Pages

Showing posts with label Isu Remaja. Show all posts
Showing posts with label Isu Remaja. Show all posts

Friday, 6 January 2012

Cubaan Remaja Belasan Tahun "Ehem-ehem" di Tandas Masjid Terbantut




[SH] KOTA BHARU - Hasrat sepasang kekasih untuk melampiaskan gelora nafsu serakah mereka di dalam bilik mandi sebuah masjid di sini kelmarin tidak kesampaian apabila dicekup oleh penduduk kampung.

Perbuatan terkutuk pasangan belasan tahun tersebut untuk memadu asmara berjaya dikesan oleh jemaah sebuah masjid di Kampung Pasir Tumboh, dekat sini setelah menyedari terdapat motosikal diletakkan di pekarangan kawasan tersebut.

Seorang penduduk yang dikenali dengan panggilan Pok Cik Ya berusia 60-an memberi­tahu, kira-kira jam 4.20 petang dia melihat terdapat seorang remaja perempuan yang ber­baju kurung memasuki bilik mandi bersebelahan dengan tandas wanita.

Menurutnya, sejurus itu terdapat seorang lelaki memasuki bilik sama dan dia terus memaklumkan kepada jemaah masjid yang bersiap sedia untuk mengerjakan solat Asar berhubung kelakuan mencurigakan itu.

“Selepas beberapa minit berada di dalam bilik mandi, sekumpulan jemaah bertindak mengetuk pintu tetapi pasangan terbabit enggan membukanya.

“Beberapa minit kemudian pasangan terbabit membuka pintu tersebut dan remaja lelaki tadi keluar lalu melarikan diri, dengan meninggalkan teman wanitanya yang kemudiannya menyusul keluar dengan berpakaian lengkap,” katanya ketika ditemui di masjid tersebut semalam.

Bagaimanapun katanya, lelaki terbabit yang cuba melarikan diri dari masjid itu berjaya ditahan semula oleh penduduk kampung kira-kira 200 meter dari masjid tersebut.

”Dengan kerjasama penduduk kampung dan jemaah masjid berkenaan, kita menahan pasangan terbabit dan pada masa sama kita menghubungi keluarga masing-masing untuk tindakan lanjut,” katanya.

Dia berkata, sejurus kemudian, keluarga pasangan terbabit datang ke tempat kejadian untuk berbincang sebelum membawa pulang ke rumah masing-masing.

Katanya, pasangan terbabit dipercayai bukan penduduk di kawasan berkenaan tetapi perbuatan keji itu mengejut jemaah masjid dan penduduk kampung apabila terserempak mereka melakukan perbuatan maksiat di dalam bilik mandi yang terletak di dalam kawasan masjid.

Menurutnya, kelakuan pasangan terbabit telah mengaibkan orang Islam kerana menggunakan kawasan masjid melakukan maksiat dan remaja sekarang sudah tidak mempunyai perasaan malu serta takut untuk melakukan perbuatan terkutuk di masjid.

Katanya, sepanjang tinggal di kampung ini, tidak pernah berlaku kejadian seperti ini dan penduduk terkejut apabila ia dilakukan penduduk bukan tempatan.

P/s: Sudah tidak kira tempat! Silap-silap, lepas ini ada remaja yang kantoi ehem-ehem di dalam masjid!

Abang Tidak Sedar Adik Ehem-ehem dengan Warga Asing




[SH] BANDARAYA MELAKA – Seorang abang tidak sedar adiknya membawa seorang wanita asing masuk ke dalam bilik rumah disewa mereka bersama sehingga kediaman mereka diserbu Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim), kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 10.30 pagi di sebuah taman perumahan di sini, rumah berkenaan disewakan lelaki tempatan berusia 22 tahun bersama dua adik beradiknya yang lain.

Sepasukan anggota penguat kuasa Jaim bertindak menyerbu rumah berkenaan selepas mendapat maklumat orang ramai berkaitan seorang wanita dikesan masuk dalam rumah berkenaan.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Jaim, Rahimin Bani berkata, sebaik saja anggotanya melakukan serbuan, pihaknya menemui seorang wanita warga Indonesia berdua-duaan bersama seorang lelaki di dalam bilik rumah berkenaan.

