bersendirian di hujung usianya.
Biarpun dikurniakan lapan anak, 50 cucu dan 28 cicit, ia tidak menjamin kebahagiaan Bedah kerana tiada siapa sanggup menemaninya kecuali menantu sulung yang menjenguknya sekali-sekala.
Bedah yang tinggal bersendirian di rumah tinggalan arwah suami di Kampung LBJ, Labu, di sini, berkata, dia hanya mengharapkan belas ihsan jiran dan penduduk kampung terutama ketika sakit peningnya.
“Walaupun menantu sulung ada mengajak tinggal sekali, nenek tidak sanggup duduk sebumbung dengan anak yang tidak mempedulikan ibunya. Mereka tidak pernah datang menjenguk kecuali jika perlukan duit.
“Ketika baru menerima pampasan RM1.5 juta daripada kerajaan 13 tahun lalu, semua anak pasti pulang setiap hujung minggu dan berkumpul tapi itu semua hanya tinggal kenangan sebaik duit dibahagikan sesama mereka,” katanya ketika dikunjungi Harian Metro di rumahnya.
Pages
Friday, 2 September 2011
Dulu JUTAWAN Sekarang si FAKIR... Duit Habis Dikebas 8 ANAK DERHAKA!
[BONGKAR] Sejarah Panglima Awang Dilupakan Bangsanya Sendiri !!!
Generasi kini ramai yang tidak mengenali tokoh ini. Masih jelas dalam ingatan ketika belajar subjek sejarah di tingkatan lima kalau tak silap la, nama Panglima Awang hanya disebut sekali. Itupun hanya ditulis di bahagian kanan iaitu dalam sudut info yang bersaiz kecil dalam buku teks tersebut. Maka tidak hairanlah semakin lama, namanya semakin lupus ditelan zaman.
Pejuang Melayu Islam inilah yang sebenarnya telah membuktikan bumi itu adalah bulat selepas terbabit dalam pelayaran bersama Ferdinand de Magellan dari Barat ke Timur. Masyarakat kita terlalu mengagungkan Barat; kita memandang hebat pelayar asing seperti Vasco de Gama, Christopher Columbus dan Ferdinand de Magellan sehingga melupakan sejarah siapakah Panglima Awang.
Kita lupa Panglima Awang adalah manusia pertama mengelilingi dunia. Pemuda berketurunan melayu Islam inilah yang membuktikan Bumi adalah bulat, bukannya Barat. Walaupun Panglima Awang pernah menobatkan martabat bangsa di persada dunia, anak-anak kecil hari ini sudah tidak mengenali jasa mahupun siapa lelaki itu.
Jasa Panglima Awang bukan kecil. Lelaki Melayu itu membuktikan tanggapan bahawa bumi leper adalah salah. Beliau sebaliknya membuktikan bumi itu bulat dan menghubungkan Timur dengan Barat.
Sejarah besar itu bermula ketika Portugis berjaya menakluk Melaka pada 1511. Kisah seorang pahlawan Melayu digelar Panglima Awang atau Enrique dalam menyumbang sesuatu kepada peradaban dunia adalah sebuah sejarah yang jarang diketahui ramai termasuk bangsa Melayu Islam sendiri.
Tewas dalam usahanya menentang Portugis yang cuba menjajah tanah airnya iaitu Melaka, anak muda digelar Panglima Awang dan ratusan lelaki Melaka akhirnya ditawan dan disumbat ke dalam kapal besar milik bangsa Barat itu.
Rakan-rakan lain ramai yang terkorban ketika membela tanah watan, betapa gagah dan meluapnya semangat mengusir penjajah, akhirnya Panglima Awang dan rakan-rakannya tewas dengan kelengkapan senjata senapang dan meriam Portugis.
Dalam kesayuan mengenangkan hilangnya tanah air tercinta akibat dijajah, pemuda-pemuda Melaka dirantai tangan dan kaki mereka serta dikurung di dalam kapal besar itu. Bagaimanapun Panglima Awang diasingkan kurungannya daripada pemuda-pemuda Melaka yang lain.
Kehebatan dan keperkasaannya menyebabkan Wizurai Portugis, Alfonso de Albuquerque menetapkan bahawa Panglima Awang adalah tawanan peribadinya sekali gus hamba kepada dirinya seorang.
Selepas beberapa lama, sauh diangkat dan kapal itu mula belayar membelah lautan meninggalkan bumi Melaka menuju ke benua asing bersama tawanan dan hasil rampasan perang. Kapal itu singgah di Goa dan sebahagian tawanan dijual sebagai hamba di hentian itu. Seterusnya pelayaran diteruskan menuju Lisbon, ibu negara Portugal.
Pelayaran jauh yang memakan masa yang lama ini akhirnya merapatkan hubungan antara kapten kapal, Ferdinand de Maggellan dengan Panglima Awang. Betapa lelaki Portugis itu amat tertarik dengan perwatakan pemuda Melaka itu sehingga Panglima Awang diberi keistimewaan dengan dilepaskan dari kurungan manakala rantai di kaki dan tangannya dibuka. Panglima Awang diarah menjadi kuli di atas kapal sepanjang pelayaran dengan syarat pemuda itu tidak memberontak.
Ketika itu jugalah Ferdinand menukarkan nama Melayu Panglima Awang kepada ‘Enrique’, bagi mengelakkan wujudnya diskriminasi kaum dan agama antara masyarakat Portugis dan kelasi kapal lain dengan pemuda Melaka itu.
Setiba di Lisbon, Ferdinand memastikan Panglima Awang terus bersamanya. Persahabatan yang semakin erat menyebabkan kapten itu mengutuskan surat kepada Alfonso memohon lelaki Melayu itu ‘dijual’ kepadanya. Keizinan diperoleh dan bermulalah hidup Panglima Awang di tanah asing yang jauh berbeza budaya dan bentuk muka bumi berbanding Melaka. Panglima Awang ditugaskan mengusahakan ladang epal di belakang rumah lelaki Portugis itu.
Peribadi mulia dan kegigihan ditunjukkan Panglima Awang semakin membuahkan kepercayaan dan rasa hormat di hati Ferdinand malah turut menarik hati adik lelaki asing itu iaitu Miriam. Hari yang terus berlalu mengeratkan hubungan hati antara dua bangsa itu malah Ferdinand turut merestui hubungan cinta berkenaan.
Sejarah mengelilingi dunia bermula apabila Ferdinand melarikan diri ke Sepanyol bersama Panglima Awang angkara fitnah pihak tertentu yang memusuhinya. Kehebatan, kemahiran dan pengalaman luas selaku pelayar menyebabkan Raja Portugal menghargai Ferdinand tetapi ia turut membenihkan hasad dengki di kalangan musuh yang akhirnya memfitnah kapten kapal itu.
Bagaimanapun, pelarian Ferdinand dan Panglima Awang ke Sepanyol diterima baik ketua negara itu, Raja Charles I, lantaran reputasi Ferdinand selaku pelayar hebat Portugal sememangnya dikenali dan dikagumi orang Sepanyol. Di Sepanyol, kemahiran dan pengalaman luas Ferdinand selaku pelayar dimanfaatkan apabila Raja Charles I mengarahkan lelaki Portugis itu belayar mencari tanah dan harta kepada Kerajaan Sepanyol.
