Pages

Showing posts with label Sejarah Bangsa. Show all posts
Showing posts with label Sejarah Bangsa. Show all posts

Thursday, 15 September 2011

Sang "Pelindung" & "Penaung" KEJAM bergelar British: Memali & Batang Kali.

Tentera British bunuh orang kampung Batang Kali

12 Disember 1948.satu sejarah hitam yag tidak boleh dipadamkan dari sejarah tanahair. ini bukti kerakusan dan kejamnya tentera british yang dikatakan datang membawa keamanan di tanah melayu ketika itu..

Ini adalah sebuah cerita pembunuhan beramai-ramai penduduk keturunan Cina di sebuah ladang getah oleh tentera british sebelum tentera penjajah itu membakar kampung mereka.

Platun ke-7, G Company, yang ke-2 daripada Pengawal Scotland mengepung sebuah kebun getah di Sungai Rimoh, Batang Kali, Selangor, di Malaya. 24 orang penduduk yang tidak bersenjata dan tidak bersalah telah dibunuh.



Tanpa kesempatan melarikan diri dan membela diri, penduduk perkampungan itu telah dituduh sebagai komunis, dalam kejadiaan itu seorang mangsa berjaya menyelamatkan diri, selain itu isteri-isteri dan anak-anak mangsa melihat sendiri kejadian kejam itu dilakukan didepan mata mereka.

Pada 1 November 1949 Satu siasatan rasmi telah dijalankan terhadap arahan Attorney-General Malaya pada ketika itu. hasil daripada siasatan tersebut adalah AG berpuas hati yang ‘saspek-saspek (24 lelaki tersebut) mungkin berjaya melarikan diri jika askar-askar tersebut tidak melepaskan tembakan. Siasatan ini tidak pernah diketengahkan ke pengetahuan umum, atau dihantar ke ‘War Office’.

Apa yang menyebabkan peristiwa penting ini menjadi tragedi besar?, dan adakah mereka komunis seperti yang didakwa.

Satu kenyataan Surat Khabar Inggeris (The People) pada 1 Februari 1970 telah membongkar dan mengutuk pembunuhan kejam tersebut. Kenyataan bersumpah daripada Tentera British (bekas Pengawal Scotland) menunjukkan fakta-fakta yang berikut:-

i. patrol tersebut mendapat arahan awal untuk memusnahkan kampung berkenaan;
ii. ahli-ahli patrol telah diberi peluang untuk tidak melibatkan diri dengan pembunuhan itu;
iii. Mangsa-mangsa telah ditembak tanpa mencuba untuk melarikan diri; dan
iv. terdapat konspirasi untuk menipu soal siasat pada 1949.Malah Setiausaha Pertahanan (Dennis Healy) mengarahkan Polis Penyiasat Scotland untuk menubuhkan pasukan tugasan khas (diketuai oleh Frank Williams) untuk menyiasat perkara ini. Hasil daripada siasatan ini, bukti yang kukuh telah dapat dikumpulkan, yang menunjukkan bahawa kejadian pembunuhan kejam di Batang Kali pada Disember 1948 memang sebenarnya telah berlaku.

Istilah Pembunuhan kejam digunakan kerana siasatan mendapati tindakan Platun ke-7, G Company adalah silap, mereka yang dibunuh bukan anggota komunis seperti yang didakwa..

Satu dokumentari BBC pada 9 September 1992 , menyiarkan laporan siasatan mengenai pembunuhan beramai-ramai tersebut yang bertajuk “In Cold Blood” disiarkan di United Kingdom dan mendedahkan bukti baru mengenainya.


Dokumetari tersebut menyiarkan laporan-laporan saksi-saksi dan mangsa-mangsa yang terselamat termasuk pengakuan sesetengah bekas Pengawal Scotland dan temuramah bersama Pegawai Polis Penyiasat Scotland yang telah menyiasat kes ini pada 1970. Ia jelas menunjukkan kesalahan Pengawal-pengawal Scotland berkenaan dan penipuan besar-besaran berkenaan pembunuhan tersebut.Walaubagaiamanapun, tiada apa yang telah dilakukan oleh kerajaan UK selepas itu dan tiada pegawai British yang telah ditahan. 

Umnoapco sebelum ini sibuk menuduh orang itu dan orang ini komunis, walaupun tiada bukti nyata keterlibatan mereka secara langsung dengan komunis, ia sama seperti apa yang telah dilakukan oleh platun ke 7 tentera british dulu.

Fikirkan juga mengapa tentera Britain tergamak membakar sebuah kampung di Batang Kali itu hanya kerana bimbangkan ancaman komunis walaupun penduduk kampung itu sebenarnya tidak bersenjata mahupun membahayakan tentera terbabit,malah tiada bukti mereka terlibat secara langsung dengan komunis, adakah kerana mereka berbangsa cina maka mereka dilebelkan komunis?

Apa yang umnoapco lakukan sekarang sama, walaupun seseorang itu tidak dapat dibuktikan terlibat secara langsung dengan komunis, tetapi jika ia satu ancaman, ia perlu diburukkan dan dicop sebagai bahaya.




Tanggal 19 Nov 1985, Kg. Memali, Mukim Siong, Baling, Negeri Kedah Darul Aman di bumi Malaysia menjadi saksi satu tragedi yang sangat dahsyat dalam sejarah tanah air. Lebih 3000 anggota keselamatan dihantar oleh pihak pemerintah daripada regim Barisan Nasional untuk melakukan aksi penangkapan ke atas seorang tokoh ulama’ yang bersama di dalam Gerakan Islam di Malaysia iaitu Parti Islam Se-Malaysia (PAS).


Beliau yang mesra dengan panggilan Ust. Ibrahim Libya atau nama sebenarnya Ibrahim bin Mahmud merupakan pendakwah tanah air yang sebelumnya pernah berkhidmat bersama Pusat Islam Malaysia. Beliau yang telah sekian lama bersama PAS akhirnya mengambil keputusan meninggalkan Pusat Islam bagi meluaskan lagi ruangnya memberikan perkhidmatan kepada Parti Islam walaupun khidmatnya sangat diperlukan oleh Pusat Islam sehingga beliau pernah dii’tiraf sebagai pendakwah terbaik.

Dengan suaranya yang lantang dan tegas menghadapi kezaliman-kezaliman pihak pemerintah ketika itu yang diketuai oleh Perdana Menteri Tun.Dr Mahathir bin Mohamad, setiap majlis-majlis pidatonya pasti dihadiri oleh ribuan pendengar dikalangan penyokong dan pendokong gerakan Islam. Internal Security Act (ISA) yang dikuatkuasakan oleh pemerintah adalah merupakan diantara perkara yang sangat kuat ditentang oleh beliau selain dari sikap pemerintah yang dilihat tidak memandang Islam sebagai ‘Aqidah Negara serta jalan penyelesaian masalah ummah. Ditambah lagi dengan peribadi pemerintah yang dicemari amalan korupsi dan sebagainya membuatkan Ust Ibrahim begitu bersungguh dalam memberi semangat kepada ahli PAS agar berazam untuk membuat perubahan dalam kepimpinan Negara.

Sokongan dan dokongan kuat dari ribuan umat Islam di Malaysia yang mencintai perjuangan Islam menjadi ‘mimpi ngeri’ kepada pihak pemerintah. Ianya begitu menakutkan mereka yang mengimpikan kekuasaan dapat dipegang selama-lamanya. Akhirnya, pelbagai tuduhan, fitnah dan label-label jahat dilemparkan kepada PAS khasnya Ust. Ibrahim Libya. Alasan-alasan dicipta bagi membolehkan pihak pemerintah dengan mudah menangkap Ust. Ibrahim. Kerjasama antara pemerintah dengan pihak keselamatan mula dilakukan dengan hebat.

Menjelang operasi penangkapan, Kg.Memali dipantau dan dikepung hampir seminggu lamanya. Pertambahan bilangan anggota keselamatan dari sehari ke sehari persis ingin menghadapi satu bala tentera musuh yang besar atau pengganas yang sangat merbahaya yang diperlukan segera. Cerita-cerita karut yang direka mengenai kegiatan Ust. Ibrahim dan pengikutnya di Kg. Memali disiarkan di dada akhbar bagi mengelabui mata orang awam. Ust. Ibrahim yang istiqamah mengajar anak-anak muridnya dikalangan orang tua dan anak muda di Madrasah yang dibinanya dimaklumkan mengajar fahaman salah dan sesat. Semuanya berlaku dalam tempoh menjelang operasi.

Sangat dahsyat. Tanggal 18 Nov 1985, hampir segenap penjuru kampung telah terkepung, dibimbangi ada sasaran yang terlepas keluar. Penduduk Kg. Memali yang begitu setia bersama guru mereka terus bermunajat kepada Allah memohon keselamatan dan bantuan. Persiapan persenjataan ala kadar dengan senjata ‘orang kampung’ disediakan kerana bagi mereka mempertahankan diri dan nyawa yang diancam adalah satu kewajipan yang sangat besar. Namun apalah sangat dengan senjata ‘orang kampung’ berbanding pihak pemerintah yang mengahantar bala tentera dengan kelengkapan seolah-olah menghadapi peperangan yang besar. Berpuluh-puluh kereta perisai disediakan, lori water canon, gas pemedih mata, senjata, pelbagai jenis polis disediakan termasuk Pasukan Polis Hutan dan segala macam kelengkapan lain.

Anggota polis berpecah kepada dua kumpulan akibat berlainan maklumat yang diterima mengenai siapa sasaran dalam operasi ini. Ada yang mendapat maklumat, mereka akan menggempur perkampungan saki baki Komunis dan ada yang mendapat maklumat mereka akan menghadapi kumpulan pemberontak kerajaan. Namun, atas arahan dari pemimpin tertinggi pasukan polis yang mesti ditaati, mereka akur juga walaupun ada yang mengetahui bahawa dihadapan mereka bukanlah Komunis. Selepas kejadian, maklumat diterima bahawa pada malam serangan ingin dilakukan iaitu malam 18 Nov tersebut, sebahagian anggota polis bersuka ria dan berpesta besar di sebuah balai polis di Negeri Kedah. Antara anggota polis yang terlibat didalam operasi ini termasuklah dikalangan mereka yang bukan beragama Islam.

Antara watak utama dibelakang operasi yang disebut ‘Ops Komunis’ ini, Musa Hitam (Tim. PM), Dato’ Yahya Yeop (pemimpin tertinggi Polis Negeri Kedah) dan Dr.Mahathir sendiri . Mereka inilah yang memainkan peranan utama bagi memastikan tertangkapnya Ust Ibrahim Libya pada tarikh tersebut.

Keesokannya harinya, tanggal 19 Nov 1985, selesai Solat Subuh, Ust Ibrahim terus memberikan taujihat penuh bermakna kepada para pendokong perjuangan yang terdiri dikalangan anak-anak muridnya yang setia dengan majlis-majlis ilmu beliau. Antara lain, beliau mengingatkan kepada ahli jama’ah supaya jangan ada yang lari dari perjuangan yang sedang dihadapi ini serta menyebut mengenai kelebihan mati syahid. Seluruh ahli jama’ah semakin kuat azam dan tekad untuk tidak menyerahkan Ust Ibrahim kepada pihak pemerintah. Mereka rela mati demi mempertahankan As-Syahid.

Antara mereka yang rapat dengan Ust Ibrahim ialah Sdr. Yusuf Husein dan Pak Teh Mat Piah (sudah meninggal). Mereka inilah antara yang kerap melakukan rundingan dengan pihak keselamatan pada hari tersebut agar mengelakkan berlakunya pertumahan darah khasnya orng ramai. Namun, Ust Ibrahim tegas dengan pendiriannya untuk tidak menyerahkan dirinya kepada kerajaan yang zalim kerana baginya, beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan atau jenayah. Tugasnya hanya memberi nasihat kepada pemerintah yang begitu kuat menganut fahaman Nasionalisme dan Sekularisme yang bertentangan dengan Islam.

Berita kehadiran anggota polis untuk menangkap Ust Ibrahim akhirnya berjaya dihidu oleh pasukan tentera Malaysia yang berada di Negeri Kedah. Bahkan dikalangan mereka juga terdapat anggota-anggota yang sering mengikuti pengajian-pengajian agama daripada Ust Ibrahim. Beberapa orang dikalangan mereka akhirnya bergegas ke Kg. Memali dan memberikan peringatan kepada pasukan polis agar mengelakkan serangan. Dengan bilangan mereka hanya beberapa orang membuatkan pihak polis tidak mempedulikan. Dikalangan anggota tentera ini ada yang menyebut, “ingat ! hari ini hari kamu. Boleh jadi satu masa nanti kita akan bertempur”. Lalu mereka meninggalkan tempat tersebut.

Setelah dilihat Ust Ibrahim enggan lagi bertemu mereka, akhirnya orang kampung diberi arahan agar berundur ke belakang. Serangan akan dilancarkan. Namun, untuk menerima arahan tersebut tidak semudah itu. Penduduk kampung yang terdiri dikalangan orang tua, kaum ibu, pemuda, wanita dan anak kecil dengan penuh keberanian melaungkan kalimah ‘Allahu Akbar’ berkali-kali bagi menggerunkan pihak musuh. Parang panjang yang sering digunakan dikebun untuk tugasan harian, digenggam erat bagi menghadapi kemungkinan-kemungkinan. Ibu-ibu dengan parang dan buluh-buluh panjang menghalau pasukan polis. Anak-anak kecil yang masih tidak mengerti apa itu perjuangan menghadapi pasukan polis bersenjatakan parang dan pisau.

Pihak keselamatan yang panik akhirnya melepaskan gas pemedih mata dan water canon ke arah orang kampung yang kukuh berdiri tidak mahu berganjak. Seorang kanak-kanak terkena serangan tersebut lalu pengsan dengan mulutnya yang berbuih. Melihat anak kecil tersebut menjadi mangsa, lantas seorang penduduk yang dikenali dengan panggilan Cikgu Shafi’e nekad untuk melakukan serangan balas. Parang ditangan digenggam dan terus berlari ke arah anggota polis. Subhanallah. Belum sempat parangnya singgah ke tubuh anggota polis tersebut, sebutir peluru terus menembusi dadanya. Cikgu Syafi’e menjadi korban pertama tragedi tersebut.

Jerit pekik penduduk semakin kuat apabila serangan bertalu-talu dari kereta perisai polis dilakukan. Seorang demi seorang tumbang menerima hadiah peluru dari Kerajaan Barisan Nasional. Rumah Ust. Ibrahim dirempuh kasar. Akhirnya peluru menghinggapi juga tubuh ulama’, pendakwah dan pemimpin gerakan Islam ini. Diatas ribaan isterinya, beliau menghembuskan nafas. Beliau sempat bertanya, “abang kena apa?”. Si isteri menjawab, “abang ditembak”.

Menjelang waktu Zohor, hujan renyai-renyai turun membasahi Kg. Memali. Hujan rahmat yang turun sebagai saksi kezaliman pemerintah yang rakus mengahdapi rakyat yang serba kekurangan. Operasi pembersihan dilakukan segera agar bau bangkai jenayah mereka dapat ditutup dari pengetahuan rakyat Malaysia. Mangsa yang terkorban diangkut ke dalam trak-trak polis. Didalamnya turut dimuatkan beberapa ekor anjing buat menemani para syuhada’. Ada penduduk kampung yang tercedera disepak terajang. Mereka menyebut, “ ada lagi yang belum mati”. Semua penduduk kampung disumbat ke dalam trak polis untuk dibawa ke balai. Yang cedera dibawa ke hospital. Maklumat dijaga agar tidak sampai kepada media atau orang ramai. Tahanan diugut agar merahsiakan kejadian.