“Ketika pemeriksaan, wanita berusia 25 tahun itu didapati sedang berada di dalam bilik air dalam keadaan bogel dan mendakwa baru pertama kali datang ke rumah lelaki itu yang dikenalinya sejak tiga bulan lalu,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Rahimin berkata, ketika serbuan juga, abang kepada suspek yang berada dalam rumah itu tidak menyedari adiknya membawa seorang perempuan ke dalam bilik.

“Pasangan terbabit akan didakwa mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana bersekedudukan.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan tindakan denda sebanyak RM3,000 atau penjara selama 24 bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Rahimin berkata, Jaim kesal dengan kejadian itu dan menasihati umat Islam di negeri ini supaya tidak mengambil kesempatan terhadap warga asing yang bekerja di negara ini.




P/s: Harap-harap abang si lelaki yang kantoi ini benar-benar tidak sedar!

Remaja Perempuan 13 Tahun Mengaku Ehem-ehem dengan Kekasih Beberapa Kali Sebelum Dicekup


Sekadar hiasan.

[HM] AMPANG: Seorang remaja perempuan ditahan bersama kekasihnya dalam bilik hotel bajet di Taman Melawati, di sini awal pagi kelmarin.

Dalam serbuan jam 3 pagi yang dilakukan sepasukan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), remaja 13 tahun itu mengaku menyewa hotel berkenaan dengan harga RM30 semalam bagi meraikan tahun baru bersama kekasihnya.

Menurut sumber polis, pasangan itu menyewa bilik hotel itu mulai jam 1 tengah hari dan melakukan hubungan seks beberapa kali sebelum dicekup.

Katanya, remaja itu mengaku melakukan hubungan asmara bersama kekasihnya yang berusia 23 tahun kerana menyintai lelaki itu yang dianggap pelindung dan baik hati.

“Remaja terbabit bersama teman lelakinya dibawa ke Balai Polis Taman Melawati untuk dirakam keterangan,” katanya di sini, semalam.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Md Nazri Zawawi ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.


14 Remaja Ditahan, Tidur Berpasang-pasangan di dalam Sebuah Bilik



[SH] BATU FERINGGHI - Sebuah hotel bajet di sini, menjadi sarang maksiat malam tahun baru berikutan penangkapan beberapa pasangan remaja di situ.

Ketua Operasi dan Penguatkuasaan Jaipp Tanjong, Muadz Md Nazan berkata, pihaknya menahan 14 remaja berusia lingkungan 16 hingga 20 tahun di hotel berkenaan.

Menurutnya, serbuan dilakukan sekitar jam 2 pagi mendapati tujuh pasangan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 27 iaitu berkhalwat.

“Dipercayai kesemua mereka ini datang berkonvoi ke Pulau Pinang sempena Tahun Baru 2012 kali ini, dan ada juga di antaranya ketika ditahan tidur secara berpasang-pasangan dalam sebuah bilik.

“Malah, dalam satu bilik yang kami tahan ada sehingga dua atau tiga pasangan kekasih, kalau yang tidur bilik lelaki dan perempuan asing-asing tidak mengapa, namun mereka tidur bersama-sama dalam satu bilik pula,” katanya.

Hotel bajet berkenaan boleh disewa dengan harga RM60 hingga RM100 semalam membuatkan mereka mampu untuk membayarnya dengan harga yang murah.

Bukan itu sahaja, dipercayai sebelum ini beberapa serbuan juga dilakukan di tempat berkenaan.

Muadz berkata, kebanyakan yang ditahan datang dari luar Pulau Pinang.

“Kebanyakan mereka ini tidak tahu penguatkuasaan yang dilakukan Jaipp atas kesalahan khalwat, kerana masing-masing bertanya kepada kami kenapa mereka ditangkap dan penguat kuasa kami memberikan penerangan dengan sewajarnya,” katanya kepada Sinar Harian.

Operasi maksiat yang bermula jam 12 tengah malam itu kemudiannya berakhir pada jam 7 pagi dengan 11 penguat kuasa di bahagian Tanjong.

Semua yang ditahan kemudiannya dibawa ke Balai Polis Batu Feringghi dan kemudiannya diikat jamin oleh waris. Dalam tempoh seminggu semuanya perlu hadir ke pejabat Jaipp bersama ibu bapa bagi menjalani siasatan lanjut.