Beberapa tahun diperuntukkan untuk membuat persediaan sehingga beberapa kapal berjaya dibina untuk ekspedisi itu dengan kapal terbesar dinamakan ‘Victoria’.
Cadangan pelayaran Sepanyol itu akhirnya sampai ke pengetahuan pemimpin tertinggi Kristian seluruh dunia ketika itu iaitu Pope di Rom. Pope mensyaratkan jika Sepanyol ingin belayar, mereka tidak boleh lagi menghala ke Timur kerana ia sudah diperuntukkan kepada Portugis. Sebaliknya Sepanyol perlu belayar ke Barat.
Tindakan itu menimbulkan kekhuatiran di kalangan ramai kelasi kerana pelayaran ke Barat masih belum banyak diterokai. Akibatnya, tanpa kelasi, Ferdinand terpaksa mengambil banduan sebagai anak kapal dengan tawaran kebebasan dan kemewahan jika mereka mengikuti pelayaran itu. Selain Panglima Awang, seorang lagi orang kanan Ferdinand adalah Sebastian del Cano dan pencatat pelayaran, Pigafetta.
Pada 1519, kapal besar itu berangkat meninggalkan pelabuhan Seville menuju ke horizon Barat. Pelayaran itu amat sukar berikutan anak kapal tidak berpengalaman malah ada jatuh sakit dan mati. Ramai memberontak dan meminta berpatah balik.
Bagaimanapun penentangan dan konflik yang tidak kunjung padam sepanjang pelayaran sedikit terlerai apabila pelayaran menemui daratan di Barat, kapal itu sudah menjejaki benua baru di Amerika Selatan, setahun kemudian. Pelayaran itu turut menemui Selat Magallaes yang dinamakan sempena nama Ferdinand.
Tidak puas dengan penemuan dunia baru itu, Ferdinand ingin meneruskan pelayaran ke Barat sehingga konflik kembali tercetus di kalangan kelasi. Tanggapan bahawa bumi adalah leper menyebabkan mereka khuatir pelayaran terus ke Barat menyebabkan mereka terjatuh ke bawah dunia.
Walaupun menerima tentangan, Ferdinand meneruskan perjalanan dengan sokongan Panglima Awang. Pelayaran yang memasuki Lautan Pasifik kali itu semakin mencetuskan pelbagai masalah. Beberapa kapal hilang malah krisis bekalan makanan yang meruncing menyebabkan kelasi terpaksa memburu tikus dan lipas sebagai makanan.
Penderitaan di kelilingi lautan akhirnya berakhir apabila pada pertengahan 1521, tilikan Panglima Awang menerusi teropong terlihat sesuatu seperti pohon kelapa dari kejauhan. Berita itu disampaikan dan disambut gembira anak kapal bahawa penderitaan mereka berakhir. Mereka tiba di Pulau Mazzava, Cebu, Filipina.
Berlabuh di situ, Panglima Awang merasakan telahannya yang pelayaran berterusan mereka ke Barat sudah menemui dunia Timur adalah benar apabila mendapati pertuturan penduduk pulau itu menyamai Bahasa Melayu. Jauh di sudut hati, dirasakan negeri tanah tumpah darahnya iaitu Melaka semakin hampir.
Kepastian Panglima Awang dan Ferdinand mengenai bumi adalah bulat dan pelayaran mereka ke Barat sudah tembus ke Timur disampaikan kepada anak buah dan disambut gembira. Bagaimanapun satu kesilapan dilakukan. Kegembiraan kelasi menyebabkan mereka melepaskan bedilan meriam kononnya sebagai keraian tetapi tindakan itu menyebabkan pemerintah Cebu, Raja Hamabun menyangka kehadiran kapal asing itu adalah untuk berperang dan mereka memulakan serangan.
Dalam pertempuran itu, Ferdinand dan ramai anak kapal terbunuh malah kapal Sepanyol itu dihancurkan sehingga tinggal sebuah kapal saja iaitu Victoria yang sempat meloloskan diri. Berikutan Panglima Awang berbangsa asing, Sabastian dipilih selaku kapten tetapi dia tidak memiliki semangat dan pengalaman luas menyebabkan tugas mengemudi pelayaran dilakukan mengikut arahan Panglima Awang.
Pandangan Panglima Awang bahawa mereka sudah hampir dengan Melaka ternyata benar apabila melintasi tanah Semenanjung. Tetapi disebabkan khuatir diserang Portugis yang menguasai Melaka lantaran Sepanyol adalah seteru Portugal, kapal itu tidak singgah di tanah kelahiran Panglima Awang.
Tambahan pula mereka sudah ‘melanggar’ perintah Pope dengan memasuki kawasan pelayaran orang Portugis menyebabkan mereka menukarkan bendera Sepanyol kepada bendera Portugis sebagai penyamaran dan meneruskan perjalanan pulang ke Sepanyol.
Diceritakan Panglima Awang tak pernah sesat
dengan menggunakan kompas ini
Pelayaran diteruskan dan berakhir apabila mereka tiba kembali di Sepanyol. Di hadapan Raja Charles I, mereka menghadap mempersembahkan cerita besar pelayaran mereka ke Barat sehingga pulang dari arah Timur. Bagaimanapun raja itu kecewa kerana bukan bukti besar itu yang dimahukannya, raja itu kepingin harta dan tanah jajahan baru menerusi pelayaran itu.
Memandangkan Panglima Awang berbangsa asing, pengiktirafan sejarah itu diberikan kepada Ferdinand walaupun Panglima Awang adalah orang yang bertanggungjawab menyelesaikan ekspedisi mengelilingi bumi buat julung kalinya selepas Ferdinand gagal dan mati di Cebu.
Pengiktirafan itu turut menenggelamkan nama ‘Melayu’ selaku bangsa pertama yang mengelilingi bumi seterusnya jasa Panglima Awang turut tidak diketahui ramai termasuk bangsa Melayu. Mengikut catatan novel sejarah Harun Aminurrashid, Panglima Awang akhirnya kembali semula ke Melaka selepas bertahun berada di tanah asing.
Fakta Panglima Awang
Walaupun asal usul Panglima Awang sebelum ditawan Portugis masih samar-samar malah nama sebenarnya dalam Melayu masih tidak diketahui, terdapat satu catatan yang ditulis oleh Pigafetta yang mengatakan Panglima Awang sebenarnya berasal dari Sumatera ( anak Minangkabau ) dan ini ada tercatat dalam trombo Minangkabau walau pun bukan disebut sebagai Panglima Awang.
‘Panglima Awang’ hanyalah gelaran diberikan Harun Aminurrasid dalam catatannya mengenai sejarah lelaki itu. Selain ‘Panglima Awang’, tokoh pahlawan Melayu itu turut dikenali sebagai ‘Enrique’, ‘Henry The Black’, ‘Henrich’, ‘Ariberto’, ‘Espinosa’ dan pelbagai lagi mengikut sebutan sesuatu bangsa.