Gambar As-Syahid Ust Ibrahim Libya (kiri bawah sekali)

Beberapa hari kemudian barulah mereka dibebaskan. Jenazah dipulangkan semula dengan bilangan korban seramai 14 orang semuanya. Maka bermulalah perbalahan diantara pihak berkuasa agama (Majlis Fatwa Kebangsaan) dengan penduduk. Mereka mendakwa Ust Ibrahim Libya dan 13 yang lain mati sebagai Syuhada’ dan perlu diuruskan sebagai orang mati syahid. Pandangan ini diambil dari tuan-tuan guru di pondok-pondok Negeri Kedah yang melihat bahawa mereka ini mati kerana mempertahankan agama dan nyawa mereka. Bagi pihak berkuasa agama dibawah pemerintah, mereka terus ditekan untuk mendakwa Ust Ibrahim dan lain-lain mati sebagai Bughah (penderhaka kerajaan Islam) dan wajib diurus sebagai orang mati biasa. Penduduk tetap dengan keyakinan mereka. Akhirnya para korban diurus sebagai syuhada’ dengan tidak dimandikan beserta pakaian mereka yang masih basah dengan darah yang terus mengalir walaupun telah beberapa hari ditembak.

Sehingga hari ini, kes ini yang telah beberapa kali dibawa ke mahkamah sunyi sepi tidak berbunyi lagi. Kes yang masih berada di dalam fail mahkamah ini tidak dipedulikan oleh Menteri Penerangan Malaysia (sebelum ini) iaitu Dato’ Zainudin Maidin. Beliau memperalatkan beberapa klip video tragedi Memali ini untuk menyerang PAS sebagai gerakan ekstremis, radikal, militan dan sebagainya selepas pasca 11 Sept 2001 dengan menggambarkan orang PAS menyerang anggota keselamatan. Hari ini, genap 23 tahun tragedi Memali yang meragut nyawa mereka yang tidak bersalah dan mencederakan beberapa anggota polis yang memang mereka ini tidak tahu pun tujuan sebenar dihantar ke sana pada tarikh tersebut. Mereka tidak bersalah. Bahkan seorang demi seorang orang kampong yang sepatutnya menjadi saksi dimahkamah untuk memfailkan saman kepada kerajaan Barisan Nasional kini telah menghadap Allah s.w.t.

Selepas kejadian tersebut, setiap tahun PAS mengadakan sambutan memperingati Tragedi Memali. Saban tahun juga ada sahaja anggota polis yang secara diam-diam menyalurkan sumbangan kepada PAS, kepada balu-balu syuhada’ dan memohon kemaafan atas kesilapan mereka. Melihat kepada situasi anggota polis yang sangat sedih dan terkilan dengan kejadian ini yang bukan dengan kerelaan mereka dan sangat terharu dengan sambutan memperingati syuhada’ ini , akhirnya atas nasihat dari pimpinan, sambutan yang berjalan beberapa tahun tersebut dihentikan. Wallahua’lam.


Al-Fatihah Untuk Para Syuhada’ Memali

Catatan: Sejarah ini saya paparkan semula bukan dengan niat untuk memprovokasi mana-mana pihak, tetapi sekadar ingin mengingatkan semula generasi hari ini khasnya anak muda bahawa kebangkitan perjuangan Islam pada hari ini adalah hasil pengorbanan generasi terdahulu yang sejarahnya penuh dengan darah dan air mata. Semuanya demi melihat Islam tertegak. Mudah-mudahan sejarah ini menjadi inspirasi untuk kita terus istiqamah, sabar, dan terus berada diatas landasan ini.

Saya juga memohon maaf sekiranya ada maklumat yang saya sampaikan ini tidak tepat kerana semua ini hanya maklumat dari ingatan saya sahaja. Anda boleh merujuk semula buku yang ditulis oleh Cikgu Non (CN Al-Afghani) yang menulis buku ‘Suamiku Kekasih Allah atau buku terbitan PAS Pusat hasil temuramah dengan Sdr. Yusuf Husein (sekarang pimpinan PAS Kedah) atau VCD Ops Hapus Komunis. Jika ada kesalahan, tolong maklumkan di ruangan komentar dibawah ini. Jazakallahu khairan kathira.

Sumber asal oleh : arruhuljadid

BAHAGIAN 2 : Catatan Kronologi Tragedi Berdarah Memali 1985

Berikut adalah catatan terperinci mengenai perkembangan di Kampung Memali, Mukim Siong, Baling yang berkesudahan dengan terkorbannya 13 nyawa bersama Asy-Syahid Ibrahim Mahmud.

Catatan yang dipaparkan di sini merupakan rakaman komputer daripada Signals Division pasukan PDRM yang mengikuti perjalanan tragedi Baling itu untuk maklumat perdana menteri.

Di sini dicatitkan juga fakta mereka yang tercedera dan mereka yang berjaya melepaskan diri daripada kepungan pihak polis. TOP SECRET:

001: Pada jam 1935 Hrs. (18/11/85) berpusat di Kem Pasukan Polis Hutan Sungai Petani, Kedah; 3600 anggota polis daripada pelbagai bahagian termasuk FRU (Penang), Pasukan Senoi Prak, Anggota Polis beruniform, Commando 69, sudah bersiap siaga untuk menerima arahan. Kumpulan ini diletakkan di bawah arahan seorang pegawai tinggi Ibu pejabat di Bukit Aman dan dibantu oleh beberapa pegawai daripada Bukit Aman, Kedah, Perlis, dan Penang.

002: Tepat Jam 1945 (18/11/85) pegawai tinggi yang memerintah daripada Bukit Aman telah mengeluarkan arahan bahawa kumpulan yang bersiap-siaga itu akan menyerang hendap satu kem komunis dalam daerah Baling yang berdekatan dengan sempadan Thailand.

003: Pada Jam 2005 (18/11/85) berlaku satu keributan di bilik operasi Sungai Petani di antara Pegawai Berkuasa pasukan Polis Hutan Sungai Petani dengan Pegawai Tinggi daripada Bukit Aman. Kekalutan ini berasaskan arahan palsu yang telah dikeluarkan. Arahan menyerang dan membunuh penghuni ‘kem komunis’ itu sebenarnya disasarkan ke arah Ibrahim Mahmood, pengikutnya dan sesiapa juga yang hadir di Madrasah yang dibina oleh orang kampung di situ. Pegawai yang mengetuai pasukan Polis Hutan itu telah memberi penerangan kepada Pegawai Tinggi daripada Bukit Aman betapa Ibrahim Mahmud dianggap oleh para pegawai pasukannya sebagai seorang ulama yang berwibawa. Malahan ramai di kalangan mereka adalah penuntutnya. Dilema yang tercetus ini mencetuskan satu suasana yang hening dan sunyi-sepi.

004:(18/11/85) Pegawai Tinggi daripada Bukit Aman telah mencuba menghubungi Penolong Pesuruhjaya Polis di Bukit Aman, tetapi gagal. Kemudian dia berjaya menghubungi Musa Hitam yang ketika itu menjadi Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri. Pegawai Pemerintah Pasukan Polis Hutan Sungai Petani telah diberikan laluan untuk bercakap dengan Musa Hitam. Beliau telah merayu kepada Musa Hitam dan membuat penjelasan betapa Ibrahim Mahmud adalah seorang ulamak yang disegani dan telah banyak berjasa dalam usaha menaikan taraf hidup masyarakat Memali. Malahan, Ibrahim Memali sudah terkenal dan dihormati oleh para sahabat dan lawan. Tetapi, akhirnya diketahui juga Musa Hitam telah memberikan arahan agar serangan itu diteruskan.

Nota Khas:
Kebanyakan anggota polis yang terbabit dalam operasi ini adalah mereka yang bukan beragama Islam. Operasi Khas ini telah diberi-nama “Operasi Hapus” oleh Musa Hitam.

005: Jam 2045 (18/11/85) sebuah majlis keraian telah diadakan di sebuah padang terbuka di Kem Polis Hutan di Sungai Petani. Di sana minuman bir dan minunam keras (arak) telah disediakan kepada semua unit. Namun, ada juga segelintir anggota Pasukan Polis Hutan itu yang tidak minum.

006: Jam 2147 (18/11/85) pegawai pemerintah operasi telah menerima mesej melalui wireless. Mesej yang diterima mengatakan betapa 10 orang komando polis hutan telah berjaya masuk kawasan Memali dan telah pulang dengan laporan penuh. Laporan itu adalah mengenai pergerakan masyarakat yang menghuni Madrasah tajaan Ibrahim Mahmud, yang sudah pun disahkan sebagai sasaran serangan polis itu.

007: Jam 21.47(18/11/85) semua unit telah bergerak di bawah pimpinan lapan pegawai muda. Mereka bergerak memasuki Baling dengan menggunakan dua kereta perisai. Pegawai pemerintah Unit Sungai Petani tidak menunjukkan minatnya ketika itu. Di waktu yang sama, Ibrahim Mahmud sedang memberikan kuliah kepada 50 orang penuntut yang hadir. Kuliah itu berlanjutan sehingga jam 23.45. Setelah selesai ada juga penuntutnya yang pulang ke rumah mereka sedangkan yang lainnya tidur bermalam di Madrasah itu.

008: Pada Jam 24.00 (18/11/85) Pegawai pemerintah daripada Bukit Aman telah menerima arahan terakhir mengenai ‘Operasi Hapus’ itu. Ketika itu berlaku sedikit kekesalan di kalangan pasukan daripada Sungai Petani. Mereka mahukan operasi itu dilakukan dengan mengadakan sekatan dan kepungan untuk mendesak Ibrahim Mahmud menyerah diri. Ketika itu ditaksirkan, tindakan mengepung itu mungkin membawa kesan hanya selepas tiga bulan. Cadangan unit Sungai Petani itu telah disanggah oleh Pegawai pemerintah daripada Bukit Aman. Beliau telah disokong oleh pegawai lain yang datang daripada Bukit Aman, dan juga OCPD Baling. Mereka berpendapat bahawa strategi yang melecehkan itu mungkin membabitkan pergeseran di antara pihak polis dengan anggota tentera yang berkhemah di sempadan Malaysia/Thai di Sik dan Baling. Kecurigaan mereka ini muncul kerana 90% anggota tentera yang disebutkan itu memang menyokong pergerakan Islam dan juga Ibrahim Mahmud.

Keadaan kelam kabut muncul lagi. Sekali lagi Musa Hitam di hubungi. Pada kali itu, pegawai yang berkuasa diberitahu bahawa Musa Hitam tidak dapat di hubungi kerana beliau telah pergi ke sebuah hotel di Kuala Lumpur. Di waktu yang sama Timbalan Menteri hal Ehwal Dalam Negeri, Radzi Ahmad sedang mengikuti perkembangan dengan berada di Ibu pejabat Polis Penang. Beliau sedang mengikuti perkembangan ‘Operasi Hapus’ itu. Tidak berapa lama kemudiannya Musa hitam telah menghubungi pihak polis dengan suara yang seolah marah dan rasa terganggu. Musa tidak banyak bercakap cuma mengeluarkan perintah untuk melakukan operasi penghapusan walaupun ia bermakna secara menyeluruhi Negeri Kedah.

Catatan di Kampung Memali: Seorang pemandu motorsikal dilihat berhenti di hadapan pintu-gerbang rumah yang dihuni oleh Ibrahim Mahmud. Seorang muda dilihat berlari ke arah pintu rumah itu meminta kebenaran untuk masuk. Dia telah memberitahu penghuni rumah itu betapa dia ternampak satu kumpulan polis yang ramai di Baling setibanya di pekan itu. Ibrahim Mahmud telah dikejutkan dari tidurnya. Begitu juga halnya dengan 39 orang lain yang telah berjaga malam di Madrasah itu sebelumnya. Mereka dikerah bersiap sedia untuk mempertahankan diri. Mereka mula mengumpulkan segala alat yang ada di rumah kampung seperti kapak, pisau, buluh runcing dan sebagainya. Yang lebih berani telah membuat bom molotov pula. Dengan lain perkataan, setiap insan di situ ada alat senjata yang boleh dipergunakannya.

Dalam kumpulan yang bertahan itu ada empat kanak-kanak dan lima kaum wanita. Ibrahim telah mengajak para pengikutnya untuk berwuduk daripada sebuah telaga yang berhampiran. Mereka telah melaksanakan solat sunat dan juga solat hajat. Mereka membaca Surah Yaasin dan berzikir. Ibrahim Mahmud kemudiannya memberi ucapan betapa beliau lebih rela bersyahadah daripada menyerahkan dirinya untuk dijadikan alat mereka yang mahu menaikkan semangat nasionalisme. Ibrahim telah meminta sesiapa yang curiga dengan hasratnya itu meninggalkan kumpulan mereka. Tidak ada sesiapa yagn mahu berganjak daripada tempat duduknya. Laungan Allahuakbar mula bergema, bertalu-talu dan memecah keheningan Kampung Memali. Yang hadir lebih memilih jalan ‘syahid’ daripada terus hidup mengabdikan diri ke jalan yang hina. Di waktu yang sama di Stesen Polis Daerah Baling, segala persiapan untuk menyerang kampung Memali semakin dipercepatkan. Semua itu dilakukan oleh kebanyakan anggota polis
yang telah mabuk ataupun tidak keruan fikirannya.

009: Jam 0100 (19/11/85) 3,600 (Tiga Ribu Enam Ratus) anggota polis bersama pegawainya telah tiba di Kampung Memali. Mereka lengkap bersenjata automatik dan tiba dengan kereta perisai. Mereka mula mengepung kampung itu. Ketika itu Musa Hitam tentu sekali masih lagi berada di hotel kerana dia tidak dapat dihubungi. Semua urusan komunikasi dilakukan pula dengan timbalannya yang bertahan di Ibu pejabat Polis di Penang. Kebanyakan anggota polis yang tiba di Kampung Memali itu masih lagi beranggapan mereka akan menyerang sebuah kem komunis. Itulah maklumat yang diberitahu kepada mereka oleh Pegawai Tinggi daripada Bukit Aman. Di waktu yang sama kumpulan daripada Sungai petani hanya kecil sahaja dan masih samar akan tugas mereka.

010: Jam 0300 (19/11/85) Kampong Memali telah dikepung seluruhnya oleh pihak polis. Polis yang beruniform ditugaskan membuat sekatan jalan raya. Pasukan Polis Hutan telah diarahkan ke bahagian Selatan. Pasukan FRU (Polis Gerak Khas: kaki-pukul) diarahkan ke bahagian utara. Pasukan Komando 69 (Polis Hutan) telah dikerahkan di bahagian belakang rumah Ibrahim Mahmud yang juga merupakan sekolah agamanya.

011: Jam 0336 (19/11/85) Pegawai Tinggi daripada Bukit Aman yang memerintah Operasi Hapus itu telah bercakap menggunakan pembesar suara. Dia mahukan Ibrahim Mahmud menyerah diri. Ibrahim Mahmud berbincang dengan penghuni rumahnya itu. Mereka membuat pendirian untuk tidak menyerah diri walaupun pasukan yang datang itu berpakaian seragam melambangkan wakil negara. Mereka bertakbir dan laungan Allahuakbar mula berkumandang semula.

012: Jam 0400 pagi (19/11/85) satu kumpulan manusia yang berjumlah 30 orang termasuk wanita dan kanak-kanak tiba-tiba muncul daripada bahagian utara . Mereka berlari di tengah-tengah benteng pasukan Polis Hutan dan juga Komando 69 dan membawa senjata tajam yang sering mereka gunakan ketika bertanam padi. Mereka cuba memasuki rumah Ibrahim Mahmud untuk memberikan sokongan. Anggota pasukan Komando 69, yang masih lagi mabuk dan kurang berdisiplin itu telah menembak ke arah penduduk kampung yang sedang berlari itu. Tetapi, mereka tersalah sasar, maklumlah kerana masih mabuk lagi. Namun tindakan mereka itu membuatkan orang kampung berpatah balik kerana ketakutan. Tindakan melulu Pasukan komando itu telah mengena seorang pegawai kanan Pasukan Polis Hutan. Seorang pegawai rendah dan juga seorang konstabel pun turut terkorban. Tembakan ke arah orang kampung yang tidak berdosa oleh satu pasukan yang khayal telah tersesat kepada badan pasukan kawan
sendiri.

Satu perundingan telah diatur untuk menenangkan keadaan. Operasi mengepung masih lagi berkuatkuasa. Tetapi, beberapa pegawai daripada Alor Star telah meminta agar pengepungan itu dibatalkan sahaja. Mereka telah mengambil iktibar daripada kematian tiga orang sendiri disebabkan tindakan yang songsang. Permintaan mereka telah ditolak oleh pegawai pemerintah.