Jika disabit kesalahan, kesemua mereka boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM3,000 atau penjara selama dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguat kuasa Jaipp, Jaafar Ismail berkata, penguat kuasa Jaipp berjaya menahan 36 pesalah mengikut Seksyen 27 dan Seksyen 29 akibat kesalahan berkelakuan tidak sopan di tempat awam.

Katanya, ia adalah tangkapan terbesar bagi tahun 2011 berbanding tahun sebelumnya.

“Ini kerana kami membahagikan kumpulan penguat kuasa kepada dua iaitu di bahagian Seberang Perai dan juga di kawasan pulau ataupun Tanjong.

“Operasi bermula 12 tengah malam hingga 7 pagi dengan 20 penguat kuasa Jaipp.

“Bagaimanapun penguat kuasa kami akan menjalankan operasi bagi dua-dua kesalahan ini setiap malam dan bukan sahaja memfokuskan hari-hari tertentu sahaja,” katanya.




Baru Berkenalan dengan Teman Lelaki di Facebook Selama 6 Bulan, Gadis IPT Sudah Berani Ehem-ehem di Hotel




[SH] AMPANG - Tindakan seorang penuntut institut pengajian tinggi (IPT) menyewa sebuah bilik hotel murah untuk memadu asmara dengan teman lelakinya membawa padah apabila bilik penginapan mereka diserbu anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Pegawai Masjid Al-Azim, Pandan Indah, awal pagi semalam.

Pegawai Masjid Al-Azim, Ahmad Nawi Osman berkata, gadis dari Kulai, Johor itu menyewa bilik hotel berkenaan untuk bertemu teman lelakinya.

“Gadis berkenaan memberi alasan kehabisan tiket bas ekspres untuk pulang ke IPT di Pahang, lalu menyewa bilik hotel itu,” katanya.

Ahmad Nawi berkata, pihaknya mendapati gadis berusia 21 tahun itu hanya membalut tubuhnya dengan tuala, manakala pasangannya yang berusia 33 tahun itu memakai seluar pendek tanpa baju.

“Gadis itu mengenali pasangannya enam bulan lalu melalui laman sosial. Lelaki berkenaan bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta,” katanya.


P/s: Mengapalah mudah dan murah sangat gadis remaja hari ini?



Lelaki Nepal di atas Katil Remaja 17 Tahun



[HM] KLANG: “Memang selama ini naluri keibuan saya seperti ada sesuatu yang tak kena kepada anak gadis. Akhirnya saya bertindak menyiasat sendiri dan luluh hati apabila menangkap anak saya dengan lelaki Nepal di bilik tidur rumah kami,” kata seorang ibu berusia 30-an.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam kelmarin di Pelabuhan Klang, di sini, wanita terbabit berpura-pura tidur untuk melihat pergerakan anak gadisnya berusia 17 tahun yang sebelum ini di adu jiran menjalinkan hubungan dengan warga asing.

Menurutnya, pada malam kejadian dia nekad mengintai pergerakan anak gadisnya itu selepas kerap menerima aduan perihal kurang menyenangkan.

“Biasanya saya tidur di ruang tamu sebab lebih senang menjaga suami yang sakit. Namun, saya runsing memikirkan aduan mengenai anak saya oleh jiran-jiran.

“Kira-kira jam 12.30 tengah malam saya dan suami sudah masuk tidur di bilik dan sebelum itu memang saya lihat anak mundar-mandir macam ada yang tak kena.

“Saya mengintai dan melihat anak keluar membuka pintu rumah sebelum mengajak seorang lelaki di dalam biliknya. Pada masa itu perasaan saya hanya Allah saja yang tahu,” katanya.

Dia dan suami menyerbu ke dalam bilik berkenaan sebelum memberkas warga Nepal berusia 20-an.

Menurutnya, ketika pintu bilik dibuka dia geram melihat lelaki itu berada di atas katil anak gadisnya dan mereka mengaku sudah sembilan bulan menjalin hubungan dan lelaki itu adalah bekas rakan sekerja kilang anak gadisnya.

Bagaimanapun, katanya, dalam kekecohan di rumahnya itu, lelaki Nepal terbabit menyusup keluar dan gagal dikesan.