Walaupun nama Panglima Awang tidak tercatat dalam manuskrip sejarah Melayu, namanya tercatat dalam catatan sejarah pelbagai bangsa asing di dunia. Antaranya catatan Itali menyebutnya sebagai ‘seorang lelaki dari Melaka’ selain catatan Pigafetta mengenai pelayaran itu sekali gus membuktikan kewujudan tokoh itu. Bagaimanapun ada juga ahli Barat yang cuba menutup sejarah kejayaan bangsa Melayu Islam ini dengan menafikan kewujudan Panglima Awang.
Kita melihat bagaimana liciknya musuh-musuh Islam dalam menutup kewibawaan seorang Melayu Islam yang pertama membuktikan bumi itu bulat. Kita juga melihat kurangnya usaha daripada pihak kerajaan untuk mengangkat kembali sejarah gemilang ini supaya menjadi tatapan masyarakat kini. Sistem pendidikan kita sendiri pun terlalu mengagungkan-agungkan bangsa barat dan menggambarkan tamadun barat adalah tamadun yang jauh lebih bertamadun daripada kita sejak dahulu,kini dan selamanya.
Nah !!! Bagaimana umat Melayu Islam mahu bangkit jika asyik dibuai lena dan propaganda berterusan begini ???
SEJARAH: MUSLIM HEBAT GEOGRAFI & PEMETAAN
Sejarah Peta Ajaib Piri Reis
Pada tahun 1929, sekumpulan pengkaji sejarah telah membuat penyelidikan di istana Topkapi yang terletak di Konstantinopel, Turki. Di dalam istana itu, mereka telah menemui segulung peta yang berusia ratusan tahun, yang diperbuat dari kulit rusa berukuran 90 x 65 cm. Peta tersebut bertarikh Muharam 919 bersamaan 9 Mac-7 April 1513.
Di atas peta itu, mereka telah menemui beberapa perkara yang aneh dan menakjubkan. Peta tersebut memaparkan outline pantai Amerika Utara dan Selatan dengan pengukuran yang amat tepat. Peta itu juga memuatkan maklumat yang sangat terperinci mengenai Amerika, Lautan Atlantik, Eropah dan pantai-pantai Afrika yang belum dijelajah oleh penjelajah Eropah pada masanya! Satu lagi perkara yang menghairankan para pengkaji tersebut, ia juga memaparkan benua Antartika, padahal wilayah itu belum ditemukan hingga tahun 1818!
Mereka mengkaji lagi. Mereka membuat perbandingan antara jarak pantai timur Amerika dengan pantai barat Afrika pada peta kuno itu dengan jarak yang sama pada peta yang termoden sekali. Sekali lagi mereka tercengang!Sangat tepat dan ini mustahil dibuat oleh pelaut zaman itu kerana kelengkapan dan teknologi mereka umumnya diketahui sangat terhad untuk membuat kerja-kerja kartografi dan pemetaan. Adakah ini mencukupi untuk mengatakan peta kuno ini benar-benar menakjubkan? Tidak. Sebenarnya ada lagi perkara lain yang begitu aneh dan tersangat luar biasa. Tersangat luar biasa bagi sebuah peta kuno yang diperbuat dari kulit rusa.
Peta aneh tersebut ditunjukkan kepada Arlington T. Mallerey, seorang pakar peta kuno. Setelah beberapa lama membuat kajian, beliau akhirnya merasa bingung dengan peta aneh tersebut. Mengapa? Ini adalah kerana data geografi pada peta tersebut tidak berada dalam posisi yang tepat.
Orang-orang disekelilingnya mula 'lega' kerana akhirnya peta tersebut mempunyai kelemahannya. Sudah pasti ada kelemahan kerana peta itu dibuat oleh pelaut-pelaut kuno yang dikatakan hanya mengenal kompas dan bintang-bintang!Jadi apa nak dihairankan, walaupun mereka sedar persoalan bagaimana peta tersebut boleh memaparkan Antartika masih menjadi misteri. Tetapi Mallerey masih sangsi dengan peta itu. Beliau merasakan ada yang tidak kena dengan peta itu. Seakan-akan ada sesuatu yang lebih luar biasa yang ingin ditunjukkan oleh helaian kulit rusa yang berbau hamis itu.
Akhirnya dengan bantuan US Navy Hydrographic Bureau, Mallerey membuat sebuah grid dan memindahkan peta itu ke dalam sebuah glob. Betapa terkejutnya Mallerey karena peta tersebut ternyata sangat tepat!
Kajian demi kajian terus dilakukan ke atas peta yang menghairankan ramai cendekiawan itu.
Kajian lanjutan dilakukan oleh Professor Charles H Hapgood dan Richard W Strachan. Mereka telah mengkaji peta ini berkali-kali dan akhirnya menjumpai satu aspek yang tidak diketahui para pengkaji sebelum mereka. Suatu perkara yang benar-benar mustahil dan luar biasa. Mereka menemukan bahwa peta kuno itu kemungkinan merupakan gambar aerial yang difotokan dari suatu ketinggian tertentu. Sungai, lembah, pegunungan, pulau dan padang pasir, digambarkan dengan ketepatan fotografi yang amat tinggi. Dan tahap fotografi yang tinggi ini hanya dapat dicapai dengan menggunakan satelit!!
Siapakah yang membuat peta yang menakjubkan itu? Bagaimana beliau dapat membuat peta yang begitu tepat dan canggih, yang pada masa kini hanya dapat dilakukan dengan menggunakan satelit? Adakah beliau berasal dari puak Viking, yang terkenal sebagai pelaut yang handal? Atau setidak-tidaknya penjelajah Sepanyol atau Portugis yang mendabik dada kononnya merekalah orang pertama yang mengelilingi dunia? (walaupun sebenarnya Ferdinand Magellan tidak pernah menghabiskan pelayarannya kerana terbunuh di Filipina, tetapi dihabiskan oleh Henry The Black atau Enrique dalam dialek Sepanyol yang nama sebenarnya Hitam berasal dari kepulauan Melayu dan sememangnya orang Melayu!)
Tidak, si pembuat peta ini bukanlah dari kalangan orang Eropah yang kononnya amat pandai dari semua bidang.
Peta itu adalah karya Muhiddin Piri Reis. Beliau ialah seorang pelaut, laksamana angkatan tentera laut Turki dan kartografer Muslim terkemuka dari abad ke-16.
RIWAYAT MUHIDDIN PIRI REIS
Piri Reis lahir pada 1465, di Gallipoli, Turki, yang merupakan wilayah pantai. Ayahnya bernama Haci Mehmet, sedangkan bapa saudaranya merupakan seorang laksamana terkenal ketika itu, Kemal Reis.
Seperti anak-anak yang pada umumnya yang dipengaruhi suasana sekelilingnya, sejak kecil lagi beliau bergelut dengan pantai dan kebiasaan untuk berlayar. Tidak menghairankan ketika umurnya baru 12 tahun, beliau telah bergabung bersama bapa saudaranya, Kemal Reis.