BABAK DUA

013: Jam 0521 (19/11/85) Azan subuh berkumandang di rumah Ibrahim Mahmud. Suara yang sungguh sayu itu menjentik sentimen anggota polis daripada Alor Star. Mereka semakin mencurigai matlamat operasi polis itu. Ibrahim Mahmud mengimamkan solat pagi itu dan suaranya semakin jelas ketika itu. Di waktu itu Pegawai pemerintah Operasi telah mengeluarkan arahan agar pasukannya mula menyerang. Beliau telah ditentang oleh pegawai yang beragama Islam.

014; Jam 0559 (19/11/85) Solat Subuh pun selesai dan pengepungan diketatkan lagi. Tiba tiba, satu kumpulan orang kampung muncul untuk memasuki perkarangan rumah Ibrahim Mahmud. Mereka terpaksa menentang pasukan Polis Hutan. Mereka menyerbu ke rumah Ibrahim bersenjatakan senjata kampung dan sambil menggenggam tangan mereka melaungkan Allahuakbar. Melihatkan perbuatan orang kampung itu pegawai pasukan Polis Hutan mengarahkan pasukannya untuk berundur dan tidak menentang mereka. Mereka hanya diarahkan bertahan sambil bersiap sedia sahaja. Masa terus berlalu, operasi untuk menghapuskan Ibrahim Mahmud itu semakin menyerlahkan kejijikannya. Keadaan hari yang semakin siang telah menyerlahkan betapa operasi itu bertujuan melindungi rahsia kejijikan perancangannya. Kini, unsur kerahsiaan itu telah terdedah sama sekali.

Nota Khas:
Sebelum operasi itu dilancarkan ramai pemimpin beragama Islam telah ditangkap. Kita boleh menyoal diri kita apakah keheningan malam telah mampu menggelapkan kejijikan operasi semacam itu ?

015: Jam 08.15 (19/11/85) setelah mendapat kelulusan timbalan menteri hal ehwal dalam negeri pegawai pemerintah operasi telah memberi arahan agar dua kereta perisai mula menyerang rumah Ibrahim Mahmud. Mereka telah dihalang oleh balingan bom molotov.

Ini membuatkan pasukan polis itu berundur sambil terus memuntahkan peluru senjata automatik ke arah rumah yang dikepung itu. Di waktu yang sama empat orang wanita dan tiga orang kanak-kanak berlari keluar rumah itu. Mereke diarahkan oleh Ibrahim agar melarikan diri. Mereka telah dikepung dan ditangkap oleh pihak polis dan dihumbankan ke dalam trak polis yang diawasi oleh anjing penjaga. Ketika itu juga serangan diteruskan. Tembakan pihak polis disambut dengan laungan Allahuakbar sahaja secara berterusan.

016: Jam 11.05 (19/11/86) Komando 69 diarahkan menyerang rumah Ibrahim.

017: Jam 1136 (19/11/85) pasukan Komando 69 telah menyerbu masuk dengan senjata yang dipetik. Berlaku beberapa pergelutan di mana Ibrahim dan orang-orang yang masih bertenaga terus melawan. Ada juga ahli rumah yang keluar untuk berlawan dengan anggota polis di kawasan halaman. Polis terus menembak mereka walaupun mereka sudah tidak bersenjata lagi. Hanya Allahuakbar yakin mampu mereka ucapkan sehinggalah nyawa hilang dalam perjuangan itu. Ramai yang mati sedangkan ada juga bilangannya yang cedera teruk sahaja.

Beberapa orang anggota komando telah menyerang Ibrahiml Beliau telah melawat merka dan mampu membunuh salah seorang yang menyerangnya. Tetapi beliau terkorban akhirnya setelah dada sebelah kanannya dituju berpuluh kali. Ibrahim gugur dengan genggaman tangannya berkepal ke atas sedangkan mulutnya masih lagi melaungkan Allahuakbar. Seorang pegawai polis berlari meluru ke arahnya untuk mengepung kepala Ibrahim ke ribanya. Ibrahim kedengaran bersuara:
“Alhamdullilah, kerana mengorbankan kami ke jalan mati syahid.”

018: Jam 1213. Serangan pihak polis ditamatkan. Mereka yang telah ditangkap telah disungkup dengan karung guni. Beberapa anggota Komando 69 telah dilihat menendang badan yang terbujur itu untuk menentukan mereka sudah mati. Ada pula yang terus menembak mereka lagi sambil berkata; “Pergi jahanam dengan Islam”.

019: Jam 1305 (19/11/85) Pegawai pemerintah operasi telah membuat laporan kepada Ibupejabat Polis Penang dan juga kepada Musa Hitam di Kuala Lumpur. Musa Hitam mengarahkan agar semua orang kampung ditangkap untuk menahan agar rahsia operasi itu tidak terdedah.

020: Jam 1500 (19/11/85) kerja-kerja menangkap saki baki orang kampung dilakukan. Mereka diterbangkan dengan dua helikopter polis. Mereka yang cedera dan mati dihantar ke hospital di Sungai Petani dan Alor Star. 4 mati syahid di Sungai Petani dan 10 yang sudah mati dibawa ke Alor Star, termasuklah Ibrahim Mahmud.

021: Jam 1510 (19/11/85) Sektiar 30 anggota tentera lengkap dengan senjata automatik tiba di hadapan rumah Al syahid Ibrahim. Berlakulah pertelagahan di antara pegawai petugas di kalangan pasukan polis yang mengwasi tempat itu dengan ketua anggota tentera yang tiba di situ. Anggota polis yang ramai itu diberikan arahan untuk bersiap sedia dengan senjata mereka. Menyedari betapa bilangan mereka kecil dibandingkan dengan anggota polis yang bertugas di situ pihak tentera pun meredakan keadaan. Ketuanya pernah berkata: Hari ini hari kau…..Kau boleh lakukan apa yang kalian mahu. Tetapi ingat, akan timbul satu hari nanti, kami akan menentang kamu dengan kekuatan yang setara. “

BABAK KETIGA

Setiap insan yang waras di kalangan marhaen di negara ini tentu dapat membuat penilaian akan laporan mengenai Al syahid Ibrahim Mahmud. Beliau bukannya seorang penjenayah seperti yang digambarkan oleh Musa Hitam. Namun, akhbar New Straits Times bertarikh 21/11/85 menerbitkan satu tajuk yang bertulis: Empat anggota polis dan 14 penjenayah mati dalam pertempuran. Di akhbar yang sama Musa Hitam telah menuduh Ibrahim Mahmud bersama 13 rakannya sebagai penjenayah dan penganut ajaran sesat. Beliau telah menyanggah kenyataan yang dikeluarkan oleh majlis Agama Islam Kedah yang berkata: “Ustaz Ibrahim hanya memberikan ceramah agama.

Lagipun dalam satu pertemuannya dengan pihak akhbar Musa Hitam telah mengulangkan cerita bagaimana dia telah diseranah dua kali oleh persidangan UMNO kerana tidak bertindak tegas terhadap aktiviti keagamaan seperti yang dilakukan oleh Ibrahim Mahmud itu. Kalau kita pertimbangkan segala fakta yang terserlah, termasuk keputusan pemilu di mana BN hanya mampu menang tipis, kita boleh membuat kesimpulan betapa ‘Operasi Hapus’ adalah satu tipu muslihat untuk menghapuskan Ibrahim Mahmud bagi kepentingan politik UMNO. Mereka mahu menentukan terhapusnya rintangan dalam menentukan kemenangan kerusi Bayu/Baling dalam pemilu yang mendatang.

Dilemma UMNO

Di manakah prioriti UMNO selepas episod Memali? Kalau UMNO memperakukan ianya sebuah parti Islam, episod Memali membawa erti bahawa para pemimpinnya telah memperlekehkan Allah. Bukankah mereka yang telah merencana pembunuhan di Memali itu sehingga tergolongnya beberapa insan sebagai mati syahid? Kalau para pemimpin UMNO memperakui bahawa parti itu condong ke arah nasionalistik, ia bererti bahawa para pemimpin itu sudah menderhaka kepada banganya kerana terbunuhnya orang Melayu. Bukankah itu kaum yang mahu dilindungi oleh UMNO?

Tindakan yang dilakukan oleh segelintir pemimpin UMNO ini akan mencetuskan peperangan saudara di kalangan orang Melayu. Cara nyawa diperlekehkan telah membuatkan ramai ahli UMNO yang kecewa dengan kepimpinan Timbalan Presiden Parti, Musa Hitam. Beliau memang semacam giankan kesamsengan dan kini menerima padahnya. Rakan sejawatnya dalam kerajaan Idonesia bernama General Benny Murdani pernah berkelakuan serupa dan dibenci oleh rakyatnya. Kini Musa menerima jolokan sebagai ‘haiwan politik’ dan juga ‘penghapus orang Islam’. Murdani adalah seorang agen Zionis, kerana dia bukan beragama Islam. Tetai kenapakah Musa Hitam mengikuti gelagat Murdani?

Tindakan yang dilakukan oleh UMNO menunjukkan parti itu bukan lagi memberi kepentingan terhadap keluhuran Islam dan juga orang melayu. Ironisnya Islam dan Bangsa Melayu menjadi alat UMNO untuk terus mempertahankan kuasanya. Kumpulan ultra Cina dan India sedang bersepakat secara senyap di kalangan mereka. Mereka berjaya memperalatkan individu Melayu yang ternama sebagai juara tempelan mereka. Untuk menyelesaikan keadaan yang semakin menjadi satu masalah besar ini, Dr. Mahathir perlu menulis lagi mengenai dilemma UMNO. Kesan tragedi Memali telah membuatkan Kampung Memali bertukar rupa daripada sebuah kampung yang aktif menjadi sebuah kampung yang dihantui seribu kenangan pahit. Ramai penduduk asal kampung itu telah melarikan diri kerana takutkan ancaman polis.

Seramai 159 penduduk kampung pernah ditahan oleh polis Dosa mereka terletak kepada keyakinan diri mahukan ajaran Islam yang direstui Allah. Mereka ini termasuk beberapa anak-anak kecil dan warga tua sedang ditahan dalam tiga buah bilik kecil di sebuah kem tahanan. Kaum wanita dibiarkan berkumpul dengan kaum lelaki. Tidak ada kemudahan bersolat. Mereka kerap didera dan diaibkan. Anak-anak kecil dilihat menangis mencari ibu-ibu yang sengaja dipisahkan dari mereka. Setiap tahanan diberikan makanan berupa satu mangkuk kanji setiap hari. Sesiapa yang cedera parah dihantar ke hospital Sungai Petani ataupun Alor Star. Mereka hanya diberikan layanan pesakit luar, satu penghinaan yang berlanjutan. Kalau keadaan tidak diperbaiki ada di kalangan mereka yang akan mati syahid pula.

Tiga belas daripada yang mati syahid termasuk Ibrahim Mahmud telah disemadikan di satu kubur panjang di Parit Panjang, Baling. Mereka disemadikan dengan pakaian mereka yang berlumuran darah itu. Seorang mangsa lagi telah disemadikan di Alor Star di atas permintaan ibunya. Kes ini kini dianggap sudah tamat oleh Musa Hitam dan juga pengarah Operasi Hapus itu. Kumpulan ultra yang bukan beragama Islam memang menantikan berlakunya peperangan saudara hasil episod Memali ini. Kini, orang Melayu sudah sedar betapa berbahayanya semangat nasionalisme dan kuasa yang didorong oleh semangat semacam itu.

Kepada golongan yang mati syahid, episod yang berlaku adalah merupakan kemuncak kehidupan mereka. Mereka sudah pulang kepada pencipta-Nya dan di waktu yang sama mereka telah membawa satu arus kesedaran kepada orang melayu di negara ini.

Mereka telah menyedarkan betapa orang Melayu harus berganding bahu dengan saudara Islam di seluruh dunia. Dengan cara itu barulah kita faham apa ertinya menjadi seorang muslim.

Dengan arahan yang dibuat oleh Musa Hitam, ramai orang yang tidak berdosa telah ditangkap dan ditahan. Mereka dikumpulkan di satu tempat yang tidak selesa dan menjiikkan. Hingga hari ini jumlah merka yang ditahan dan nama yang telah ditahan secara tersilaf tidak pun diterbitkan. Mereka yang ditahan itu tidak pernah dibawa ke hadapan mahkamah untuk didakwa. Kenapakah kerajaan tidak melakukan tindakan yang serupa seperti kes BMF? Apakah Episod Penghapusan Memali itu dilaksanakan sebagai melencongkan perhatian rakyat terhadap rompakan di siang hari yang paling terbesar dalam sejarah negara ini? Berbilion dana kepunyaan rakyat telah lesap dan seorang insan yang jujur telah dibunuh.

Namun, pihak kerajaan masih mahu berahsia dalam hal BMF itu dan perkara itu masih belum mampu diselesaikan. Sebaliknya pula, apabila seorang ulama cuba memberikan khidmatnya kepada rakyat jelata, dan membantu mereka menaikan taraf hidupnya, beliau telah dikepung dan ditahan untuk dibunuh dengan kejam. Di manakah letaknya erti kehakiman, keadilan dan kebenaran itu? Mereka yang bertanggungjawab dalam Episod Memali harus ditangkap dan dibawa ke mahkamah. Darah orang Melayu tidak sepatutnya dibiarkan mengalir di atas bumi orang Melayu dengan alasan songsang betapa Islam menyokong nasionalisme. PAS dan juga seluruh organisasi Islam telah mendesak agar ditubuhkan satu suruhanjaya diraja untuk membongkar kisah Tragedi Memali itu.

Satu Kertas Putih perlu dikeluarkan dan untuk sementara waktu sebarang usaha untuk mengadakan pemilu harus ditangguhkan.

Kata-kata Kenangan Kepada Yang Syahid:


“Janganlah kamu mengira bahawa orang yang gugur di jalan Allah itu mati; bahkan mereka itu hidup di sisi Tuhannya dengan mendapat rezeki.”

27 hb November, 1985 14 hb Rabi-ul-awal 1406.
Suara Islam Malaysia. “

SAJAK TERAKHIR USTAZ IBRAHIM LIBYA BERTAJUK PESANAN TERAKHIR

Saudara!
Seandainya kau tangisi kematianku,
Dan kau siram pusaraku dengan airmatamu
Maka Diatas tulang-tulangku
Yang hancur luluh,

Nyalakanlah obor buat ummat ini
dan……………….

Teruskanlah perjalanan ke Gerbang Jaya.
Saudara!!!!!!!
Kematianku adalah suatu perjalanan
Mendapatkan Kekasih yang sedang merindu
Taman-taman syurga Tuhanku bangga menerimaku
Burung-burungNYA berkicak riang menyambutku
Bahagialah hidupku di Alam Abadi.

Saudara!!!!!!!!
Puaka kegelapan pasti akan hancur
Dan alam ini akan disinari fajar lagi
Biarlah rohku terbang mendapatkan rindunya.
Janganlah gentar berkelana di alam abadi
Nun!!!!! disana fajar sedang memancar…………………..

Monday, 12 September 2011

Bertaubat & Bertaqwa Kerana Menuduh British.Sebagai Penjajah!




Pelindung Tanah Melayu, Sir Andrew Clarke
Saya semakin gila dengan ulasan bertalu-talu dari seseorang yang dianggap berkeahlian dalam bidang sejarah, iaitu Profesor Dr Zainal Kling. Katanya , Tanah Melayu tidak pernah dijajahtapi hanya dinaungi atau dilindungi oleh British

Lalu, di sini saya(lepas ini akan digantikan dengan perkataan aku),mewakili rakyat Malaysia ingin memohon maaf kepada pihak British kerana telah menuduh British sebagai penjajah yang datang untuk mengaut kekayaan Tanah Melayu, terutamanya getah dan bijih timah.

Aku juga menyeru kepada semua warga Malaysia agar bertaubat dan bertaqwa di atas dosa-dosa silam kerana menuduh British.

Warga Malaysia kena faham, sesungguhnya kedatangan British telah membawa rahmat ke atas segenap penghuni Tanah Melayu. Segenap ruang dan ceruk di Tanah Melayu telah mendapat berkat akibat kedatangan British. Bukan hanya manusia, malah monyet, musang,kera dan babi hutan, turut mendapat rahmat daripada kedatangan British.