Sehubungan itu, wanita berkenaan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan semalam dan merujuk anak gadisnya di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop ketika dihubungi semalam mengesahkan menerima laporan dan siasatan dilakukan menjurus kepada kes rogol.

“Apapun, polis perlu menunggu laporan daripada hospital sebelum siasatan lanjut dijalankan. Setakat ini suspek yang dikenalpasti belum diberkas,” katanya.



Alhamdulillah! Sufiah Yusuf Pelajar Genius Matematik Sudah Insaf Dari Pelacuran




KUALA LUMPUR - Wanita genius matematik yang juga bekas pelajar Universiti Oxford, Sufiah Yusof, 23, menyesal dengan tindakannya terbabit pelacuran. Perkara itu didedahkan Pengarah Perancangan dan Strategi Kumpulan Penyokong dan Pengasuh Profesional Islam (Pisang), Hanafi Abdul Malek yang dihubungi Harian Metro, semalam. Untuk mengesahkan perkara itu, Hanafi berkata, pihaknya menghubungi pengurusan yang pernah menjadi ejen wanita itu menjual tubuh yang turut mengakui dia tidak lagi terbabit dengan kegiatan itu.

“Dia dah tak buat lagi kerja tu dan kini hanya aktif melakukan kerja amal. Melalui e-mel yang dihantar kepada saya kira-kira seminggu selepas Aidilfitri lalu, Sufiah kata dia betul-betul menyesal dengan perbuatan itu. “Kami juga ada menghubungi agensi teman sosial yang menguruskan Sufiah dan mengesahkan mereka tidak dapat menghubunginya serta tidak tahu di mana dia berada,” katanya.

Kisah kehidupan Sufiah disiarkan akhbar News of the World keluaran 31 Mac lalu yang mendedahkan wanita yang dianugerah kepintaran semula jadi itu menawarkan khidmat seks melalui Internet dengan bayaran 130 paun Sterling (RM845) bagi satu sesi.

Wanita itu bertemu wakil akhbar terbabit yang menyamar sebagai pelanggan di laluan masuk ke fletnya dengan hanya memakai skirt pendek, but kulit dan baju-T.

Apabila wartawan itu berbual dengannya, Sufiah menyatakan dia masih belajar untuk mendapatkan ijazah sarjana dalam bidang ekonomi menerusi kursus separuh masa selama dua tahun di London.

Sufiah yang ibunya berasal dari Malaysia dan bapa dari Pakistan dilaporkan terpaksa menawarkan khidmat seks kerana kesempitan hidup. Dia dikatakan menjalani kehidupan di flet terbabit dengan menjual tubuhnya untuk membayar sewa.

Pembabitan wanita itu dalam pelacuran di Salford, Manchester, adalah tragedi hitam yang menimpa hidupnya sejak zaman kegemilangannya ketika dia bergambar dengan topi graduan di depan wartawan di luar Kolej St Hilda yang begitu berprestij.

Pendedahan akhbar itu berlaku serentak ketika bapanya, Farooq yang berasal dari Pakistan mula menjalani hukuman penjara kerana mencabul dua gadis berusia 15 tahun ketika memberi mereka tuisyen matematik.

Mengulas lanjut, Hanafi berkata, Sufiah kini lebih tenang selain senang dan gembira dengan rakyat negara ini yang mengambil berat mengenai dirinya. "Bagaimanapun melalui e-mel sama, dia jelaskan belum bersedia untuk bertemu keluarga, terutama ibunya (Halimaton Yusof).

“Sungguhpun begitu, saya gembira dengan perkembangan positifditunjukkan Sufiah dan menasihatkannya supaya sentiasa ingat serta memohon pertolongan kepada Allah,” katanya. Kata Hanafi, rancangan untuk merawat Sufiah menggunakan kaedah Islam mungkin dapat dilaksanakan sekitar bulan depan. Ini kerana dia akan ke Belanda atas urusan kerja sebelum ke England untuk bertemu Sufiah. ~hmetro



ISU AMALINA DAN ‘MORAL POLICING’


Apabila masyarakat Malaysia bercakap isu Nur Amalina Che Bakri dan tudungnya, adakah disebabkan peduli atau menyibuk urusan peribadi orang lain? Sementara apabila masyarakat Malaysia membisu mengenai pelbagai ketempangan dalam negara, adakah ia disebabkan terlalu sibuk atau tidak prihatin? Saya memulakan komentar terhadap isu ini dengan lontaran persoalan ini memandangkan terlalu ramai masyarakat Malaysia yang mengambil bahagian dalam isu tersebut, sambil sebahagian yang lain buat tidak endah dalam isu rasuah, kezaliman dan lain-lain.