Meskipun masih remaja, rupanya beliau sarat dengan pengetahuan. Beliau tidak merasa kekok berlayar bersama bapa saudaranya. Dan masa itu menjadi awal kepada kerjayanya mengharungi lautan dan samudera bersama Kemal Reis. Selama 14 tahun Kemal Reis memberi bimbingan kepada anak saudaranya itu.
Sepak terjang Kemal Reis di laut lepas, membuatkan Kesultanan Uthmaniyyah memberinya kedudukan terhormat di Angkatan Laut Diraja pada tahun 1494. Tambahan pula tenaganya membuatkan angkatan laut Kesultanan Uthmaniyyah semakin kuat. Mereka terkenal, dengan perjuangan tanpa akhir bagi tegaknya Islam.
Bergabungnya, Kemal Reis di angkatan laut kesultanan, membuat Piri pun akhirnya bergabung pula beberapa saat kemudian. Ia tetap berada di bawah arahan bapa saudaranya, walaupun beliau telah mula dipercayai untuk memimpin pasukan kecil.
Setiap selang waktu, Piri seringkali pulang ke kampung halamannya. Di sana beliau tidak tinggal diam, namun mencatatkan setiap apa yang dilihatnya dari perjalanannya selama ini ke dalam sebuah karya; peta. Terbukti, pada 1513 ia mampu menghasilkan sebuah peta dunia. Dalam karyanya itu, ia memetakan Laut Atlantik serta pantai-pantai di Eropa, karyanya diberi tajuk I-Bahriye.
Pada 1516-1517 Piri Reis mendapat mandat untuk memimpin pasukan Uthmaniyyah melawan Mesir. Dalam kesempatan ini Piri berlayar ke Kaherah melalui Nil dan kemudian menggambarkan sebuah peta dan memberikan maklumat yang terperinci tentang wilayah tersebut.
Setelah Mesir bergabung dengan kesultanan Uthmaniyyah, Piri memiliki kesempatan melakukan hubungan peribadi dengan pemegang tampuk kekuasaan di sana, Yavuz Selim. Beliau memperlihatkan peta hasil buatannya kepada sang sultan. Hasil karyanya itu juga ditambahkan ke dalam Bahriye.
Pertempuran dahsyat Piri alami juga bersama bapa saudaranya ketika melawan pasukan dari Venesia pada 1520. Dan pasukan Uthmaniyyah saat itu mampu memukul mundur pasukan musuh. Hal ini merupakan kemenangan yang besar bagi Uthmaniyyah.
Kegembiraan yang beliau rasakan beberapa saat kemudian berubah menjadi duka. Bapa saudaranya yang dikasihi, Kemal Reis, gugur akhirnya. Untuk menggantikan posisi Kemal Reis, pihak pemerintah kemudian malantik Piri Reis menjadi laksamana Kesultanan Uthmaniyyah.
Meskipun Piri telah menjadi laksamana yang begitu padat kegiatannya, beliau tetap meluangkan masanya untuk menuliskan catatan perjalanannya selama ini. Pada 1528 sampai 1529, Piri melengkapi peta pertamanya yang tercantum dalam I-Bahriye.
Kali ini, beliau berhasil memetakan wilayah Barat Daya Atlantik, sebuah wilayah yang disebut dunia baru yang terletak dari Venezuela hingga bagian selatan Greenland. Jadi tidak hanya kemenangan di laut yang beliau rasakan.
Dengan kenyataan ini, Piri Reis juga telah memberikan sumbangan bagi ilmu pengetahuan, terutama Geografi dan Nautika atau Ilmu Pelayaran. Ilmu yang mereka kembangkan tidak hanya berguna bagi kalangan Islam, namun kepada seluruh dunia.
Sang waktu terus merambat. Piri Reis, sang laksamana, telah memberikan sumbangan bagi kebesaran Kesultanan Uthmaniyyah, juga keharuman Islam. Ia telah melakarkan prestasi besar dengan karyanya I-Bahriye yang menjadi panduan bagi orang-orang setelahnya, dalam berlayar. Beliau akhirnya meninggal dunia pada tahun 1554.
Semua karyanya akhirnya dijumpai oleh dunia moden. Itulah yang diceritakan pada awal artikel ini. Ketepatannya dan bagaimana ia difoto dari pandangan atas amat menghairankan ramai orang. Sehingga ada pendapat yang mengatakan ia menggunakan teknologi makhluk asing!Ada juga pendapat yang mengatakan ia adalah peta yang dibuat oleh bangsa-bangsa yang hilang seperti Atlantis ataupun Lemuria. Bangsa-bangsa ini dikatakan mempunyai tamadun dan teknologi yang tinggi.
Bagaimana Piri Reis membuat peta yang begitu tepat? Mujurlah Piri Reis bukanlah seorang yang kedekut ilmu, tidak seperti sesetengah puak seperti Illuminati yang baru dapat secubit ilmu sudah berlagak sombong dan mengaku Tuhan. Piri menyatakan bahawa peta itu dibuat berdasarkan 34 sumber yang berbeza-beza. Ada 20 peta dari zaman Alexander yang Agung, 8 peta karya ahli geografi Muslim, 4 peta Portugis, dan 1 peta hasil karya Columbus.
Kemudian peta itu disaring, dikaji ketepatannya dan diubahsuai mengikut kepakaran kartografi Piri yang sememangnya banyak pengalaman dan akhirnya kesemua peta tadi diringkas menjadi satu peta dunia. Ini sesuai pengakuan Piri Reis, ''Di dalam abad ini (Pada masa Piri hidup), tidak ada peta seperti peta ini sebelumnya, '' kata Piri Reis lagi, ''Dibuat dengan cara menggabungkan keseluruhan peta menjadi satu skala peta ... maka hadirlah peta yang benar dan yang dapat dipercayai ...''
Walaupun begitu, bagaimana Piri membuat pengubahsuaian sehingga menghasilkan peta yang begitu tepat dan benar melampaui kronologi sejarah amat mengkagumkan. Malah sangat tepat jika ditinjau dari segi kronologi geografi.
Contohnya, Greenland digambarkan sebagai dua pulau yang berbeza. Kejanggalan ini akhirnya pupus setelah ada penyelidikan yang dilakukan ekspedisi kutub yang dilakukan ilmuwan Perancis. Mereka menyatakan bahwa ketika itu terjadi gempa yang membuat lapisan ais merekah dan menghasilkan ruang pemisah.
Pada Januari 1966, di majalah Fate, Profesor Charles H Hapgood menjelaskan penemuan yang mengagumkan tersebut. Ini merupakan hal yang luar biasa, Piri dapat memetakan tempat di mana seorang pun tidak dapat menemukan Antartika hingga 1818.
Menariknya, Hapgood benar-benar tercengang, betapa lengkapnya peta tersebut dan langsung mengubah anggapannya selama ini bahwa orang-orang Islam tidak memiliki ilmu kartografi yang baik!. Ilmuwan Jerman, P Kahle, melakukan analisis dan mengiktiraf bahwa Piri merupakan seorang ahli kartografi yang handal dan terhebat sepanjang zaman.