Kepada pihak British, maafkan aku kerana terlupa isi-isi penting Perjanjian Pangkor yang telah engkau tandatangani pada tahun 1874. Mujurlah Profesor Datuk Dr Zainal Kling memberitahuku dan seluruh warga Malaysia, sesungguhnya tidak pernah tercatat dalam perjanjian itu bahawa Tanah Melayu akan dijajah, sebaliknya hanya dilindungi atau dinaungi. Aku yakin dengan kata-kata Profesor Datuk Dr Zainal Kling itu, sebab sepanjang aku mempelajari sejarah, tidak pernah aku mendengar Sir Andrew Clarke yang menandatangani Perjanjian itu melafazkan niat “ Sahaja Aku Menjajah Tanah Melayu.” Dikatakan Sir Andrew Clarke ingin menjajah Tanah Melayu tapi beliau terlupa untuk berniat, jadi penjajahan dianggap tidak sah lalu bertukar menjadi naungan dan perlindungan.

Kepada pihak British,dengan ini aku menyeru diriku sendiri dan seluruh warga Malaysia agar tidak lagi menggelar BAPA KEMERDEKAAN kepada Tengku Abdul Rahman, tapi aku ingin memanggilnya sebagai BAPA NAUNGAN. Beliau tidak layak digelar Bapa Kemerdekaan sebab Tanah Melayu Tidak Pernah Dijajah, tapi beliau sangat layak dilabelkan diistiharkan sebagai Bapa Naungan sebab Tanah Melayu hanya dinaungi dan dilindungi.


Naungan!... Naungan!... Naungan!... lafaz keramat daripada Bapa Naungan Malaya.. Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.
Kepada Pihak British, aku juga ingin memohon maaf di atas segala peristiwa berdarah yang dicetuskan oleh para ‘penderhaka dan pemberontak’ seperti Tok Janggut, Dato Bahaman, Dato Maharaja Lela, Haji Abdul Rahman Limbong dan ‘penderhaka-penderhaka’ yang lain. Mungkin mereka tidak tahu niat sucimu yang ingin melindungi Tanah Melayu. 



Jika mereka tahu niat kedatanganmu ke Tanah Melayu hanyalah untuk melindungi dan menaungi Tanah Melayu tentu sahaja mereka tidak ‘menderhaka’. Mungkin ‘penderhaka-penderhaka’ itu terlupa tentang satu kenyataan. Iaitu, jika pihak British bukan penjajah, maka pemerintah dan penguasa Tanah Melayu secara total adalah Raja-Raja Melayu.


Wahai Tok Janggut, wahai Dato Bahaman, wahai Haji Abdul Rahman Limbong. Kamu semua telah tersalah menghala senjata. British datang untuk melindungi dan menaungi kita dan bukannya menjajah serta merampas hasil bumi kita. Negari-negeri kalian ditadbir oleh Sultan kalian masing-masing. British tidak kacau dan British juga tidak ganggu urusan pentadbiran negeri kalian. British cuma melindungi dengan penuh kasih sayang.


Jadi kalian telah menderhaka kepada Raja-Raja. Pantang anak Melayu derhaka kepada Raja. Jangan jadi Hang Jebat wahai Tok Janggut. Jebat itu penderhaka. Jangan jadi macam Nizar wahai Dato Bahaman. Nizar itu penderhaka. Lupakah kamu, betapa Tun Perak sanggup kematian anak secara percuma kerana tidak ingin menderhaka kepada Sultan Melaka. Lupakah kamu, betapa Hang Tuah sanggup mengadaikan cintanya terhadap Tun Teja kerana Sultan Melaka.


Sesungguhnya Kamu telah menentang Raja-Raja Melayu, sebab Raja-Raja Melayu adalah pemerintah kamu ketika itu. British bukanlah penjajah dan bukan juga penguasamu ketika itu. Brtish datang dengan niat yang suci murni untuk melindungimu dan negerimu. Jika sekiranya kalian tidak menentang British, tentu sahaja Tanah Melayu akan aman dan tenteram dari sebarang ancaman. Tapi kalian tersilap langkah, kalian telah mengancam keselamatan dalam negeri dengan memerangi manusia berhati mulia,iaitu pihak British.


Sekali lagi, aku mewakili seluruh rakyat Tanah Melayu yang kini dikenali sebagai Malaysia setelah kemasukan Sabah dan Sarawak, ingin memohon jutaan maaf kepada pihak British. Dan dengan ini, aku berjanji untuk tidak menyambut hari kemerdekaan pada tahun-tahun akan datang. Cuma, aku ingin menyambut Hari Naungan.


Dan, mulai detik ini aku sudah lupa apakah persitwa yang berlaku pada 31.ogos 1957. Aku juga berharap agar dapat melupakan tarikh tersebut secepat mungkin, kerana ia amat tidak penting untuk dikenang. Kerana ia satu tarikh yang penuh dengan pembohongan. Macam mana Tanah Melayu boleh merdeka jika Tanah Melayu tidak pernah dijajah.  




(rujukan;bicaradariaku)

Sunday, 11 September 2011

Apa Makna Merdeka Andai Tidak Pernah Dijajah..

Tanah Melayu: Merdeka Yang Sudah Tiada Makna.

Pada tanggal ‎11 Syawal 1432 Hijrah, bersamaan 9 September 2011 Masihi, tercatatlah satu sejarah bagi sebuah negara Malaysia. Peristiwa tersebut benar-benar menyentap emosi jutaan warganegaranya, apabila selama 54 tahun setiap anak warga ini diasuh dan didik bahawa tanah tercinta ini pada suatu ketika dahulu pernah dijajah oleh suatu bangsa berhidung mancung, berkulit cerah, rambut sedikit ikal, anak mata kebiruan, berbaju bertai, jalan berkasut, dan  makan bersudu yang datang ke mari untuk membantu mentamadunkan umat Melayu yang kononnya hidung penyek, kulit sawo matang, rambut serabai, mata terbeliak, berkain sarong, berkaki ayam, dan makan mencangkung persis monyet yang sedikit maju hanya kerana sudah pandai berbaju. Peristiwa yang dimaksudkan adalah berdasarkan suatu kenyataan secara terbuka oleh seorang sejarahwan yang bukan calangan, tersemat gelaran profesor dipangkal nama membuktikan ketinggian ilmunya, bergelar Datuk sebagai tanda banyak jasanya dan hebat pengaruhnya, malah tika ini menduduki kerusi sebuah majlis bernama Majlis Profesor Negara (MPN) yang penuh yakin berkata;
“Fakta sejarah menunjukkan Tanah Melayu tidak pernah terjajah (oleh British). Ini mesti dibaiki dari sekarang oleh semua pihak sama ada pelajar, guru, ahli politik atau pentafsir politik. Dinaungi tidak sama dengan kolonial. Hanya tiga negeri sahaja yang merupakan tanah jajahan iaitu, Singapura, Melaka, dan Pulau Pinang. (Negeri-negeri) yang lain adalah dinaungi (atau) dilindungi. Sejak mula Tanah Melayu bukan tanah jajahan atau koloni. Ini fakta sejarah dan perspektif sejarah (itu) perlu diubah. Jangan kita sebut, kita terjajah selama 400 tahun. Itu adalah kesalahan yang amat besar.” Prof Datuk Dr Zainal Kling. [1]
Maka, gegak gempitalah seluruh warganegara setelah mendengar khabar berita ini, hampir menyamai kegemparan dunia dilanda tsunami di Acheh dan di negara Matahari Terbit sebelumnya. Gembira bercampur pilu, terharu bercampur keliru, tatkala kalimat ‘Tanah Melayu tidak pernah terjajah!’ Keadaan ini mencetuskan suatu efeksi yang sungguh luar biasa. Isu-isu panas lagi kontroversi berkaitan soal undi dan ekonomi yang sebelumya mendominasi, tiba-tiba bertukar sunyi terkubur mati. Isu liwat, meliwat, diliwat dan terliwat tiba-tiba hilang tidak sempat menyempat warga tahu siapa meliwat dan diliwat. Isu Mismah seorang ‘warganegara 48 jam’ yang baharu tiba-tiba disahkan sebagai si pengundi baru, para PATI kerja buruh binaan sehinggalah tukang pam minyak ‘diputihkan’ dengan diberi pengampunan sampai ada yang tersenarai dalam senarai boleh mengundi PRU, bekas-bekas perwira negara bergelar tentera bangkit mengakui dahulu dipaksa memangkah undi pos bagi mewakili sekalian banyak perwira negara bagi memenangkan calon parti berlambang ‘timbang kati’ garam, gula, dan tepung ubi. Sebuah rumah bertanggakan batu, berdindingkan papan, dan bertiangkan kayu tiba-tiba heboh lagi kecoh setelah didapati ‘berhantu’ berjumlah lapan sekali gus bukan satu.[2] Di sebalik ketakutan itu terselit suatu kisah lucu apabila para ‘hantu’ itu hidup rukun di bawah gagasan 1Malaysia, kerana ada ‘hantu’ yang berkulit putih kuning langsat ada juga ‘hantu’ berkulit hitam manis si tampuk manggis.
Bagi warganegara yang mempelajari sejarah sebagai suatu mata pelajaran ‘wajib lulus’ PMR dan SPM pastinya terkejut. Lebih-lebih lagi kepada warganegara yang bakal menduduki peperiksaan tersebut selang beberapa bulan sahaja lagi. Sudah sedia maklum, sejarah merupakan suatu subjek yang menekankan soal angka keramat disebut ‘tawarikh’ atau tarikh dan mementingkan fakta serta pembuktiannya berdasarkan huraian serta contoh. Jika bersandarkan pada kenyataan  Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosio-Budaya Majlis Professor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Zainal Kling seperti mana dinyatakan di atas, maka pastinya mendatangkan kekeliruan yang maha luar biasa hebat. Menambahkan lagi kekeliruan tersebut apabila buku-buku berkaitan soal Sejarah Malaysia di pasaran ketika ini ‘menongkah arus’ dengan kenyataan profesor berkenaan. Bagi warganegara yang mempelajari sejarah sebagai suatu disiplin ilmu pengetahuan tidaklah begitu terkejut, tetapi lebih kepada rasa teruja kerana peristiwa tersebut sedikit sebanyak membuka ruang dan peluang seluas-luasnya kepada seluruh warga untuk berdiskusi, bertukar pandangan dan maklumat, mencambahkan idea selaki gus merangsang otak supaya terus berfikir mencari kebenaran sejarah.
Penulis lebih berminat untuk merujuk sejarah daripada tokoh sejarahwan muslim, Ibnu Khaldun kerana ramai yang meyakini Ibnu Khaldun sebagai ‘Bapa’ dan pencetus filsafat sejarah kerana memandang sejarah bukan sekadar metode untuk menuliskan peristiwa zaman, tetapi juga menjelaskan tentang hubungan sosial dan faktor yang sangat berpengaruh pada fenomena-fenomena zaman. Bagi Ibnu Khaldun, sejarah baginya bukan hanya laporan dan keterangan tentang peristiwa semata-mata, tetapi juga mengajak untuk mencari faktor penyebab lahirnya sesuatu peristiwa. Ibnu Khaldun mengatakan bahawa;
“Sejarah secara lahirnya adalah catatan kisah tentang para pendahulu, pemerintahan-pemerintahan dan peristiwa di masa lalu. Tapi di balik itu sejarah sebenarnya ada pemikiran dan pencarian ilmu tentang faktor-faktor penyebab hakiki lahirnya peristiwa, kerana itu ia bersumber dari hikmah kebijaksanaan."
                Atas dasar melihat sejarah bukan hanya sekadar laporan dan keterangan tentang peristiwa semata-mata inilah, maka penulis berasa terpanggil untuk turut serta memberikan pandangan melibatkan isu yang hangat diperkatakan ini. Seringkali kita dengar dan baca, manusia belajar dari kesilapan. Kesilapan adalah sejarah, iaitu sejarah yang tidak boleh diubah, tetapi menjadi pendorong semangat, tauladan, sempadan dan juga sebagai panduan kepada kehidupan manusia itu. Samada ia mengambilnya dengan perasaan positif atau negatif, itu berdasarkan matlamat jelas untuk masa hadapannya. Ada orang yang mengelak kesilapan dengan belajar dari sejarah orang lain, namun atas dasar berhati-hati, ada sejarah yang telah dimanipulasi, seorang tokoh pejuang misalnya, dikatakan pengkhianat dan begitulah sebaliknya, seorang pengkhianat, dikatakan pula seorang pejuang. Keadaan inilah yang sedang melanda negara ini. Tidak kira berlatar belakangkan siapa, bermula daripada seorang profesor sejarahwan terkemuka, sehinggalah kepada seorang budak kampung yang baharu tamat pengajian di universiti sambil menunggu-nunggu kerja yang akan datang entahkan bila. Masing-masing sibuk mencari fakta-fakta dengan menyelongkar buku-buku di kotak-kotak yang sebelumnya tersusun rapi di atas almari, merajinkan jari-jemari menaip sesawang internet mencari bahan, maklumat dan bukti, sambil mengisi masa lapang daripada sibuk merempit sakan, berkepit gaban dan bercintun cintan.
            Kenyataan yang penuh kontroversi itu mengingatkan penulis kepada seorang sejarahwan barat, J.C. Bottoms yang pernah berkata tentang pola penulisan sejarah orang Melayu secara umum;
“History to the Malays has not until recently been either a science or an art but an entertainment. Accuracy, complete­ness, organised exposition are not the vital principles; what best pleased were legend, fantasy and a pleasant hotchpotch of court and port-gossip. This fairly describes for instance, the Sejarah Melayu.”[3]
Di­ sini seolah-olah J.C. Bottoms hendak menyamakan karya sejarah tradi­sional itu seakan-akan cerita penglipurlara atau karya sastera yang lain. Tetapi, setelah merujuk kepada kenyataan Prof Datuk Dr Zainal Kling ini seolah-olah membenarkan kenyataan J.C. Bottoms bahawa Sejarah Melayu adalah sebagai seni hiburan. Ya, seni hiburan, tetapi hiburan yang penuh kepalsuan dan kebodohan. Seperti sambutan Hari Kemerdekaan pada setiap tahun apabila menjelang tarikh keramat 31 Ogos. Bermula dari tahun 1957 sehingga kini 2011, maka sudah 54 kali negara menyambut ‘pesta hiburan’ sambutan kemerdekaan palsu ini. Bermakna juga sudah enam orang Perdana Menteri diperbodohkan hidup-hidup apabila setiap kali menjelang 31 Ogos, kerana mereka inilah yang mengetuai laungan merdeka..! merdeka..! merdeka! Di atas pentas di hadapan jutaan rakyat yang turun menjadi pak turut.
            Menurut Prof Datuk Zainal Kling, sejak Perjanjian Pangkor ditandatangani pada tahun 1874, tidak pernah tercatat dalam perjanjian itu bahawa negeri akan dijajah, sebaliknya hanya dilindungi atau dinaungi. Ya, penulis bersetuju dengan fakta yang dikemukakan oleh profesor ini, bahawa dalam Perjanjian Pangkor pada tahun 1874 ini             sememangnya TIDAK tercatat walau satu perkataan ‘jajah’, menjajah’, ‘terjajah’, atau ‘dijajah’ kecuali istilah ‘Tanah Jajahan’ yang tidak termasuk sebagai konteks perbincangan. Berikut adalah teks perjanjian yang diambil daripada Perjanjian dan Dokumentasi Lama Malaysia, Kuala Lumpur: ITNMB (2008) ;

“Bahawasanya keadaan huru-hara sedang berlaku dalam Kerajaan Perak disebabkan oleh ketiadaan pemerintah yang tetap di Negeri itu dan tidak wujud kuasa yang berkesan untuk melindungi rakyat dan untuk menjamin hasil usaha mereka, dan
Bahawasanya sebilangan besar orang Cina yang diupah dan sejumlah besar wang yang dilaburkan dalam perusahaan bijih timah di Perak oleh rakyat British dan lain-lain yang bermastautin dalam Tanah Jajahan Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen, dan lombong serta harta tersebut tidak dilindungi secukupnya, dan kegiatan lanun, pembunuhan, pembakaran sengaja berlaku dengan berleluasa di negeri tersebut, dan ini menyebabkan perdagangan dan kepentingan British terjejas teruk dan keamanan serta ketenteraman Petempatan British yang berjiranan dengannya kadang-kadang turut terancam, dan,
Bahawasanya sesetengah Pembesar semasa Kerajaan Perak telah menyatakan ketakmampuan mereka mengawal kacau-bilau yang melanda sekarang ini, dan bersama-sama dengan mereka yang berkepentingan dalam perusahaan negeri ini telah memohon bantuan, dan, Bahawasanya Kerajaan Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen terikat oleh Syarat Persetiaan bagi melindungi Kerajaan tersebut dan membantu pemerintahnya, maka dengan ini,
Tuan Yang Terutama SIR ANDREW CLARKE, K.C.M.G., C.B., Gabenor Tanah Jajahan Negeri-Negeri Se1at, sebagai mematuhi permintaan tersebut, dan dengan tujuan membantu pemerintah tersebut dan bagi mewujudkan penyelesaian yang berkekalan terhadap masalah di Perak, telah mencadangkan Perkara perkiraan yang berikut sebagai yang boleh mendatangkan manfaat bersama kepada Pemerintah Bebas Negeri Perak, rakyatnya, rakyat Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen dan orang lain yang bermastautin atau yang berdagang di Negeri Perak, iaitu:-
I. Pertama. - Bahawa Raja Muda Abdullah diiktiraf sebagai Sultan Perak.
II. Kedua. - Bahawa Raja Bendahara Ismail, yang sekarang ini menjadi Pemangku Sultan, dibenar mengekalkan gelaran Sultan Muda dengan diberi pencen dan sebuah Wilayah kecil diserahkan hak kepadanya.
III. Ketiga. - Bahawa segala pelantikan Pegawai-pegawai besar lain yang dibuat pada masa Raja Bendahara Ismail menerima alat kebesaran diraja, hendaklah disahkan.
IV. Keempat. - Bahawa kuasa yang diberikan kepada Orang Kaya Menteri ke atas Larut oleh Al-Marhum Sultan hendaklah disahkan.
V. Kelima. - Bahawa semua hasil negeri hendaklah dikutip dan semua pelantikan hendaklah dibuat atas nama Sultan.
VI. Keenam. - Bahawa Sultan menerima dan menyediakan sebuah kediaman yang sesuai untuk seorang Pegawai British yang dinamakan Residen, yang akan ditauliahkan ke istana Baginda, dan nasihatnya mestilah dirninta dan diambil tindakan atas semua persoalan selain yang menyentuh agama Islam dan adat istiadat orang Melayu.