Isu tudung adalah dosa peribadi, adapun isu penindasan dan kezaliman adalah dosa yang melibatkan kepentingan banyak pihak yang lain. Amalina mempunyai kebebasan dan pilihan untuk menuruti atau melanggar arahan bertudung, dan dalam masa yang sama kita juga mempunyai kebebasan dan pilihan untuk menasihati beliau supaya menjadi seorang Muslimah yang praktis, sementara selebihnya terserah kepada kedua ibu bapanya dan Allah swt. Hal ini sejajar dengan antara asas utama yang menjadi pegangan kita iaitu “Agama itu nasihat” sebagaimana terdapat dalam surah al-’Asr dan hadis nabi saw.

Adapun isu rasuah, penyelewengan wang zakat, kezaliman dan lain-lain, melibatkan hak manusia lain, justeru semua kita wajar menentang dan mencegahnya semampu kudrat yang ada. Ia merupakan dosa yang memberi kesan sosial dan melanggar hak manusia yang lain. Justeru konsep nasihat dan mencegah kemungkaran seperti ini berbeza dengan konsep nasihat dalam bab dosa peribadi, kemungkaran sebegini wajar ditentang dan disebar supaya masyarakat awam mengetahui, kerana isu tersebut melibatkan hak mereka juga.

Saya melihat, di sinilah kekurangan kita dalam memahami falsafah dosa pahala. Tidak sewajarnya kita menjaja kisah peribadi manusia lain selagimana dosa tersebut hanya berkait dengan dirinya sahaja. Kita wajar menasihati, bukannya mencerca dan memaki tanpa henti. Sementara dalam masa yang sama, segelintir manusia lain buat tidak reti dan peduli dalam isu hak dan kepentingan mereka sendiri sendiri seperti pencabulan demokrasi, kezaliman, rasuah, kronisme dan sebagainya. Aneh.

Berbalik kepada isu Amalina, ada beberapa isu yang wajarnya kita perhatikan iaitu perkaitan antara mahasiswa dan budaya ilmu, sejauh mana keberkesanan sistem pendidikan negara dalam memberi jaya, kepentingan peranan institusi keluarga (termasuk kursus perkahwinan yang lebih mementingkan lawak lucah berbanding bab tanggungjawab berkeluarga), apa yang ditumpukan dalam kursus-kursus perguruan (adakah nilaian A semata-mata?) dan seumpamanya, bukannya menyebarkan kesilapan Amalina dan disertai pelbagai cemuhan.

Kepada yang mencela, jangan lupa anda ada anak atau setidak-tidaknya bakal mempunyai anak yang akan hidup dalam dunia yang sangat berbeza. Jangan terlalu bermudah-mudah berasa puas hati dengan amalan kita, lantas lupa melihat segala kelemahan diri kita. Seorang tidak bertudung yang berasa malu kepada Tuhan atas dosanya lebih baik daripada seorang yang “soleh” namun takabbur dan memandang hina kesalahan orang lain.

Selain itu, apabila membincangkan soal dosa tidak bertudung, kita sentiasa lupa bahawa pertimbangan dosa pahala dalam Islam sangat penting. Contohnya dosa tidak bertudung dan dosa seorang pelajar yang membazir dan menyalahgunakan wang biasiswa dan zakat tidak sama, dosa tidak bertudung melibatkan dirinya dan Tuhannya sementara dosa berkaitan wang biasiswa dan zakat berkaitan dengan amanah yang diberikan oleh para pembayar cukai dan zakat. (Perkara harus masih lagi dibenarkan, termasuk membeli makanan, pakaian dan sebagainya. Bukan bererti hanya membeli kitab dan membayar yuran sahaja. Contoh salah guna dan pembaziran ialah membeli rokok dan untuk tujuan maksiat yang lain. Adapun dalam bab harus, sebaiknya sentiasa dimuhasabah supaya perbuatan harus itu menjadi ibadah. Wallahua’lam.)