Jadi bagaimana dengan kita sebagai umat Islam?Adakah kita masih memikirkan bahawa Islamlah pembawa kemunduran, kolot dan ketinggalan zaman? (atau agama keganasan?-ini adalah pandangan paling primitif pada masa kini). Kita diajar di sekolah tentang sumbangan tokoh-tokoh Barat kepada kemajuan dunia, sehingga tergenggam ijazah di tangan pun masih manis mulut memuji-muji kecerdikan tokoh-tokoh Barat.
Tahukah anda para sarjana Barat benar-benar mengagumi para ilmuwan Islam dahulukala?Tahukah anda bahawa untuk membina superkomputer Blue Gene/L (ini adalah superkomputer yang terpantas di dunia, selaju 136.8 teraflop persaat-trillion pengiraan titik perpuluhan persaat) nenek moyang para jurutera IBM yang hidup pada zaman kegelapan Eropah terpaksa melutut meminta secebis ilmu daripada pensyarah-pensyarah mereka yang beragama Islam di universiti-universiti seluruh empayar Islam. Para cendekiawan Barat hari ini telah menulis banyak buku yang merakam sumbangan dunia Islam kepada dunia. Tetapi buku-buku seperti ini cuba digam, diharamkan atau disabotaj oleh pihak-pihak tertentu.
Ini yang berlaku kepada Pengurus Besar Syarikat Hewlett Packard, Minnesota di Amerika Syarikat iaitu Carly Florina, di dalam ucaptamanya ketika pelancaran produk syarikat komputernya, pada 26 September 2001, merakamkan pandangan ikhlas seperti berikut:
"at this civilisation was driven more than anything by invention. Its architect designed buildings that defied gravity. Its matematicians created the algebra and logarithms that would enable the building of computers, and the creation of encryption. Its doctors examined the human body, and found new cures for disease. Its astronomers looked into the heavens, named the stars, and paved the way for the travel and exploration.
While other nation were afraid of ideas, this civilisation thrived on them and kept them alive. When censors threated to wipe out knowledge from past civilisations, this civilisation kept the knowledge alive, and pass it on to others.
The civilisation I'm talking about was the Islamic World, from the year 800 to 1600 which included Ottoman Empire, and the court of Baghdad, Damascus and Cairo, and elightened rulers like Sulaiman the Magnificent"
maksudnya:
"Tamadun ini digerakkan menerusi penciptaan melebihi daripada yang lain. Arkiteknya mereka bangunan menentang graviti. Ahli matematiknya mengasaskan algebra dan logaritma yang membolehkan pembinaan komputer, dan penciptaan kod rahsia. Doktornya menyelidiki tubuh manusia lalu menemui ubat baru untuk penyakit. Ahli astronominya menyelidiki langit dan menamakan bintang-bintang, membuka kearah perjalanan dan pengembaraan. Sementara bangsa lain takutkan idea, tamadun ini terus ke hadapan memajukannya. Apabila halangan mengancam ilmu daripada tamadun silam, tamadun ini menghidupkan ilmu dan mengembangkannya kepada tamadun lain.
Tamadun yang saya maksudkan ialah tamadun Islam dari tahun 800 hingga 1600 yang merangkumi kerajaan Uthmaniyyah dan kerajaan Baghdad, Damsyik dan Kaherah serta pemimpin yang cemerlang seperti Sulaiman yang Agung"
Demikianlah seorang pengurus syarikat komputer yang terkenal, memberikan pendapat ikhlasnya dan meletakkan penghargaan yang begitu tinggi kepada tamadun Islam. Hanya orang yang berfikiran sempit sahaja yang berangan-angan mahu murtad dengan segera kerana menganggap Islam adalah agama kampungan, jumud, kolot dan ketinggalan zaman. Sedangkan orang-orang Barat yang berpendidikan tinggi secara peribadinya (walaupun mereka berusaha menyorokkan pendapat mereka) mengakui peranan Islam terhadap ketamadunan dunia. Namun masih ada segelintir dari mereka yang berani mengakuinya di khalayak ramai, walaupun selepas itu mereka dikenakan pelbagai tindakan dan hukuman.
Tidak lama selepas Carly Florina membuat ucaptama tersebut, beliau telah dipecat dari jawatannya...
Inilah Barat, masih angkuh, sombong dan tetap mahu mengubah sejarah...
Kesultanan Melayu Melaka... BONGKAR KISAH KEJATUHANNYA!
Kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka Satu Konspirasi ???
Sekali lagi sejarah digelapkan. Gelap dan semakin malap dek kerana ramai antara kita yang malas mengkaji dan menggali asal-usul sejarah tamadun kita. Kita hanya menerima bulat-bulat apa yang diajar dalam buku teks sejarah di sekolah, universiti dan lain-lain pusat pengajian tinggi.
Saya percaya banyak sebenarnya yang kita tidak tahu tentang kekuatan sebenar bangsa kita dahulukala dan memang ada pihak berkepentingan yang tidak mahu kita tahu. Pihak yang mana? Banyak... Paling utama adalah penjajah Barat pro Zionis, disokong para pemikir Orientalis. Bersama, mereka amat berkuasa menentukan arah hala-tuju sosio-politik dunia di samping mengawal kurikulum pelajaran sejagat lalu menulis sejarah termasuk tentang tanah-air kita mengikut kaca-mata dan kepentingan mereka sahaja.
Dan saya juga percaya, rangkaian Zionis serta sekutu mereka yang bergerak di balik tabir sambil memakai pelbagai topeng seperti persatuan membela hak asasi manusia dan gerakan politik pembaharuan amat arif akan ilmu jiwa dan sosiologi yang diperlukan untuk meneruskan agenda penggelapan ini kerana memang mahukan umat Islam sentiasa rasa kerdil dan celaru jatidiri akibat kurang faham hakikat asal-usul kita yang sebenar.
Kita sering disogokkan dengan sejarah "rasmi" bahawa keSultanan Melaka yang merupakan simbol kegemilangan bangsa Melayu dahulukala jatuh ke tangan Portugis kerana ia bersifat kuno berbanding kuasa Barat. Kita diajar, budaya ilmu kita tidak sehebat Barat maka itu kita tidak mampu menepis kedatangan mereka. Kita diberitahu berulang-kali, kita kalah kerana pejuang kita cuma mengharapkan keris, tombak dan pedang sedangkan Portugis dan bangsa-bangsa Barat lain memiliki pistol, senapang dan meriam yang mampu membunuh daripada jauh. Maka itu, kita pun digambarkan seperti orang hutan yang duduk atas pokok lalu "sudah patutlah" kita dikalahkan dengan senang. Betulkah semua ini? Pernahkah kita fikirkan apakah kebenarannya secara mendalam?
Pernahkah anda bertanya secara jujur, mengapa Kota Melaka yang digelar Barat sebagai “Venice of the East” boleh kalah dengan mudah? Bukankah ia diakui ramai sebagai kota paling makmur di rantau ini pada zaman itu? Dan untuk mempertahankannya, bukankah Melaka memiliki angkatan perang hebat termasuk kelengkapan laut yang amat besar dan paling canggih di bumi Melayu? Lalu bagaimana ia boleh jatuh ke tangan Portugis yang menurut ceritanya cuma membawa beberapa buah kapal sahaja? Apakah kelengkapan Melaka begitu lemah?