VII. Ketujuh. - Seorang Penolong Residen, iaitu seorang Pegawai British yang bertindak di bawah Residen Perak, dengan kuasa yang serupa dan tertakluk hanya kepada Residen tersebut hendaklah ditempatkan di istana Gabenor Larut.
VIII. Kelapan. - Bahawa pembiayaan untuk Residen-residen ini dan Perjawatan mereka hendaklah ditentukan oleh Kerajaan Negeri-negeri Selat dan menjadi tanggungan pertama daripada hasil Negeri Perak.
IX. Kesembilan. - Bahawa peruntukan diraja yang mengawal selia pendapatan yang akan diterima oleh Sultan, Bendahara, Menteri, dan Pegawai lain hendaklah menjadi tanggungan seterusnya daripada hasil tersebut.
X. Kesepuluh. - Bahawa pemungutan dan pengawalan segala hasil dan pentadbiran am negeri dikawal selia di bawah nasihat Residen-residen ini.
XI. Kesebelas. - Bahawa Persetiaan di mana Pulau Dinding dan pulau-pulau Pangkor telah diserahkan kepada Great Britain telah tersalah faham, dan dengan yang demikian, maka perlulah diselaraskan semula supaya dapat dikuatkuasakan tujuan sebenar para penggubal
Persetiaan itu, dan dengan ini maka diisytiharkan bahawa sempadan wilayah yang diserahkan itu hendaklah diperbetulkan seperti berikut:-
Dari Bukit Sigari, seperti yang tertera dalam Lembaran Carta No.1 Selat Melaka, yang salinannya dilampirkan, dengan bertanda A, merentas lurus hingga ke laut, kemudiannya di sepanjang pantai laut ke selatan, ke Pulau Katta di sebelah Barat, dan dari Pulau Katta merentang ke timur laut kira-kira sepanjang lima batu, dan kemudiannya ke utara, iaitu ke Bukit Sigari.
XII. Kedua belas. - Bahawa legih selatan Sungai Krian, iaitu bahagian kawasan yang salirannya masuk ke sungai itu dari selatan diisytiharkan sebagai Wilayah British, sebagai membetulkan Sempadan Selatan Province Wellesley (Seberang Prai). Sempadan itu hendaklah ditandakan oleh Pesuruhjaya, seorang yang dinamakan oleh Kerajaan Negeri-Negeri Selat, dan seorang lagi dinamakan oleh Sultan Perak.
XIII. Ketiga belas. - Bahawa apabila keadaan kacau-bilau sekarang ini sudah terhenti di Negeri Perak dan keamanan dan ketenteraman telah kembali pulih dalam kalangan puak-puak yang berbalah di Negeri itu, maka langkah-langkah segera di bawah kawalan dan seliaan seorang atau lebih daripada seorang Pegawai British hendaklah dilaksanakan bagi memulihkan sejauh mana yang boleh dilakukan kerja-kerja perlombongan dan pemilikan alat jentera, dll., seperti keadaan sebelum berlaku kacau-bilau, serta bagi menguruskan pembayaran pampasan kerana kerosakan, dan keputusan pegawai atau pegawai-pegawai itu dalam hal sedemikian adalah muktamad.
XIV. Keempat belas. - Menteri Larut berjanji mengaku sebagai hutangnya kepada Kerajaan Negeri-negeri Selat untuk segala caj dan perbelanjaan yang ditanggung atas penyiasatan ini, dan juga atas caj dan perbelanjaan yang ditanggung oleh Tanah Jajahan Negeri-negeri Selat dan Great Britain dalam usaha mereka bagi mewujudkan ketenteraan di Negeri Perak dan keselamatan perdagangan.
Perkara di atas telah dibaca dan telah dijelaskan kepada mereka yang berkenaan yang telah memahami perkara-perkara itu dan masing-masing bersetuju dan menerimanya sebagai mengikat diri mereka dan Waris serta Pengganti mereka.
Peijanjian ini dibuat dan diikat di Pulau Pangkor dalam Tanah Jajahan British, pada dua puluh hari bulan Januari tahun Masihi satu ribu lapan ratus tujuh puluh empat.

Disempumakan di hadapan saya,
ANDREW CLARKE,
Gabenor, Panglima Besar dan Laksamana Madya Negeri-Negeri Selat.

Cap Mohor Sultan Perak.
Cap Mohor Bendahara Perak.
Cap Mohor Temenggung Perak.
Cap Mohor Menteri Perak.
Cap Mohor Syahbandar Perak.
Cap Mohor Raja Mahkota Perak.
Cap Mohor Laksamana Perak.
Cap Mohor Dato' Sagor.” [4]


            Maka benarlah seperti dikata, bahawa sejak Perjanjian Pangkor yang ditandatangani pada tahun 1874, tidak pernah tercatat dalam perjanjian itu bahawa negeri akan dijajah. sebaliknya hanya dilindungi atau dinaungi. Maka, penulis akan menyenaraikan beberapa perjanjian pasca-Perjanjian Pangkor 1874 yang tidak mencatatkan isitilah ‘dijajah’, ‘menjajah’, ‘terjajah’ dan seumpanya, antaranya;
Persetiaan Persekutuan, 1895.


“PERJANJIAN antara Gabenor Negeri-Negeri Selat, yang bertindak bagi pihak Kerajaan Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen, Maharani India dengan Raja-Raja Negeri Melayu yang berikut, iaitu: Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan.
1. Sebagai mengesahkan pelbagai Perjanjian terdahulu, maka Sultan Perak, Sultan Selangor, Sultan Pahang dan Pembesar-Pembesar Negeri-Negeri yang membentuk wilayah yang dikenali sebagai Negeri Sembilan, dengan ini secara berasingan meletakkan diri mereka dan Negeri mereka di bawah naungan Kerajaan British.
2. Raja-Raja dan Pembesar-Pembesar masing-masing bagi Negeri-negeri yang dinamakan di atas, dengan ini bersetuju membentuk negeri-negeri mereka dalam sebuah Persekutuan, dikenali sebagai Negeri-Negeri Melayu Naungan, yang ditadbir di bawah nasihat Kerajaan British.
3. Maka hendaklah difahami bahawa Perkiraan yang dengan ini dipersetujui tidak bermaksud bahawa mana-mana seorang Raja atau Pembesar akan menjalankan apa-apa kuasa atau wibawa berkaitan dengan mana-mana Negeri selain yang kini dimilikinya di Negeri yang dia diiktiraf sebagai Raja atau Pembesar.
4. Raja-Raja yang dinamakan di atas bersetuju untuk menerima seorang Pegawai British, bergelar Residen Jeneral, sebagai ejen dan wakil Kerajaan British di bawah Gabenor Negeri-Negeri Selat. Mereka mengaku janji menyediakan untuknya tempat penginapan yang sesuai, memberi gaji seperti mana yang ditentukan oleh Kerajaan Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen, dan mengikuti nasihatnya dalam semua perkara pentadbiran selain yang menyentuh agama Islam. Pelantikan Residen Jeneral tidak akan menjejaskan kewajipan Raja-Raja Melayu terhadap Residen British yang sedia ada atau yang dilantik selepas ini bagi menyandang jawatan di Negeri-negeri Naungan yang tersebut di atas.
5 . Raja-raja yang dinamakan di atas juga bersetuju memberi kepada Negeri-Negeri dalam Persekutuan yang memerlukan apa-apa bantuan berupa tenaga manusia, wang atau lain-lainnya sebagaimana yang dinasihati oleh Kerajaan British, melalui pegawainya yang dilantik dengan sewajarnya; dan mereka selanjutnya mengaku janji bahawa sekiranya tercetus perang antara Kerajaan Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen dengan mana-mana kuasa yang lain, mereka, atas permintaan Gabenar, akan menghantar sepasukan askar India yang lengkap bersenjata untuk berkhidmat di Negeri-Negeri Selat.
Tiada apa-apa pun dalam Perjanjian ini yang bertujuan menyekat apa-apa kuasa atau wibawa yang kini dipegang aleh mana-mana Raja Negeri yang dinamakan di atas di Negeri masing-masing, dan ia juga tidak mengubah hubungan sedia ada antara mana-mana Negeri yang dinamakan dengan Empayar British.
Perjanjian di atas telah ditandatangani dan dimeterai aleh Raja-Raja dan Pembesar-Pembesar pelbagai Negeri yang tersebut di bawah pada bulan Julai 1895:
Duli Yang Maha Mulia Sultan Idris, Sultan Perak
Duli Yang Maha Mulia Sultan Abdul Samad, Sultan Selangar
Duli Yang Maha Mulia Sultan Ahmad, Sultan Pahang
Duli Yang Maha Mulia Tuanku Muhammad ibni Tuanku Antah, Yam Tuan Besar Sri Menanti
Dato' Haji Ahmad, Dato' Bandar Sungai Ujong
Dato' Ata, Data' Undang Jahal
Dato' SyedAli bin Syed Zain, Dato' Undang Jelebu
Dato' Serun bin Sidin, Dato' Undang Rembau
Tengku Dewa Tampin.” [5]



Perjanjian Bangkok, 1909.

“Duli Yang Maha Mulia Baginda King United Kingdom Great Britain dan Ireland dan Dominion British di seberang laut, Maharaja India, dan Duli Yang Maha Mulia Baginda Raja Siam berhasrat untuk menyelesaikan beberapa persoalan yang timbul yang menjejaskan kekuasaan masing-masing, telah membuat keputusan untuk mengikat suatu Perjanjian, dan bagi maksud ini, telah melantik Wakil Penuh Kerajaan masing-masing:

Duli Yang Maha Mulia Baginda King Great Britain melantik Ralph Paget, Esquire, Utusan Khas Baginda dan Menteri Wakil Penuh Kerajaan, dll.;
Duli Yang Maha Mulia Raja Siam melantik Duli Yang Teramat Mulia Putera Devawongse Varoprakar, Menteri Hal Ehwal Luar dll.; yang, setelah menyampaikan Kuasa Wakil masing-masing dan mendapati segala-galanya baik dan sewajarnya, telah bersetuju tentang Perkara-perkara berikut:-

Perkara I
Penyerahan Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, dan Pulau-pulau Bersebelahan kepada Great Britain

Kerajaan Siam menyerah kepada Kerajaan British segala hak dan apa-apa jua kekuasaan, naungan, pentadbiran dan kawalan yang dimilikinya ke atas Negeri-negeri Kelantan, Terengganu, Kedah, Pedis dan pulau-pulau bersebelahan. Sempadan wilayah-wilayah ini ditentukan melalui Protokol Sempadan yang dilampirkan bersama-sama ini.

Perkara II Tarikh Penyerahan
Penyerahan yang diperuntukkan dalam Perkara terdahulu ini hendaklah dilakukan dalam tempoh tiga puluh hari selepas ratifikasi Perjanjian ini.

Perkara III Persempadanan Sempadan Inggeris-Siam
Suatu Suruhanjaya Bercampur, terdiri daripada kakitangan dan pegawai Siam dan British, hendaklah dilantik dalam tempoh enam bulan selepas tarikh ratifikasi

Perjanjian ini, dan hendaklah dipertanggungjawabkan bagi persempadanan sempadan yang bam. Kerja Suruhanjaya itu hendaklah dimulakan secepat mungkin, sesuai dengan musim, dan hendaklah dijalankan menurut Protokol Sempadan yang dilampirkan bersama-sama ini.
Rakyat Duli Yang Maha Mulia Baginda Raja Siam yang tinggal dalam wilayah yang diperihalkan dalam Perkara I yang berhasrat mengekalkan kerakyatan Siam mereka akan, dalam tempoh enam bulan selepas ratiftkasi Perjanjian ini, dibenarkan berbuat demikian jika mereka berdomisil di wilayah kekuasaan Siam. Kerajaan Duli Yang Maha Mulia Baginda King Great Britain mengaku janji bahawa mereka itu adalah bebas untuk mengekalkan harta tak alih mereka dalam wilayah yang diperihalkan dalam Perkara I.

Maka adalah difahami bahawa, menurut resam biasa di mana pertukaran kekuasaan berlaku, apa-apa Konsesi dalam wilayah yang diperihalkan dalam Perkara I Perjanjian ini kepada individu atau Syarikat, yang diberikan oleh atau dengan kebenaran Kerajaan Siam, dan diiktirafnya sebagai masih lagi berkuat kuasa pada tarikh penandatanganan Persetiaan ini akan diiktiraf oleh Kerajaan Duli Yang Maha Mulia Baginda King Great Britain.

Perkara IV Hutang Awam Wilayah yang Diserahkan
Kerajaan Duli Yang Maha Mulia Baginda King Great Britain mengaku janji bahawa Kerajaan Negeri-negeri Melayu Bersekutu akan membayar segala hutang yang ada kepada Kerajaan Siam bagi wilayah-wilayah yang diperihalkan dalam Perkara I.

Perkara V Penghapusan Bidang Kuasa Konsul di Siam
Bidang kuasa Mahkamah Antarabangsa Siam yang ditubuhkan di bawah Perkara VIII Perjanjian bertarikh 3 hari bulan September 1883, hendaklah, di bawah syarat yang ditentukan dalam Protokol Bidang Kuasa yang dilampirkan bersama-sama ini,4 diperluaskan supaya meliputi semua rakyat British di Negeri Siam yang berdaftar di Pejabat Konsul British sebelum tarikh Perjanjian ini.

Sistem ini hendaklah ditamatkan, dan bidang kuasa Mahkamah Antarabangsa itu hendaklah dipindahkan kepada Mahkamah Siam yang biasa selepas perisytiharan dan permulaan kuat kuasa kanun Siam, iaitu Kanun Jenayah, Kanun Sivil dan Perdagangan, Kanun Tatacara dan Undang-undang bagi penubuhan Mahkamah.

Semua rakyat British lain yang ada di Negeri Siam hendaklah tertakluk kepada bidang kuasa Mahkamah Siam yang biasa di bawah syarat-syarat yang ditentukan dalam Protokol Bidang Kuasa.