Kita sentiasa terlebih sentimen dan emosional dalam menilai keburukan dan kelemahan orang lain, namun sebaliknya kita sentiasa bersangka baik dan memujuk diri sendiri apabila menilai keburukan dan kelemahan kita. Sesungguhnya kejujuran kita dalam menasihati dan menegur kesalahan seseorang terbukti menerusi kesungguhan kita mentaati perintah agama. Selain kita diamanahkan untuk emnjadi umat yang saling menasihati dalam persoalan dosa peribadi, kita juga dipinta supaya menentang segala dosa yang memberi kesan kepada sosial dan negara. Akhirnya, marilah kita merenungi dan menginsafi sebuah hadis nabi saw:

“Seorang lelaki bernama ‘Abdullah, digelar ‘himar’ (kaldai). Dia pernah menyebabkan Rasulullah s.a.w ketawa. Juga pernah Nabi s.a.w. menyebatnya (menjatuhkan hukuman) disebabkan kesalahan meminum arak. Pada suatu hari dia ditangkap lagi (disebabkan kesalahan meminum arak), maka baginda pun menghukum lalu dia disebat. Seorang lelaki berkata: “Ya Allah! Laknatilah dia, alangkah kerap dia ditangkap”. Lantas Nabi s.a.w pun bersabda: “Jangan kamu semua melaknatinya! Demi Allah apa yang aku tahu dia mencintai Allah dan RasulNya”. (Riwayat al-Bukhari).

Sesungguhnya tugas kita bukanlah untuk menghukum dan memberi pelbagai label kepada manusia, biarlah Allah yang menilainya. Kepada yang berbuat demikian, sudahkah anda membelah dada dan melihat hatinya?

Wallahua’lam

- http://www.marwanbukhari.com



Tuesday, 20 December 2011

bu "Restu" Anak Gadis yang Sudah Bertunang BERMADU KASIH dengan Kekasih "Gelap"


Sekadar hiasan.

[HM] KINARUT: Tindakan seorang lelaki cuba melarikan diri melalui pintu belakang selepas memadu kasih bersama teman wanitanya gagal apabila ditahan penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), yang menyerbu rumah ibu gadis berkenaan dalam operasi khas di Taman Limau Limauan, di sini, awal pagi semalam. 

Malah, dalam serbuan jam 1 pagi itu, tindakan pasangan berusia 22 dan 21 tahun berkenaan seolah-olah mendapat ‘restu’ ibu gadis terbabit yang cuba menafikan kehadiran teman lelaki anak gadisnya selain memarahi anggota penguat kuasa.

Lebih mengejutkan, gadis itu dipercayai sudah bertunang tetapi sering membawa pulang ‘kekasih gelapnya’ untuk memadu kasih tanpa ditegah ibunya yang turut berada di rumah sama. 

Terdahulu, berdasarkan maklumat, sepasukan penguat kuasa JHEAINS bergegas ke rumah berkenaan lalu mengetuk pintu beberapa kali dan dibuka seorang wanita berusia 41 tahun dengan berpakaian lengkap.

Sebaik memperkenalkan diri sebagai penguat kuasa JHEAINS dan meminta izin melakukan pemeriksaan, wanita itu menegaskan hanya tinggal bersama anaknya.

Curiga dengan jawapan itu, penguat kuasa JHEAINS terus melakukan pemeriksaan, namun tidak menemui lelaki dimaksudkan.

Oleh kerana tidak menemui suspek, wanita berkenaan naik berang dan menegur JHEAINS kerana tetap mahu melakukan pemeriksaan.

Namun, secara tiba-tiba, seorang lelaki didapati cuba melarikan diri melalui pintu belakang, tetapi dicekup.

Penolong Ketua Penguat Kuasa Agama JHEAINS, Khamis Jamil berkata, selepas 10 minit berada di dalam rumah berkenaan, pihaknya melihat kelibat seorang lelaki cuba melarikan diri melalui pintu belakang.

“Ketika mahu beredar, dua anggota di belakang rumah menahan seorang lelaki yang cuba melarikan diri melalui pintu belakang.