Sejarah rasmi sering menyebut Melaka jatuh kerana kelengkapan moden angkatan Portugis mengatasi kelengkapan kuno orang Melayu. Mereka memiliki meriam-meriam berkuasa tinggi, istinggar (pistol lama), baju dan perisai besi sedangkan orang Melayu kononnya cuma mengharapkan tombak, lembing, pedang dan keris. Pakai pula baju Melayu yang senang dirobek senjata. Orang Portugis pakai baju besi yang tidak lut dek keris. Mana tak kalah Melayu ni? Kuno dan mundur ketinggalan zaman.
Tetapi tanyalah diri anda secara jujur. Apakah orang Melaka yang ketika itu telah lama menerima para pengunjung dan pedagang dari peradaban-peradaban besar seperti empayar Islam di Timur Tengah, China dan India begitu daif dan mundur? Kita telah lama menjalinkan hubungan diplomatik dengan negara-negara yang jauh lebih maju daripada Barat zaman itu. Apakah orang Melayu tidak mengerti keperluan pertahanan untuk menjaga sebuah kota yang menjadi nadi perdagangan Nusantara malah seluruh dunia? Apakah bangsa kita begitu kolot dan bodoh?
Jawapannya tidak sama sekali. Malah, ada kajian yang dijalankan menunjukkan kerajaan-kerajaan melayu di nusantara adalah pembuat dan pengeluar senjata-senjata api terbaik di dunia menewaskan Belanda, Portugis serta Sepanyol. Catatan-catatan pengembara dan pedagang awal Eropah, India dan Cina juga menunjukkan kerajaan-kerajaan nusantara yang mengelilingi kerajaan melayu Melaka ketika itu adalah pengeluar utama meriam-meriam hebat dan berkuasa di dunia seperti Kesultanan Brunei, Kesultanan Pattani, Kesultanan Sulu dan beberapa kerajaan melayu lain di Asia Tenggara.
Malahan, Kerajaan Islam Turki Uthmaniah juga pernah membeli meriam-meriam yang berkualiti daripada kerajaan-kerajaan kesultanan melayu di nusantara. Apakah Sultan-sultan Melaka yang memiliki pelabuhan paling kaya di timur menjadi buta dan tuli tidak mendapatkan senjata-senjata ini daripada kerajaan-kerajaan yang berjiran sedangkan kerajaan-kerajaan Eropah, Timur Tengah, India dan Cina mahupun Jepun berebut -rebut ingin mendapatkan senjata-senjata ini daripada nusantara ini ???
Catatan ketua panglima Portugis, Alfonso di Alburqueque sendiri menyebut, setelah Kota Melaka dikalahkan, Portugis telah merampas 3,000 pucuk meriam dan katanya itu baru separuh daripada meriam milik Melaka. Maknanya kota itu sudah ada 6,000 pucuk meriam ketika itu dan ini adalah cerita 500 tahun dahulu! Ada cerita menyebut, orang Portugis terjumpa sebuah benda ajaib di istana Melaka. Bila dipandang objek tersebut, muncullah muka manusia di dalamnya. Apabila diteliti balik, muka manusia itu adalah muka orang yang memandang. Rupa-rupanya objek itu adalah cermin tetapi orang Portugis baru kali pertama melihatnya! Jadi siapakah yang kuno dan siapakah yang lebih bertamadun? Kalau orang Melaka sudah bertamadun lebih tinggi daripada Portugis, kenapa pula ia boleh jatuh ke tangan Barat?
Kerajaan yang begini hebat di nusantara hanya boleh ditewaskan oleh gabungan tentera-tentera Portugis,Kerajaan-kerajaan kecil di Sumatera dan Jawa,askar-askar upahan dari Goa,Jawa dan Siam ditambah dengan pembelot dan pengkhianat dalam daripada para pedagang asing dan orang-orang melayu sendiri.
Melaka jatuh bukan kerana orang Melayu kuno. Dari dahulu lagi Melaka sudah memiliki meriam-meriam besar, pemuras, istinggar dan lain-lain senjata api. Melayu juga sudah mengenal apa itu baju besi dan sudah mahir menempa baju besi untuk kegunaan ketenteraan. Mereka yang memilih untuk berlawan dengan keris, tombak dan lembing pula bukan calang-calang orang. Bukan tidak pernah melihat senjata moden atau berfikiran kuno. Percaya atau tidak, mereka memiliki kebolehan tertentu untuk mengatasi alatan canggih.
Angkatan laut Melaka yang sering meronda sepanjang Selat Melaka, laluan dagang tersibuk di dunia sampai sekarang pula diakui kecekapannya. Di bawah kepimpinan tokoh-tokoh berwibawa seperti Bendahara Tun Perak dan Laksamana Hang Tuah, ia telah berjaya memukul mundur armada laut Siam, juga ancaman mana-mana pihak. Bukankah ia cukup besar dan kuat untuk menjamin keselamatan penduduk, pendatang dan pedagang sepanjang Selat Melaka?
Mampu meronda dari utara Semenanjung sehingga selatan ke Pulau Jawa, memantau dan menghidu pergerakan musuh sebelum mereka dapat menghampiri pusat pemerintahan di Kota Melaka. Lalu bagaimana Kota Melaka boleh jatuh? Lebih pelik lagi, di manakah angkatan laut Melaka ketika ia diserang?
Bacalah mana-mana buku cerita atau sejarah mengenai kejatuhan Melaka termasuk tulisan Barat yang berat sebelah. Tiada satu pun yang menyebut tentang angkatan tentera laut Melaka yang ikut mempertahankan kota Melaka. Angkatan laut ini langsung tidak terlibat sehingga Melaka dengan senangnya boleh dibedil Portugis dari laut. Tidak ada satu pun kapal Melaka menghalang, tidak ada apa-apa sekatan. Tidakkah ini aneh?
Memang perlu diakui bahawa Sultan yang memerintah Melaka ketika itu telah melakukan kesilapan besar antaranya melantik pembesar-pembesar yang gilakan kuasa serta korup. Sultan Melaka ketika itu juga dikatakan sering berfoya-foya dengan penzinaan dan arak.Wallahualam.
Mereka yang benar-benar berkebolehan dipinggirkan sedangkan pembesar berwibawa yang masih ada menjadi tawar hati. Bagaimana jentera pertahanan hendak digerakkan dengan cekap? Mungkin penduduk Melaka sendiri serta para pedangang luar sudah siap sedia membelot, membuka laluan untuk Portugis menawan Melaka? Atau memang sudah lama wujud gunting dalam lipatan yang inginkan Melaka jatuh sehingga angkatan laut Melaka tidak berfungsi sama sekali?