Perkara VI Hak terhadap Harta, Kediaman dan Perjalanan, Cukai, dU.
Layanan Negara - Pengecualian daripada Perkhidmatan Tentera, Pinjaman Paksa, dll.
Rakyat British di seluruh Negeri Siam boleh menikmati hak dan keistimewaan yang dinikmati oleh anak watan negeri itu, terutamanya hak terhadap harta, hak kediaman dan perjalanan.

Mereka dan harta mereka hendaklah tertakluk kepada segala cukai dan perkhidmatan, tetapi ini semua tidak boleh berbeza atau lebih tinggi daripada cukai dan perkhidmatan yang boleh dikenakan oleh undang-undang terhadap rakyat Siam. Maka adalah difahami secara khusus bahawa batasan dalam Perjanjian bertarikh 20 hari bulan September 1900, di mana pencukaian tanah tidak boleh melebihi tanah yang serupa di Hilir Burma, kini dibatalkan.

Rakyat British di Siam hendaklah dikecualikan daripada segala perkhidmatan tentera, sama ada dalam angkatan darat atau laut, dan daripada segala pinjaman paksa atau tuntutan atau sumbangan ketenteraan.

Perkara VII Pengesahan Perjanjian Lama
Peruntukan segala Perjanjian, Persetujuan, dan Konvensyen antara Great Britain dengan Siam, yang tidak diubah suai oleh Perjanjian ini, hendaklah kekal berkuat kuasa sepenuhnya.

Perkara VIII Ratifikasi
Perjanjian ini hendaklah diratiftkasikan dalam tempoh empat bulan dari tarikhnya. Pada menyaksikannya, maka Wakil Penuh Kerajaan masing-masing te1ah menandatangani Perjanjian ini dan mengecap padanya meterai masing-masing.


Dibuat di Bangkok, dalam dua salinan, pada 10 hari bulan Mac 1909.

RALPH PAGET.
DEVAWONGSE V AROPRAKAR.” [6]


Pasca-Perjanjian Pangkor 1874, sebenarnya terdapat beberapa buah persetiaan atau perjanjian yang ditandatangani antara pemerintah tempatan dengan pihak British. Selain daripada Persetiaan Persekutuan 1895 dan Perjanjian Bangkok 1909 seperti mana dinyatakan di atas, terdapat beberapa perjanjian lain antaranya; Perjanjian antara Dato Syahbandar Serun Bin Sidin (Undang Rembau) dan Sir Frederick Weld (Gabenor Negeri-Negeri Selat) 1883, Perjanjian antara Sultan Ahmad (sultan Pahang) dengan Sir Frederick Weld (Gabenor Negeri-Negeri Selat) 1887, Perjanjian antara Mat Salleh dengan William Clarke Cowie 1898, Penjanjian British-Siam 1902, Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan sebagainya. Walau bagaimanapun, penulis lebih tertarik dengan sebuah perjanjian yang sangat penting, sekali gus mencetuskan suatu persoalan, sejauhmanakah kebenaran kenyataan Profesor Datuk Dr Zainal Kling, berdasarkan fakta sejarah, bahawa Tanah Melayu ‘tidak pernah terjajah’, sebaliknya, hanya dinaungi atau dilindungi oleh British? Perjanjian yang penulis maksudkan adalah Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957. Bagi memudahkan para pembaca, penulis menyenaraikan keseluruhan teks perjanjian tersebut untuk sama-sama diteliti dan difahami;
“SURAT PERJANJIAN bertarikh pada 5 haribulan Ogos, tahun 1957 dan diperbuat di antara SIR DONALD CHARLES MACGILLIVRAY, G.C.M.G., M.B.E., bagi pehak Yang Maha Mulia Baginda Queen dengan:

Yang Teramat Mulia Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim, D.K., S.P.M.J., S.P.M.K., K.B.E., C.M.G., Tunku Pemangku Raja Johor bagi pehak Yang Maha Mulia IBRAHIM ibni Almarhum Sultan ABU BAKAR, D.K., S.P.M.J., G.C.M.G., K.B.E. (Mil.), G.B.E., G.C.O.C., Sultan bagi Negeri JOHOR dan Jajahan Takluknya,

Yang Maha Mulia ABU BAKAR RI'AYATUDDIN ALMUADZAM SHAH ibni Almarhum ALMU'TASIM BI'LLAH SULTAN ABDULLAH, G.C.M.G., Sultan bagi Negeri PAHANG,

Yang Maha Mulia Tuanku ABDUL RAHMAN ibni Almarhum TUANKU MUHAMMAD, G.C.M.G., Yang Dipertuan Besar NEGERI SEMBILAN, Dato' Klana Petra MOHAMED KASSIM bin Dato' Nika Haji Abdul Rashid, Undang bagi Luak SUNGAI UIONG, Dato' Mendika Menteri Akhirzaman SHAHMARUDDIN bin Abdul Rahman, Undang bagi Luak JELEBU, Dato' Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan ABDUL MANAP bin Tolok, Undang bagi Luak JOHOL, Dato' Lela Maharaja HAJI IPAP bin Abdullah, Undang bagi Luak REMBAU, dan Tengku SYED IDRUS bin Tengku Syed Mohammad, Tengku Besar TAMPIN, Undang dan Orang Besar bagi Jajahan-Jajahan yang jadi Negeri yang dinamakan NEGERI SEMBILAN,

Yang Maha Mulia HISAMUDDIN 'ALAM SHAH ibni al-Marhum Sultan ALAIDDIN SULAIMAN SHAH, K.C.M.G., Sultan bagi Negeri SELANGOR,

Yang Maha Mulia TUNKU BADLISHAH ibni Almarhum Sultan ABDUL HAMID HALIM SHAH, K.C.M.G., K.B.E., Sultan bagi Negeri KEDAH,

Yang Maha Mulia SYED PUTRA ibni Almarhum SYED HASSAN JAMALULLAIL, K.C.M.G., Raja bagi Negeri PERLIS,

Yang Maha Mulia TENGKU IBRAHIM ibni al-Marhum Sultan MOHAMED IV, D.K., S.P.M.K., S.J.M.K., D.K. (Johor), K.C.M.G., Sultan bagi Negeri KELANTAN,

Yang Maha Mulia Sultan ISMAIL NASIRUDDIN SHAH ibni Almarhum Sultan ZAINAL 'ABIDIN, K.C.M.G., Sultan bagi Negeri TERENGGANU dan

Yang Maha Mulia Paduka Sri Sultan YussUF 'IZZUDDIN SHAH ibni Almarhum Sultan ABDUL JALIL RADZIALLAH HU-'AN-HU, K.C.M.G., O.B.E., Sultan bagi Negeri PERAK bagi pehak Diri Mereka Itu Sendiri dan Waris-Waris Ganti Mereka itu;

BAHAWA SANYA dengan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu, 1948, maka telah diadakan syarat bagi menubuhkan sebuah negeri Persekutuan Tanah Melayu yang mengandungi di dalamnya Negeri-Negeri Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, Pedis, Kelantan, Terengganu dan Perak, dan Negeri Melaka serta Pulau Pinang:

DAN BAHAWA SANYA Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu tahun 1948 itu, ada mempunyai kuasa undang-undang di dalam negeri-negeri Persekutuan yang tersebut itu:

DAN BAHAWA SANYA pada masa sekarang ada berbagai Perjanjian berhubung dengan perkara Kerajaan Negeri-Negeri Yang Maha Mulia itu di antara Yang Maha Mulia Baginda Queen dengan tiap-tia seorang Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja negeri yang tersebut (berkenaan dengan Negeri Sembilan di antara Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen dengan Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Besar serta Undang dan Orang Besar):

DAN BAHAWA SANYA oleh kerana telah dipersembahkan kapada Yang Maha Mulia Baginda Queen dan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja serta Undang dan Orang Besar Negeri Sembilan iaitu hendaklah dibuat perjanjian yang baharu untuk keamanan dan ketenteraman negeri serta kesempurnaan kerajaan bagi negeri-negeri yang di dalam Persekutuan yang tersebut itu, maka Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen serta Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja serta Undang dan Orang Besar telah bersetuju bahawa Persekutuan yang tersebut itu hendaklah menjadi sebuah negara yang merdeka di dalam lengkongan Commonwealth dengan Pelembagaan seperti yang diadakan kemudian daripadanya:

DAN BAHAWA SANYA oleh kerana menurut Undang-Undang Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu, 1957, maka telah diluluskan oleh Parliament Kerajaan United Kingdom untuk membuat Perjanjian seperti yang terkandung di dalam ini:

YANG DEMIKIAN MAKA ADALAH SEKARANG dipersetujui dan dimasyhurkan iaitu:

1. Ada pun Perjanjian ini bolehlah disebutkan namanya Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu tahun 1957.

2. Dalam Perjanjian ini dikecualikan jika ayat berkehendak difahamkan lain:

"Persekutuan yang ada sekarang" ertinya ialah Persekutuan Tanah Melayu yang tertubuh mengikut Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu tahun 1948;

"Undang-Undang Persekutuan" ertinya undang-undang yang telah disahkan oleh Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan yang ada sekarang;

"Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja" ertinya seorang yang masa ini menjadi Sultan bagi Negeri Johor dan Jajahan Takluknya; Sultan bagi Negeri Pahang, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Sultan bagi Negeri Selangor, Sultan bagi Negeri Kedah, Raja bagi Negeri Pedis, Sultan bagi Negeri Kelantan, Sultan bagi Negeri Terengganu dan Sultan bagi Negeri Perak;

"Negeri-Negeri Melayu" ertinya Negeri Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, Pedis, Kelantan, Terengganu dan Perak, dan segala Jajahan Takluk, pulau-pulau dan tempat yang sebelum pada tiga puluh satu haribulan Ogos, tahun seribu sembilan ratus lima puluh tujuh adalah diperintahkan sebagai sebahagian daripadanya, dan laut-laut yang di dalam kawasan daerahnya;

"Negeri Selat Pulau Pinang" dan "Negeri Selat Melaka" termasuk semua pulau-pulau dan tempat yang sebelum pada tiga puluh satu haribulan Ogos, tahun seribu sembilan ratus lima puluh tujuh adalah diperintahkan sebagai sebahagian daripada Negeri-Negeri Selat itu dan laut-laut yang di dalam kawasan daerahnya;

"Negeri Selat" ertinya Negeri Selat Pulau Pinang dan Negeri Selat Melaka.

3. Maka mulai daripada tiga puloh satu haribulan Ogos tahun seribu sembilan ratus lima puluh tujuh, Negeri-Negeri Melayu dan Negeri-Negeri Selat itu hendaklah dijadikan sebuah Persekutuan Negeri-Negeri yang baharu yang disebut namanya Persekutuan Tanah Melayu atau dalam bahasa Inggerisnya disebut, "Federation of Malaya" menurut Pelembagaan Persekutuan seperti yang disebutkan di dalam Jadual Yang Pertama Perjanjian ini, dan dengan demikian maka Negeri-Negeri Selat yang tersebut tamatlah daripada menjadi sebahagian daripada Jajahan Takluk Yang Maha Mulia Baginda Queen dan Duli Yang Maha Mulia itu tidak lagi berhak menjalankan apa-apa jua kedaulatannya di atas negeri-negeri yang tersebut itu, dan hendaklah tamat kuatkuasa dan hak Yang Maha Mulia Baginda Queen atau Parliament United Kingdom di dalam atau pun yang berkenaan dengan Negeri-Negeri Selat atau Negeri-Negeri Melayu atau Persekutuan Tanah Melayu seluruhnya.

4. Maka Perlembagaan yang tersebut di dalam Jadual Yang Kedua dan Yang Ketiga dalam Perjanjian itu hendaklah menjadi Perlembagaan Pulau Pinang dan Melaka menurut satu-satunya itu sebagai Negeri-Negeri di dalam Persekutuan yang baharu.

5. Dengan tertakluk kapada syarat-syarat Perlembagaan Persekutuan yang tersebut itu dan kepada Jadual Yang Keempat Perjanjian ini, Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu tahun 1948 dan semuanya perjanjian-perjanjaian yang lain yang ada berjalan di antara Yang Maha Mulia Baginda Queen dengan pihak-pihak yang lain dalam Perjanjian ini atau pun barang siapa jua sebelum daripada tiga puluh satu haribulan Ogos yang tersebut hendaklah dimansukhkan daripada tarikh yang tersebut itu tetapi tiadalah apa-apa di dalam Fasal ini akan mengenai apa-apa jua syarat di dalam apa-apa jua perjanjian maka dengan syarat-syarat itu telah dibuat apa-apa pembahagian jajahan.

6. Syarat-syarat Perjanjian ini adalah tertakluk kepada lulusnya Perlembagaan Persekutuan yang tersebut itu dengan mengadakan Undang-Undang Persekutuan dan dengan mengadakan pula suatu Undang-Undang di dalam tiap-tiap Negeri Melayu.

7. Perjanjian ini hendaklah dizahirkan dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu, tetapi bagi maksud mengambil pengertian Perjanjian ini hendaklah diikut naskhah dalam bahasa Inggeris sahaja.

SA-BAGAI MENYAKSlKAN PERJANJIAN ini Sir Donald Charles MacGillivray, G.C.M.G., M.B.E., bagi pihak Yang Maha Mulia Baginda Queen menurunkan tandatangan dan chapnya; dan Yang Maha Mulia Raja-Raja bagi Negeri Pahang, Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu dan Perak dan Undang dan Orang Besar bagi Negeri Sembilan dan yangbTeramat Mulia TUNKU ISMAIL ibni SULTAN IBRAHIM, D.K., S.P.M.J., S.P.M.K., K.B.E., C.M.G., Pemangku Raja Johor bagi pihak Yang Maha Mulia Sultan Bagi Negeri Johor dan Jajahan Takluknya menurunkan tandatangan dan chapnya.

DIPERBUAT pada 5 haribulan Ogos, 1957, bersamaan dengan 9 haribulan Muharram, 1377.