“Ketika disoal, perempuan ini memaklumkan lelaki terbabit adalah anak angkatnya yang juga rakan anak perempuannya menumpang tidur di rumahnya,” katanya.

Khamis berkata, siasatan awal mendapati lelaki berkenaan tidak mempunyai sebarang pertalian dengan keluarga berkenaan lalu mereka dibawa ke Balai Polis Kinarut untuk membuat laporan.

“Hasil pemantauan kami selama lebih dua minggu mendapati lelaki ini sering mengunjungi rumah terbabit untuk bersama anak wanita berkenaan.

“Siasatan juga mendapati ibu gadis berkenaan adalah ibu tunggal,” katanya.





P/s: Gila! Apa nak jadi? Ibu sendiri restu anak bercengkerama dengan kekasih gelap!!!

Monday, 19 December 2011

Gadis IPTA Ditemui Tersandar Di Hotel Bajet Dengan Kesan Pendarahan



Bandaraya Melaka - Seorang pelajar sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negeri ini ditemui tersandar di dinding sebuah hotel bajet di Kampung Hulu, di sini dalam keadaan berdarah, petang kelmarin.

Mangsa berusia 20 tahun itu dipercayai dirogol teman lelakinya yang berusia 22 tahun selepas kedua-duanya dikesan mendaftar masuk ke hotel berkenaan yang terletak di belakang sebuah stesyen minyak, kira-kira 6.30 petang.

Menurut sumber, lelaki dikenali mangsa itu sejak dua tahun lalu dilihat berlari keluar dari hotel berkenaan sebelum mangsa juga keluar dalam keadaan menangis selang beberapa minit kemudian.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, pelajar berkenaan ditemui anggota polis yang melalui kawasan berkenaan dalam keadaan bersandar di dinding hotel tersebut.

“Ketika ditemui kira-kira 7 petang, terdapat darah di bahagian bawah pakaian mangsa menyebabkan anggota polis segera menghubungi ambulans untuk dibawa ke Hospital Melaka, di sini bagi mendapatkan rawatan.

“Siasatan awal mendapati mangsa sebelum kejadian keluar bersama tiga lagi rakan yang lain sebelum rakan-rakannya ke tempat lain dan dia menemui suspek,” katanya.

Menurut Raja Shahrom, mangsa dipercayai panik berikutan kejadian menimpanya, selain mengalami pendarahan dan kini masih lagi trauma dengan kejadian tersebut.

“Kami belum lagi dapat meneruskan siasatan beriku-tan mangsa yang berada di hospital masih trauma dan siasatan diteruskan sebaik saja keadaannya kembali stabil.

“Bagaimanapun, kes akan disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol,” katanya.


Sunday, 18 December 2011

4 Tahun Jadi Habuan Nafsu Mat Rempit



[HM] BATU PAHAT: “Sejak kecil saya tidak pernah diberikan didikan agama oleh keluarga, malah sejadah di rumah kami boleh dianggap barang hiasan saja,” kata seorang remaja dikenali sebagai Lisa, 19, yang kini menjadi sebahagian daripada kumpulan perempuan yang menjadi habuan Mat Rempit dan terbabit dengan gejala sosial itu sejak berusia 15 tahun.



Menurut anak keempat daripada lima beradik itu, keluarganya memang orang berada dan tahu dia terbabit dengan masalah sosial seperti minum minuman keras, dadah dan seks bebas, tetapi tidak melakukan apa-apa termasuk menasihatinya.

Dia yang keciciran sekolah berkata, keluarganya hanya buat tidak peduli setiap kali dia mengadu atau mendapatkan pandangan berkaitan sesuatu perkara berhubung masa depannya.

“Kerana tiada perhatian maka saya terus menjadikan Mat Rempit, dadah serta minuman keras sebagai penghibur. Setiap kali berkenalan dengan lelaki saya pasti mahu mereka membimbing saya ke jalan benar.

“Bagaimanapun, kesudahannya, saya hanya dijadikan objek pemuas nafsu,” katanya yang membuat pengakuan berani kepada wakil Harian Metro yang menemuinya di sini, baru-baru ini.