Ada cerita lama orang tua-tua Melayu menyebut kebanyakan kapal yang menyerang Kota Melaka sebenarnya bukan milik Portugis tetapi Melayu, kapal angkatan laut Melaka juga! Sebuah laporan Portugis pula menyebut mereka ada ternampak sebuah angkatan laut yang dikenalpasti milik orang Melayu sedang disediakan untuk menyerang dari satu tempat di perairan Melaka. Mungkin benar Tun Mutahir sedang bersiap-sedia untuk merampas takhta atau ada pihak lain bertanggungjawab tetapi menuduh Bendahara pula yang ingin berlaku khianat? Yang pasti, ada pihak yang membelot. Si Kitol dan Raja Mendeliar sudah pasti. Namun, masih ada pembelot yang lain yang terlepas daripada catatan sejarah.
Apapun, nasi sudah menjadi bubur. Melaka jatuh dan terus dijajah selama lebih 400 tahun. Sultan Mahmud pula menjadi orang pelarian dan menurut ceritanya, terpaksa meninggalkan Kota Melaka lari selatan ke Muar. Itupun terus dikejar Portugis, tidak boleh duduk aman lama di satu lokasi, terpaksalah hidup merempat dari satu tempat ke satu tempat. Apakah baginda menyesal atas segala perbuatannya dahulu? “Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna!”
Semua rakyat Malaysia perlu mengambil pengajaran daripada peristiwa kejatuhan kerajaan Kesultanan Melayu Melaka ini. Pemimpin yang korup serta tidak amanah, menjual kedaulatan negara haruslah diganti dengan pemimpin yang amanah dan jujur dalam menjalankan tanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara serta yang paling penting mengamalkan perintah Allah dan rasulnya. Pemimpin yang adil diturut, pemimpin yang zalim disanggah !!!
Sejarah Yang DIGELAPKAN! Buta SEJARAH!
[BONGKAR] Kenapa Dunia Menggelapkan Sejarah Raja Soleh Ini ???
Aurangzeb sedang membaca Al Qur'an
Aurangzeb, namanya yang sengaja dihitamkan oleh ahli-ahli sejarah yang prejudis dengan Islam. Kita mengenali tokoh ini melalui buku-buku sejarah yang diajar disekolah-sekolah.
Kata para orientalis dan kebanyakan sejarawan dunia, beliau adalah tokoh yang kejam, tidak bertimbang rasa dan tidak berakhlak. Disebabkan itu, kebanyakan kita menjadi salah seorang dari ribuan orang yang menyanjungi Akbar The Great, Shah Jehan dan lain-lain raja dalam Dinasti Mughal di India.
Akbar tidak patut disanjung seperti yang dicatitkan oleh orientalis-orientalis Barat. Sifat timbang rasa, lembut dan pemaafnya tidak kena pada tempat. Malah beliau adalah penguasa yang jelas menentang hukum-hakam Islam dengan mengadakan pelacur-pelacur di tempat-tempat rehat para musafir di dalam negaranya.
Kemungkaran terbesar yang dibuat Akbar ialah mencipta agama Din ilahi, iaitu agama campuran antara Hindu, Buddha, Kristian dan Islam. Beliau juga terlalu memberi muka kepada penentang Islam dengan menarik semula pembayaran Jizyah sepertimana yang telah ditetapkan oleh syariat.
Sebaliknya, Aurangzeb adalah tokoh yang tegas, berani dan kuat memegang syariat. Beliau juga adalah ahli sufi yang benar-benar kuat menjalankan mujahadah dan latihan-latihan rohani. Beliau juga mujahid yang tidak teragak-agak mengangkat senjata bila keadaan memerlukan.
Sembahyang dan puasanya banyak. Beliau mengharamkan kembali peminuman arak, nyanyi-nyanyian, tarian dan gundik yang telah bermaharajalela dalam istana Dinasti Mughal. Fikiran dan firasatnya sangat tajam dan ini telah dibuktikan dengan beberapa peristiwa.
Satu ketika, peperangan telah meletus antara tentera Islam Dinasti Mughal dengan kerajaan Hindu Mahrata di dalam negara India. Dalam peperangan itu, tentera Islam hampir tewas kerana tentera-tentera musuh telah menggunakan sihir.
Senjata yang mereka gunakan tidak dapat digunakan menentang musuh kerana telah bertukar kepada benda-benda lain. Dengan ini, tentera Islam lemah semangat dan dengan mudah dibunuh oleh tentera musuh. Ternyata tentera Islam tidak dapat mengatasi sihir yang dilakukan oleh tentera musuh.
Berita ini telah diberitahu kepada Aurangzeb. Kerajaan Mahrata jika tidak segera dikalahkan, ini akan memusnahkan kerajaan Islam Mughal dan ini sudah tentu akan membahayakan semua umat Islam di India. Tetapi bagaimana caranya?
Bagaimana dan apakah yang harus dibuat untuk menghadapi tentera musuh yang menggunakan kekuatan sihir ini?
Aurangzeb adalah seorang raja yang sangat soleh. Beliau yakin dengan bantuan Allah dalam menghadapi apa juga keadaan. Dikumpulnya semua tentera Islam dan tiap-tiap senjata yang hendak dibawa bertempur, digantungnya sehelai kain yang bertulis.
Tetapi isi tulisan itu dirahsiakan, dan tiada siapa yang dibenarnya membuka kain yang diikat pada setiap senjata itu akan menjadi pendindingnya.
Tentera Islam pun berperang dengan berani dan penuh keyakinan serta bertawakal kepada Allah. Mereka pun berjaya. Apabila tamat perang, Aurangzeb memerintahkan tenteranya membaca tulisan pada kain yang diikat pada pada senjat, alangkah terkejutnya mereka bila tulisan yang ada pada kain itu hanya perkataan:
Bismillah!
Satu tindakan yang berani yang dilakukan oleh Aurangzeb semasa pemerintahannya ialah mengharamkan muzik. Segala bentuk hiburan selain daripada zikir, selawat dan lagu-lagu memuji Allah dilarang keras.
Tentunya menimbulkan kejutan yang amat sangat dikalangan pemuzik-pemuzik negaranya, kerana selama ini muzik sangat disanjung dan mendapat tempat yang istimewa di hati pemerintah-pemerintah sebelumnya.
Namun bagi Aurangzeb yang tegas berpegang pada syariat, segala bentuk yang haram tetap haram walau disukai ramai. Malah pada muzik membunuh jiwa perjuangan dan menyuburkan rasa khayal kepada cinta masyuk yang diharamkan oleh Islam. Ia berpegang tegas kepada sabda Rasulullah SAW:
“Tidak ada ketaatan kepada makhluk (manusia) dengan bermaksiat kepada Khalik (Allah).”
Tindakan ini menimbulkan rasa tidak puas hati yang sangat meluas dikalangan pemuzik-pemuzik dam mereka yang bersimpati dengannya. Lalu mereka mencari satu jalan untuk membantah undang-undang itu. Untuk bangun menentang secara kekerasan mereka takut kerana mereka arif benar dengan sikap Aurangzeb yang tidak teragak-agak mengangkat senjata demi menegakkan hukum Allah.