DITANDATANGANI DAN DICHAPKAN OLEH SIR DONALD CHARLES MACGILLIVRAY, G.C.M.G., M.B.E., bagi pihak YANG MAHA MULIA Baginda Queen di hadapan:

Cap mohor

...........................
(Tandatangan)

Meterai

............................
(Tandatangan)

DITANDATANGANI DAN DICHAPKAN OLEH YANG TERAMAT MULIA Tunku ISMAIL ibni Sultan IBRAHIM, D.K., S.P.M.J., S.P.M.K., K.B.E., C.M.G., Pemangku Raja Johor, bagi pihak YANG MAHA MULIA SULTAN bagi Negeri JOHOR serta Jajahan Takluknya di hadapan:

Cap mohor

...............................
(Tandatangan)

DITANDATANGANI DAN DICHAPKAN OLEH YANG MAHA MULIA SULTAN bagi Negeri PAHANG di hadapan:

Cap mohor

................................
(Tandatangan)

Meterai

................................
(Tandatangan)

DITANDATANGANI DAN DICHAPKAN OLEH YANG MAHA MULIA YANG DIPERTUAN BESAR NEGERI SEMBILAN di hadapan:

Cap mohor

......................................
(Tandatangan)

DITANDATANGANI DAN DICHAPKAN OLEH Dato' KIana Petra MOHAMED KASSIM bin Dato' Nika Haji Abdul Rashid, Undang bagi Luak SUNGAI UJONG di hadapan:

Cap mohor

.................................
(tandatangan)

DITANDATANGANI DAN DICHAPKAN OLEH Dato' Mendika Mentri Akhirzaman SHAH MARUDDIN bin Abdul Rahman Undang bagi Luak JELEBU di hadapan:

Cap mohor

..............................
(Tandatangan)

DITANDATANGANI DAN DICHAPKAN OLEH Dato' Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan ABDUL MANAP bin Tolok, Undang bagi Luak JOHOL di hadapan:

...........................
(Tandatangan)

DITANDATANGANI DAN DICHAPKAN OLEH Dato' Lela Maharaja RAn IPAP bin Abdullah, Undang bagi Luak REMBAU di hadapan:

Cap Mohor

...............................
(Tandatangan)

DITANDATANGANI DAN DICHAPKAN OLEH Tengku SYED IDRUS bin Tengku Syed Mohammad, Tengku Besar TAMPIN di hadapan:

Cap mohor

.................................
(Tandatangan)

DITANDATANGANI DAN DICHAPKAN OLEH YANG MAHA MULIA SULTAN bagi Negeri SELANGOR di hadapan:

Cap mohor

...............................
(Tandatangan)

DITANDATANGANI DAN DICHAPKAN OLEH YANG MAHA MULIA SULTAN bagi Negeri KEDAH di hadapan:

Chap mohor

.................................
(Tandatangan)

DITANDATANGANI DAN DICHAPKAN OLEH YANG MAHA MULIA RAJA bagi Negeri PERLIS di hadapan:

Cap mohor

..............................
(Tandatangan)

DITANDATANGANI DAN DICHAPKAN OLEH YANG MAHA MULIA SULTAN bagi Negeri KELANTAN di hadapan:

Cap Mohor

..................................
(Tandatangan)

DITANDATANGANI DAN DICHAPKAN OLEH YANG MAHA MULIA SULTAN bagi Negeri TERENGGANU di hadapan:

Cap Mohor

..................................
(Tandatangan)

DITANDATANGANI DAN DICHAPKAN OLEH YANG MAHA MULIA SULTAN bagi Negeri PERAK di hadapan:

Cap Mohor

..................................
(Tandatangan)”[7]


Maka, benarlah buat kedua kalinya dengan apa yang dinyatakan oleh Profesor Datuk Dr Zainal Kling, bahawa hanya tiga buah negeri sahaja yang menjadi Tanah Jajahan (Singapura, Melaka, dan Pulau Pinang). Jika pembaca meneliti pada bahagian yang digariskan (Fasal ketiga), maka jelaslah bahawa dari segi faktanya, Tanah Melayu TIDAK pernah terjajah. Dokumen-dokumen seperti inilah yang menjadi sumber premier kepada sejarah yang membolehkan kita meletakkan kepercayaan terhadap sesuatu fakta sejarah yang berkait rapat dengan hal ehwal yang bersangkutan dengan dokumen yang dirujuk. Muhammad Mahir Hamadah menukilkan kata, “tiada sejarah tanpa dokumen” dan pada satu tahap, kata-kata itu memang benar.Ya, dari segi faktanya memang Tanah Melayu tidak pernah terjajah.
Walau bagaimanapun, perspektif sejarah itu sukar untuk diubah. Apakah dengan hanya meneliti tiap-tiap patah perkataan pada setiap lembaran naskah-naskah perjanjian yang pelbagai itu sehingga tidak menemukan perkataan ‘dijajah’, maka dengan begitu mudah membuat konklusi bahawa Tanah Melayu ‘tidak pernah terjajah’? Apakah tidak timbul di sini British hanya berdiplomasi mencatatkan perkataan 'melindungi' bukan 'menjajah' untuk mengaburi mata pemerintah tempatan pada masa itu dan menunjukkan kepada generasi masa kini bahawa kehadiran mereka pada masa itu adalah atas sebab ‘jemputan’ daripada pemerintah tempatan dan ikhlas membantu mentadbir dan memerintah negera? Umum mengetahui bahawa bangsa hidung mancung berkulit cerah itu bijak berdiplomasi dan pandai memanipulasi. Hebatnya bangsa ini apabila mereka ini lahir di bumi beriklim sejuk tetapi mampu untuk hidup menetap dibumi beriklim khatulistiwa sambil memakai kot dan bertali leher. Bukti yang menjustifikasikan kehebatan mereka adalah sehingga dapat ‘diterima’ baik oleh para pembesar dan pemerintah tempatan selain menjadi tempat bergantung harap dan meminta nasihat serta pertolongan.
Bangsa ‘berkot dan bertali leher dalam cuaca panas terik’ ini terkenal dengan keunggulan tamadun British dan kebudayaanya. Mereka kononnya bertanggungjawab menyelamatkan rakyat tempatan yang dikongkong oleh sebuah rejim yang bersikap depotisme. Dalam sejarah tanah Melayu, rakyat tempatan dianggap sebagai “beban orang putih” atau “white men’s burden”.[8] Pandangan Frederick Weld (Gabenor Negeri-Negeri Selat 1888) paling jelas menunjukkan sikap imperialis British. Buktinya, Weld pernah menyatakan bahawa bangsa Melayu tidak dikurniakan dengan kebolehan dan pengalaman berkerajaan sendiri. Ketidakupayaan ini, menurut Weld, adalah sesuatu yang berakar umbi dalam bangsa, agama, sejarah dan kebudayaannya. Begitu hinanya bangsa Melayu pada pandangan Weld ini. Kononnya, negeri-negeri Melayu yang berada di ambang kehancuran harus dilindungi daripada kezaliman raja-raja untuk memulihkan keamanan dan kebajikan rakyat tempatan. Tersirat dalam pemikiran pemerintahan British ialah kuasa pemerintahannya harus berasaskan maruah bukan kekuatan tentera atau paksaan semata-mata; dengan mengekalkan maruah yang mulia, bangsa Melayu akan menyerap unsur-unsur kebaikan kerajaan British dan rakyat British dihormati.[9]
Tidak dapat dinafikan bahawa pada waktu itu, berlaku perpecahan politik, huru-hara, dan kezaliman raja-raja di beberapa buah ‘negara’ Melayu. Hal ini telah dijadikan topeng kepada British untuk menyembunyikan kepentingan politik dan ekonomi yang sebenar. Taktik-taktik penipuan, manipulasi gerakan tentera, diplomasi, pemujukan dan rayuan biasanya dilakukan. Maka, bertepatan seperti yang dinyatakan oleh Ibnu Khaldun, ‘sejarah baginya bukan hanya laporan dan keterangan tentang peristiwa semata-mata, tetapi juga mengajak untuk mencari faktor penyebab lahirnya sesuatu peristiwa.’Tidak cukup sekadar mencari istilah ‘dijajah’ dalam surat-surat perjanjian tersebut sekiranya tidak dikaji dan difahami faktor yang membawa kepada perjanjian tersebut. Hal ini kerana, tidak semestinya matlamat sesuatu perjanjian itu secara jelas disebut atau dicatat dalam sesuatu perjanjian. Perjanjian-perjanjian dengan raja-raja Melayu yang menyerahkan kuasa kepada pihak British lazimnya digembleng bagi mengesahkan tindakan British di sisi undang-undang. Maka, gambaran yang timbul ialah British sepertinya tidak menakluki negeri-negeri Melayu atau menggunakan paksaan tetapi sebaliknya ‘dijemput’ memasuki Tanah Melayu untuk memberikan perlindungan kepada sultan-sultan daripada ancaman musuh luar. Dalam erti kata lain, perjanjian-perjanjian ini sebenarnya merupakan cara untuk menutup sesuatu situasi de facto yang sultan-sultan tiada pilihan kecuali menjemput masuk kuasa Britiah.[10]
‘Kebijakkan’ bangsa ‘‘berkot dan bertali leher dalam cuaca panas terik’ dalam iklim tropika ini mengingatkan penulis kepada kisah Robinhood, sambil membantu sambil merompak, sambil menyelam minum air. Itulah analogi yang hendak disampaikan. Untuk menampak lebih bersifat ilmiah, penulis membawa pembaca kepada suatu teori yang cukup popular pada zaman Victoria di Great-Britain iaitu Darwinisme. Pada tahun-tahun ketika Darwin mengemukakan teorinya, Great Britain berada pada kedudukan untuk membentuk empayar jajahan nombor satu di dunia. Semua sumber-sumber semula jadi di kawasan menganjur daripada India ke Amerika Latin telah dieksploitasi oleh Empayar British. "Orang-orang kulit putih" telah merompak seluruh dunia untuk kepentingan mereka sendiri. Tetapi, sudah tentu, dengan dimulakan dengan Great Britain, tidak satu pun negara penjajah yang mahu dikenali sebagai "perompak" dan untuk terus dikenali di dalam lipatan sejarah seperti itu. Kerana itu, mereka mencari-cari penjelasan untuk membuktikan bahawa apa yang mereka lakukan adalah betul. Seperti penjelasan yang menggambarkan orang-orang yang telah dijajah ini sebagai "manusia primitif" atau "makhluk seperti haiwan".
            Golongan yang menjadikan falsafah Darwinisme ini  sebagai ideologi dikenali sebagai evolusionis. semua cerita evolusionis digambarkan sebagai fakta saintifik. Namun hakikatnya ialah kesemua dakwaan mereka tidak lebih daripada sekadar cerita dongeng belaka. Evolusionis berusaha untuk menjadikan senario rekaan mereka sebagai bukti saintifik. Tetapi keseluruhan cerita rekaan mereka adalah pembohongan yang langsung tiada nilai saintifik dan tidak akan pernah menyumbang bukti kepada dakwaan evolusionis sendiri. Satu kisah yang sering ditemui dalam penulisan evolusionis ialah berkenaan makhluk yang kononnya separa beruk bertukar menjadi manusia, dan secara beransur-ansur berubah daripada orang primitif kepada entiti sosial. Walaupun tanpa adanya sebarang sokongan bukti saintifik, binaan semula manusia yang kononnya primitif ini - yang dianggap berjalan bongkok, mendengus, berjalan bersama 'keluarga gua' masing-masing atau memburu dengan alatan batuan yang kasar - merupakan bahagian yang terkenal senario palsu ini. Binaan semula sedemikian menyebabkan provokasi untuk membayang dan membenarkannya. Dengan cara ini, evolusionis berusaha meyakinkan orang ramai bukan kepada asas fakta-fakta yang kukuh, tetapi lebih kepada spekulasi yang fantastik kerana semuanya hanya berdasarkan prejudis dan praandaian mereka sendiri dan bukan berpaut pada fakta-fakta saintifik. Walaupun sedar akan kesalahan dakwaannya, evolusionis tidak ragu-ragu untuk meneruskan kesemua cerita rekaan mereka dalam penulisan profesional, apatah lagi mempersembahkannya sebagai kebenaran saintifik. Senario sebegini yang kerap disuarakan oleh evolusionis membentuk andaian untuk teori evolusi dan bukan bukti saintifik kerana tiada bukti yang menunjukkan bahawa manusia berketurunan beruk.
            Persoalannya, apakah perkaitan antara isu perbincangan ini dengan teori Darwinisme ini? Terdapat beberapa perkaitan yang perlu diberikan perhatian dan penelitian. Hal ini kerana, perkaitan tersebut akan menemui faktor yang membawa kepada perjanjian-perjanjian seperti mana yang dinyatakan di atas dan cuba merungkaikan agenda tersembunyi pihak British yang berselindung di sebalik ‘penaung’ atau ‘pelindung’ di Tanah Melayu. Seperti yang telah dinyatakan pada perenggan sebelumnya; “tidak satu pun negara penjajah yang mahu dikenali sebagai "perompak" dan untuk terus dikenali di dalam lipatan sejarah seperti itu. Kerana itu, mereka mencari-cari penjelasan untuk membuktikan bahawa apa yang mereka lakukan adalah betul.” Pada 1870-an, wujud perkembangan baharu yang berlaku di Eropah memperlihatkan Britian, Jerman dan Perancis berlumba-lumba memperoleh tanah jajahan di Afrika dan Asia. Perkembangan ini dikenali sebagai imperialism didorong oleh gerakan kapitalisme berikutan Revolusi Perindustrian di Eropah. Hal ini berikutan Eropah pada masa itu sedang dilanda sindrom falsafah Darwinisme-materialis khususnya di Great-Britain apabila Ratu Victoria Great Britain juga menerima Darwinisme sebagai "ideologi asas" bagi tujuan penjajahan.
            Kenyataan ini disokong oleh Rupert Emerson yang menulis tentang penjajahan British di Tanah Melayu menyatakan bahawa pencorobohan British adalah sebahagian daripada kemaraan semangat imperialism baharu.[11]Jadi Britian harus menjajah negara-negara yang mundur demi kepentingan kemajuan dan kesedaran serta keamanan dan pembangunan jajahan takhluk. Tugas dan peranan sesebuah kerajaan penjajah harus tertumpu pada usaha memperkenalkan sistem pemerintahan Barat, undang-undang yang berasaskan prinsip keadilan dan hak manusia serta perkembangan ekonomi kapitalis bagi kepentingan dan kebaikan rakyat tempatan. Seperti yang telah dinayatakn sebelumnya bahawa dalam sejarah tanah Melayu, rakyat tempatan dianggap sebagai “beban orang putih” atau “white men’s burden”, yang sangat bertepatan dengan aliran falsafah Darwinisme. Jika hanya bersandarkan kepada istilah  ‘negeri lindungan’ (protectorates or protected states) seperti yang dinyatakan oleh Prof Datuk Dr Zainal Kling, sememangnya tidak ditemukan unsur-unsur penjajahan. Walau bagaimanapun, sekiranya melihat dari sudut konsep dan teori, maka teori ‘perlindungan’ dilihat sebagai asas pemerintahan secara tidak langsung iaitu kuasa penjajahan akan menggunakan institusi kerajaan yang sedia ada wujud untuk memerintah negeri-negeri itu. Dalam proses penguatkuasaan konsep pemerintahan secara tidak langsung, institusi politik tempatan dipelihara dan pembaharuan dipastikan tidak menjejaskan institusi tersebut serta kewibawaan sultan di sisi orang Melayu. Sekilas pandang konsep perlindungan kelihatan nampak begitu mulia tetapi tujuan pelaksanaannya adalah sebaliknya.
Kaedah diplomasi melalui perjanjian bersama pemerintah tempatan ini dibuat akibat daripada pengalaman pahit British menghadapi penentangan daripada rakyat India dan juga orang Melayu di Naning disebabkan oleh dasar paksaan dan kekerasan yang dilakukan sebelumnya. Pada tahun 1857, Dahagi telah meletus di India. Penduduk India telah berasa tidak puas hati terhadap pemerintahan British sejak awal abad ke-19. Perasaan tidak puas hati semakin memuncak apabila Lord William Bentick menjalankan beberapa pembaharuan politik, sosial dan kebudayaan. Walaupun pembaharuan itu berdasarkan teori “kebajikan penduduk India”, tetapi pembaharuan tersebut telah melanggar amalan dan adat serta menyinggung hati orang India. Menjelang tahun 1858, dahagi telah ditumpaskan. Kebangkitan rakyat ini telah memberi tamparan hebat kepada penjajah British yang bukan sahaja menanggung kos perbelanjaan yang besar, tetapi juga terpaksa menanggung malu akibat maruah yang tercemar. supaya lebih berhati-hati dalam melaksanakan dasar dan objektif mereka.
            Malangnya bangsa ‘berkot dan bertali leher dalam cuaca panas terik’ ini tidak mahu mengambil pengajaran, apabila British sebagai sebuah kuasa besar dunia pernah dikalahkan oleh pahlawan-pahlawan Melayu dalam perang Naning pertama pada tahun 1831. Kekalahan itu amat mengaibkan Inggeris kerana mereka adalah kuasa besar boleh dikalahkan oleh Naning sebuah daerah kecil. Pada mulanya mereka yakin Naning boleh ditewaskan dalam masa sehari sahaja. Tetapi mereka ditentang hebat oleh pahlawan-pahlawan Melayu yang hanya bersenjatakan parang panjang, lembing, anak panah dan pelbagai senjata tradisional yang lain. Setelah berlaku pertempuran selama 18 hari maka tentera British terpaksa berundur setelah ramai tenteranya yang terbunuh dan cedera. Kekalahan itu amat mengaibkan Inggeris sehingga mereka terpaksa menghantar ramai tentera termasuk meriam dalam usaha menundukkan Naning. Pada April 1832, askar-askar Inggeris yang diketuai oleh Kolenal Herbert dibantu oleh pasukan Rambau yang diketuai oleh Syed Shaaban menyerang Naning bagi kali kedua. Sekali lagi berlaku pertempuran yang sengit antara kedua belah pihak. Dan setelah berlaku pertempuran selama hampir dua bulan akhirnya Dol Said dan para pengikutnya terpaksa berundur dari Naning. Namun kemenangan itu tidak mengembirakan British kerana mereka terpaksa menangung kerugian 100,000 pound dan kehilangan ramai askar bagi menakluk sebuah daerah kecil.[12]
            Menambahkan lagi kecelaruan apabila Majlis Profesor Negara (MPN) dalam kenyataannya berkata, zaman pentadbiran British yang disamakan dengan "penjajahan British" sebenarnya tidak sahih dan tidak wajar digunakan. Bagaimanapun, menurut majlis itu "kesan pentadbiran British itu merupakan satu bentuk penjajahan".[13] Apakah yang sebenarnya hendak disampaikan oleh MPN? Alasan yang diberikan MPN adalah kerana; "British diberi kuasa untuk 'mentadbir' dari segi pengurusan am dan kewangan serta eksploitasi khususnya sumber alam.”[14] Persoalannya, apakah sesuai isitilah ‘diberi kuasa’ itu digunakan dalam keadaan tersebut? Atau sebenarnmya istilah yang lebih sesuai adalah ‘merampas kuasa’ untuk ‘mentadbir’? Sungguhpun pegawai British sering kali menyatakan pengekalan institusi-institusi politik dan kewibawaan sultan, tetapi akhirnya proses penyusunan semula struktur politik Melayu telah menjadikan sultan dan pembesar Melayu berperanan sebagai ‘boneka’ sahaja dalam sistem kerajaan baharu. Lebih melucukan apabila pada masa yang sama MPN menyatakan demikian; "Mereka kelihatan melakukan penjajahan walaupun tidak sahih, walaupun hal ehwal Persekutuan Tanah Melayu terletak bawah pentadbiran Pejabat Tanah Jajahan di Britain tetapi kedaulatan Melayu tetap terpelihara," kenyataan itu dipetik.[15] Kedaulatan Melayu yang bagaimana hendak ditunjukkan oleh MPN ini? Apakah dengan pengekalan institusi kesultanan Melayu maka dengan sembrono membuat kenyatan bahawa kedaulatan Melayu tetap terpelihara? Berdaulatkah kita seandainya sultan dan pembesar Melayu dianggap sebagai ‘buah catur’ yang sentiasa diperalatkan bagi memajukan kepentingan pihak imperialis. Raja-raja Melayu dijadikan penonton sahaja, malah langsung diketepikan daripada arus perkembangan politik, manakala rakyat bawahan tertinggal jauh di belakang.
            Raja-raja Melayu hanya akan dipergunakan jika ada kepentingan pihak British. Apabila ada rakyat yang bangkit menentang kezaliman pihak imperialis maka, pada waktu itulah para raja Melayu ini diperkudakan. Itulah nasib yang menimpa Tok Janggut, dibunuh dan mayatnya dihina sehina-hinanya, Dato Maharajalela, Mat Kilau, Dato Bahaman, dan lain-lain mudah dipatahkan kerana nama sultan digunakan. Memetik kenyataan Profesor Dr Abdul Aziz Bari (pakar perlembangaan), beliau menyatakan bahawa; “British mahu menunjukkan kepada orang Melayu bahawa negeri mereka kekal di tangan Melayu dengan mengekalkan sultan. Tetapi pemerintahan dan pentadbiran sebenar dijalankan oleh British melalui residen mereka[16] Merujuk kepada Perjanjian Pangkor 1874 juga, buat pertama kali konsep dan amalan perlindungan telah diperakukan atau dirasmikan yang mensyaratkan bahawa pemerintah Melayu di Perak perlu menerima seorang Residen British yang walaupun tidak akan mempunyai kuasa eksekutif, tetapi nasihatnya wajib diminta dan dituruti dalam semua hal kecuali yang menyentuh agama dan adat istiadat orang Melayu. Berdaulatkah kita seandainya terpaksa akur dan tunduk atas ‘nasihat’ orang lain? Sudahlah diwajibkan meminta nasihat, diwajibkan pula menuruti nasihat tersebut.
            Kenyataan MPN yang menyatakan bahawa;  sejak Perjanjian Pangkor ditandatangani pada tahun 1874, tidak pernah tercatat dalam perjanjian itu bahawa negeri akan dijajah, sebaliknya hanya dilindungi atau dinaungi,” nampaknya bertentangan dengan sejarahwan lainnya dan penulis sendiri. Hal ini kerana, dari segi penzamanan, sejarahwan biasanya menyatakan bahawa Perjanjian Pangkor 1874 merupakan satu titik pemisahan antara zaman sebelum penjajahan dengan zaman penjajahan. Hal ini kerana, selepas tahuan 1874 kita dapat melihat dengan lebih jelas dasar dan objektif British ini. Antara kesan yang paling jelas adalah  kehilangan kuasa dan kedaulatan raja-raja Melayu dan pengenalan satu sistem pentadbiran baharu yang menggantikan sistem feudal Melayu. MPN turut mengeluarkan kenyataan bahawa; “British hanya berperanan sebagai penaung dengan mengiktiraf Institusi dan Majlis Raja-Raja Melayu (DURBAR) sebagai pemerintah yang sah”. Penulis ingin menjelaskan, Ya, British sememangnya mengiktiraf Majlis Raja-raja Melayu (DURBAR), malah peranan sultan turut diperkukuhkan TETAPI hanya sebagai lambang kedaulatan sesebuah negeri, kedudukannya dilindungi dan sebarang penentangan oleh pembesar Melayu dianggap sebagai penderhakaan dan wajib ditumpaskan atas nama raja. Sungguhpun diangkat menjadi ketua majlis negeri dan undang-undang diluluskan dan dikuatkuasakan atas namanya , tetapi hakikatnya, sultan memerintah mengikut telunjuk Residen yang ‘kemutlakan’ kuasanya terselindung disebalik ‘tabir’ penasihat. Walaupun kuasa dan peranan sultan hilang, namun kemuliaan, kemegahan dan istiadat raja tetap dipelihara seolah-olah mereka masih berkuasa. Jelas dapat dilihat pada masa itu, semasa perhimpunan raja-raja atau dikenali sebagai DURBAR yang berlangsung dengan penuh gilang-gemilang walaupun upacara itu tidak menambah sebarang kuasa politik kepada sultan.[17] Berdaulatkah begitu? Apakah dengan menyatakan bahawa British mengiktiraf DURBAR maka dengan mudahnya merumuskan bahawa Tanah Melayu tidak pernah terjajah?
            Kedangkalan kenyataan MPN itu disanggah oleh sejarahwan apabila penjajahan British atas nama ‘perlindungan’ di Tanah Melayu sebenarnya bermula dengan Perjanjian Pangkor 1874. Satu demi satu negara-negara Melayu itu jatuh ke tangan British bermula perluasan kuasanya ke Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan akhirnya Pahang membawa kepada pembentukan entity politik yang dikenali sebagai Negeri-Negeri Melayu Bersekutu pada 1896.  Pada tahun 1909, Siam menyerahkan Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu kepada British melalui Perjanjian Bangkok. Sunggupun jika kita lihat, bahawa terdapat kesedaran raja-raja Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu tentang keadaan politik mereka yang semakin terancam misalnya; penguatkuasaan Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor pada 1895 dan pindaan pada tahun 1908, pengisytiharan Undang-undang Tubuh Kerajaan Terengganu pada 1911, dan pembentukan Majlis Negeri Kedah pada 1905 yang berjaya melambatkan proses campur tangan British ke negeri berkenaan, tetapi akhirnya apabila menjelang tahun 1914, buat pertama kalinya seluruh Tanah Melayu telah diletakkan di bawah penguasaan British atau lebih tetap disebut penjajahan Britih!
            Penulis tertarik dengan suatu artikel dalam sebuah blog untuk direnungkan bersama. Biarpun penyampaiannya secara bersahaja, tetapi bagi penulis ia melambangkan suatu sindiran paling tajam kepada pihak-pihak yang secara sembrono mentafsir sejarah bangsa dan tanah air tercinta ini. Sama-sama kita hayati dan selamat beramal;
“Tanah Melayu tidak pernah dijajah oleh British. Bukan Profesor Zainal Kling sahaja yang bersetuju dengan hakikat ini. Kita sebagai rakyat Malaysia seharusnya berbangga kerana bangsa kita dan Tanah Melayu tidak pernah dijajah. Kita cuma dijadikan rakan dan diberikan Tuan oleh British untuk mengusahakan Tanah Melayu beberapa ratus tahun lamanya. Kita harus bangga dan merasa hebat dengan pencapaian kita, tidak pernah dijajah British. Hebatnya Tanah Melayu, apabila rakyatnya berganding bahu dengan kerajaan British membangunkan negeri-negeri di Tanah Melayu. Jangan sekali-kali kita meragui sejarah kehebatan melayu. Mari renung kembali bagaimana kedudukan orang melayu ketika zaman British datang melawat suatu ketika dahulu. Segala cukai yang dibayar kepada pentadbiran British itu adalah hadiah dan sedekah, setelah berasa sangat terhutang budi kepada British yang sanggup datang dari jauh ke Tanah Melayu demi untuk hidup bersama dengan orang melayu. Segala tanah ladang dan estet yang diusahakan oleh British dengan memasukkan orang-orang India itu adalah sa-buah usahasama yang sangat menguntungkan.