Akhirnya mereka sepakat untuk mengadakan demontrasi besar-besaran. Untuk itu mereka telah membuat sesuatu keranda yang besar untuk dibawakan dalam perarakan. Dalam keranda itu mereka isikan segala alat-alat muzik milik mereka. Tentu keranda itu sangat besar memandangkan alat-alat muzik kepunyaan pemuzik-pemuzik di dalam negara India ketika itu sungguh banyak.
Pada hari yang ditetapkan, beraraklah mereka beramai-ramai. Sambil berarak meraka menangis tersedu-sedu. Tangisan ini bergema diseluruh negara menghasilkan satu suasana yang sangat pilu dan dan menusuk jiwa. Rupa-rupanya tangisan itu adalah untuk mengundang raja dan rakyat seluruhnya kepada nasib pemuzik-pemuzik. Keranda besar itu turut di usung beramai-ramai sehinggalah perarakan itu melalui hadapan rumah Aurangzeb. Mendengar suara tangisan yang mendayu-dayu itu, Aurangzeb pun bertanya, “Apakah yang sedang berlaku?”
Orang pun memberi penjelasan bahawa itulah perarakan ahli-ahli muzik. Aurangzeb pun berkata, “Kata kan kepada ahli-ahli muzik itu, cepat-cepatlah mereka kebumikannya kerana aku dan rakyatku tidak tahan lagi bau bangkainya!”
Jawapan ini sangat tepat dan tegas. Ahli-ahli muzik yang mengharap simpati dari Aurangzeb kecewa dan sekarang mereka kenal siapa Aurangzeb sebenarnya. Tetapi dalam hati Aurangzeb, beliau sedar itulah cara untuk menyelamatkan rakyatnya dari dosa dan balasan neraka di akhirat nanti. Dia sedar bahawa dialah yang akan ditanya dipadang Masyhar nanti terhadap apa yang dilakukan pada rakyatnya. Biarlah pahit kerana pahit itu selalunya ubat.
Beliau selalu menangis apabila mendengar nasihat dari alim-ulama. Dia juga sangat serius bila mendengar tarbiyah daripada ulama-ulama tasawuf. Sembahyang tahajudnya banyak, hidup sederhana dan sering berpuasa sunat.
Walaupun istana kerajaan Mughal indah dan mewah, Aurangzeb hanya ada di situ apabila menjalankan tugas-tugas rasmi. Rumahnya yang sebenar ialah rumah kecil yang sederhana.
Aurangzeb memerintah India selama 47 tahun. Iaitu dari tahun 1659 hingga 1707. Dalam menegakkan satu kerajaan yang kukuh ia tidak teragak-agak untuk bertindak demi menegakkan hukum-hukum Allah walaupun terpaksa berhadapan dengan saudara-saudaranya.
Pada beliau, pertalian syahadah melebihi pertalian darah dan saudaranya ialah ialah siapa sahaja yang kuat berpegang pada hukum Allah. Dalam masa pemerintahannya juga, beliau terpaksa berhadapan dengan pemberontak-pemberontak yang telah dimulakan oleh pemerintah-pemerintah terdahulu.
Dengan tegasnya beliau telah menukar nama kota Benares kepada Ahmadabad dan mendirikan sebuah masjid besar yang mempunyai khutbah putih dengan menaranya menjulang tinggi ke langit. Berkat melimpah-limpah semasa pemerintahannya bila hasil pendapatan negara meningkat dengan tinggi melebihi apa yang dicapai semasa pemerintahan Akbar.
Inilah antara usaha kecilku untuk membersihkan nama Aurangzeb dari cercaan umat Islam dari zaman ke zaman. Kita telah diracuni oleh sejarah tulisan para orientalis yang mengagungkan Akbar dan Shah Jehan. Sedangkan mereka berdualah sebenarnya penguasa yang telah mengecualikan tanggungjawab sebagai khalifah Allah. Sedangkan pada kita Aurangzeb yang dituduh kejam itulah sebenarnya mujahid yang bertaqwa.
Aurangzeb merupakan raja yang keras dalam pemerintahannya namun dalam Islam adakalanya memerlukan orang-orang keras supaya Islam dapat ditegakkan. Peribadi Aurangzeb yang tegas ini mengingatkan kita kepada Sayidina Umar Al-Farouq yang terkenal tegas itu serta Umar ibn Abdul Aziz yang terkenal dgn kewarakannya. Dan mereka inilah antara ribuan mujahid-mujahid Islam yang menepati kehendak Allah melalui firman-Nya:
“Muhammad Rasulullah dan orang-orang besertanya, sangat keras dengan orang-orang kafir dan amat berkasih-sayang sesama mereka(umat Islam).”
Inilah agaknya yang dimaksudkan oleh Aurangzeb dengan kata-katanya,
“Kalaupun aku kejam, adalah kerana cinta pada agama semata-mata!”
Jasa-jasa Raja Aurangzeb
1. Menyatupadukan kembali seluruh daerah yang sudah lemah.
2. Empayar Moghul mencapai daerah kekuasaan yang terbesar di India.
3. Menghapuskan saki baki ajaran Din-I-Ilahi yang diteruskan oleh Dara Shikuh.
4. Mendapat sokongan kuat daripada masyarakat Islam kerana dasar-dasarnya hendak mengukuh dan menegakkan Islam, hingga timbul anggapan terhadapnya sebagai 'Wali Keramat'.
5. Mengadakan satu jabatan khusus untuk mengawal akhlak kaum muslimin.
6. Mengharamkan judi, arak dan sebagainya serta masjid-masjid dibina dan diperbaiki tempat-tempat ibadat
7. Mendapat pengiktirafan dan kepercayaan daripada kerajaan-kerajaan Islam lain, dan mendapat penghormatan sebagai pengganti Bani Abbasiyyah.
8. Menyusun Fatwa-I-Alamgiri (mazhab Hanafi) yang diilhamkan dari Syeikh Ahmad
Al Qur'an yang ditulis sendiri oleh Aurangzeb
Anda boleh lihat link-link yang saya sertakan di bawah untuk mengetahui dengan lebih lanjut bagaimana Kerajaan India serta dunia memburukkan nama Aurangzeb hanya sebab dasar agama Islam yang dibawanya. Sememangnya inilah tujuan para orientalis yang bersekongkol dengan musuh Islam mahukan. Nama pemimpin soleh yang dapat mengubah dunia seboleh-bolehnya disampahkan dan digelapkan agar tidak dikenali dunia terutamanya dunia Islam itu sendiri.
Sesungguhnya sejarah itu dapat mengubah dunia, disebabkan itulah kita harus mengkaji dan membersihkan sejarah-sejarah Islam yang sengaja digelapkan oleh musuh-musuh agama Allah. Jika para sejarawan menyatakan seseorang individu itu jahat, maka seluruh dunia juga akan mengatakan begitu. Itulah taktik puak-puak kuffar terutamanya yahudi zionis untuk memburukkan nama Islam di mata dunia. Sedihnya, orang-orang Islam pula hanya mengangguk-angguk kepala setuju dengan apa sahaja yang mereka katakan. Wallahualam.
Semoga Allah Merahmati Abu Mahyuddin Aurangzeb Alamgir.
Subscribe to:
Posts (Atom)