Beruntungnya Tanah Melayu, tidak pernah dijajah British malah menjadi rakan kongsi 'melangsaikan' segala hasil hutan, segala hasil ladang, segala hasil padi dan apa jua usahasama dikongsi sama-rata. Segala kekayaan hasil perniagaan dalam negeri di Tanah Melayu dibahagikan sama-rata, separuh untuk Queen of England, separuh lagi untuk raja-raja melayu. Untuk rakyat pula, akan mendapat suku daripada separuh punya separuh dibahagi dengan separuh. Sungguh mewah hidup kita ketika era 'perkongsian' dengan British. Setiap kali tiba musim perayaan, rakyat akan berpesta bersama-sama dengan pegawai British dan tenteranya. Ia termasuklah tentera gurkha dan Fiji. Kita saling ziarah menziarahi, rumah terbuka di sini dan sana. Tentera British yang ada dalam negara adalah untuk menjaga keselamatan dan keamanan negara dari dicerobohi penjajah lain. Mereka tidak jajah, cuma jaga sahaja. Orang melayu menjadi kerani dalam pejabat pemerintahan British, bergaji besar berumah bungalow. Maksudnya berumah bungalow itu ialah, orang melayu menjadi orang gaji, menjadi drebar, tukang kebun dan tukang pencacai najis kepada pegawai British di kebanyakkan rumah-rumah bungalow. Negeri Tanah Melayu ini melayu yang punya, tetapi hebat kerana boleh dikongsi bersama British hinggakan kita memanggil mereka sebagai Tuan, sambil berdiri tegak dan menunduk hormat. Baiknya orang melayu kita, kaya dengan budi bahasa.

Ketika Jepun menyerang Tanah Melayu, tentera British bermati-matian mempertahankan Tanah Melayu. Mereka sanggup mempertaruhkan nyawa demi Tanah Melayu sehingga amat payah bagi pihak Jepun untuk menjajah, opss maksudnya menjadi rakan kongsi di Tanah Melayu. Orang melayu ketika itu juga membantah kemasukkan Jepun walaupun adanya slogan asia untuk asia, kerana orang melayu di zaman itu rupa wajahnya tidak seperti orang asia tetapi pan-europian-asia.  Ketika Jepun tewas di Tanah Melayu, orang-orang melayu begitu merindui kehadiran British dan tenteranya lalu mengalu-alukan kedatangan semula British ke Tanah Melayu. Orang melayu dan Tanah Melayu tanpa kehadiran British bagaikan polong tak bertuan. Panggilan Tuan ke atas pegawai British begitu mengasyikkan sekali. Oleh kerana baiknya rakyat Tanah Melayu terhadap British sepanjang lawatan mereka selama beberapa ratus, maka British menghadiahkan kemerdekaan kepada Tanah Melayu melalui sekumpulan elit melayu bangsawan yang taraf kehidupannya hampir setaraf dengan British. Biasanya negara yang diberi kemerdekaan adalah negara yang telah dijajah, tetapi Tanah Melayu cukup istimewa di mata British. Kemerdekaan yang diberi kepada Tanah Melayu adalah di atas dasar 'you help me, I help you'.  

Tanah Melayu akhirnya merdeka dan menjadi satu-satunya negara yang merdeka tanpa penjajahan. Lebih istimewa, Tanah Melayu yang akhirnya membentuk negara Malaysia telah dijemput menyertai negara-negara Komanwel. Mengapa istimewa? Kerana semua negara yang menyertai negara-negara Komanwel adalah merupakan negara bekas jajahan British, kecuali Malaysia. Sebagai tanda terima kasih Malaysia ke atas British kerana meluangkan masa yang begitu lama berkhidmat di negara kita, maka segala undang-undang dan perlembagaan negara dibangunkan mengikut acuan British termasuklah menjaga semua kepentingan-kepentingan British. Ia berlanjutan hingga ke hari ini apabila masih banyak harta dan kekayaan dalam negara ini milik British dan bangsa asing. Sehubungan itu, janganlah kita menyorokkan fakta penting betapa negara kita tidak pernah dijajah oleh British, malah diberi layanan yang cukup istimewa. Setiap rakyat yang hidup ketika British menumpang-tadbir negeri Tanah Melayu akan berasakan kehidupan ketika itu sangat baik biarpun berbanding hari ini kerana ketika itu kita mempunyai Tuan. Melayu yang punya Tuan adalah melayu hebat. Sesungguhnya fakta sejarah menunjukkan Tanah Melayu tidak pernah terjajah (oleh British). Ini mesti dibaiki dari sekarang oleh semua pihak sama ada pelajar, guru, ahli politik atau pentafsir politik. Malaysia Boleh!”[18]

           
           










[1] Merujuk kepada portal berita Malaysiakini yang bertajuk Zainal Kling: Malaya Tak Pernah Terjajah,  9 September 2011.
[2] Merujuk kepada kenyataan , “Contohnya, rumah ibu saya didafarkan seramai lapan orang dengan kaum Cina dan India sedangkan ibu saya tinggal seorang diri dan saya tidak mempunyai adik beradik kaum lain,” Berita Utama Nasional portal berita KeadilanDaily, bertajuk  SPR Letak ‘Hantu’ Di Rumah Ibu Saya – Azmin 29 Mac 2011.

[3] J.C. Bottoms, “Some Malay Historical Sources: A Bibliographic & Note.” Dalam Soedjatmoko (ed), An Introduction to Indonesian Historiography, New York, 1965.
[4] Teks diambil dari Maxwell & Gibson 1924: 28-30.

[5] Diambil daripada Perjanjian dan Dokumen Lama Malaysia 1791-1965. Kuala Lumpur: ITNM. Teks diambil dari Arkib Negara Malaysia, P.126. Lihat juga Bahan-bahan Pilihan Pameran Arkib Warisan Negara 1892: 44.
[6] Diambil daripada Perjanjian dan Dokumen Lama Malaysia 1791-1965. 2008. Kuala Lumpur: ITNM. Teks diambil dari Arkib Negara Malaysia, P.112. 2 Lihat Lampiran I (ed.).


[7] Teks asal diambil dari Arkib Negara Malaysia, P.73.
[8] Leong Yee Fong, Zaman Penjajahan dan Munculnya Susunan Politik Baharu di Tanah Melayu, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Pustaka, 2007, hlm. 244.
[9] R. Emerson, Malaysia: A Study in Direct and Indirect Rule, Kuala Lumpur: Universiti of Malaya Press, 1964, hlm. 470-471.
[10] Leong Yee Fong, Zaman Penjajahan dan Munculnya Susunan Politik Baharu di Tanah Melayu, 2007, hlm.246.
[11] Zainul Ariffin Abu Bakar, Pemberontakan Naning 1831-32, Latihan Ilmiah (tidak diterbitkan), 1992, Universiti  Sains Malaysia.
[12] Zainul Ariffin Abu Bakar, Pemberontakan Naning 1831-32, Latihan Ilmiah (tidak diterbitkan), 1992, Universiti  Sains Malaysia
[13] Merujuk kepada portal berita Malaysiakini yang bertajuk Zainal Kling: Malaya Tak Pernah Terjajah,  9 September 2011.
[14] Ibid.
[15] Ibid.
[16] Merujuk kepada portal berita Malaysiakini yang bertajuk Profesor Keliru, Kemudian Kelirukan Orang-Prof Dr Abdul Aziz Bari, 10 September 2011.
[17] Leong Yee Fong, Zaman Penjajahan dan Munculnya Susunan Politik Baharu di Tanah Melayu, 2007, hlm.257
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...