P/s: Kes seperti ini sudah menjadi kebiasaan di negara kita. Saya pernah kata "remaja di Malaysia sedang berlumba-lumba memecahkan teruna dan dara sebelum usia 18 tahun."

Friday, 16 December 2011

Bapa Lapor Anak Khalwat, Imam "Lepaskan"


Sekadar hiasan.

[SH] ALOR GAJAH - Sepasang kekasih ditahan di rumah sebuah kampung di sini kerana berkhalwat semalam setelah bapa lelaki yang sudah tidak tahan dengan perangai buruk anaknya itu, melaporkan kepada polis dan imam.

Bagaimanapun, imam yang tiba bersama beberapa ahli jawatankuasa masjid di situ pada jam 10.45 pagi, membebaskan pasangan berusia ­20-an dan 30-an itu selepas memberi nasihat.

Bapa lelaki itu yang bekerja sendiri dan berusia 60-an menghubungi polis serta imam apabila anaknya yang ­berusia dalam lingkungan 30-an ­berada di rumah itu bersama ­kekasihnya, isteri orang beranak dua.

Menurut sumber yang boleh ­dipercayai, bapa lelaki itu tidak senang dengan sikap anaknya yang sering membawa balik kekasih dan berdua-duaan dalam bilik.

Semalam, dia membuat ­keputusan menghubungi polis dan pihak masjid untuk menangkap ­pasangan itu.

Rombongan dari masjid, diketuai imam itu, tiba lebih awal dari yang dijadualkan, sementara anggota polis membuat persiapan ke rumah itu.

“Imam itu memberikan nasihat kepada pasangan itu dan melepaskan mereka,” katanya.

Sementara itu Pengerusi Persatuan Pegawai Syarak Negeri Melaka, Datuk Abu Khir Jamaludin, ketika ditemui berkata, dalam kes seperti itu, ­pasangan berkenaan sepatutnya ­ditahan dan diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, barangkali kes ini ada kaitan antara keluarga pasangan itu dan imam tersebut.

“Perkara ini tidak boleh ­ dipandang remeh. Siasatan secara telus akan dijalankan. Imam terbabit tidak boleh melepaskan pasangan kekasih itu dengan hanya memberi nasihat. Ini boleh dianggap salah laku dan ­boleh menimbulkan syak. Jika ­ ­perkara ini benar-benar berlaku, imam ­berkenaan boleh didakwa.

“Saya akan ke Balai Polis Kuala Sungai Baru untuk mendapatkan maklumat berhubung kejadian ini dan ia akan dibawa ke bahagian ­penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) untuk tindakan lanjut,” katanya.


P/s: Agak mengejutkan apabila si imam membebaskan pasangan yang mabuk berkhalwat dengan hanya memberikan nasihat. Sepatutnya, tindakan diambil kerana si bapa berdasarkan laporan di atas sudah tidak tahan dengan perangai anaknya... Wallahualam..

Thursday, 15 December 2011

Remaja Malaysia berlumba-lumba "memecahkan" teruna dan dara sebelum usia 18 tahun!


Saya petik:

[SH] LUNAS - Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM) menahan sepasang kekasih berusia 14 dan 16 tahun dalam lubang relung air yang ditinggalkan di belakang premis memproses getah beku di Paya Besar kira-kira jam 2 petang semalam. 
 
Pengurus kilang yang enggan identitinya didedahkan berkata, dia ternampak beberapa pekerjanya memanjat tebing kilang dan mengintai ke luar premis, manakala salah seorang daripadanya memaklumkan kepadanya berhubung perbuatan pasangan terbabit yang sedang berasmara.
 
“Ini bukan kali pertama pasangan ini melakukan perbuatan sumbang di sini. Sehingga kini pekerja di kilang saya telah menemui mereka sebanyak tiga kali.
 
“Saya terkejut apabila pekerja saya memaklumkan pasangan itu sedang berbaring sambil berasmara. Saya kemudian memaklumkan kepada unit MPV untuk mengambil tindakan lanjut terhadap pasangan itu,” katanya.
 
Dalam pada itu, pengurus terbabit berharap pihak terlibat melihat permasalahan perlakuan seks kalangan remaja bawah umur terutama pelajar sekolah dengan lebih serius, bagi mengelakkan berlakunya kes buang anak, rogol dan lain-lain melibatkan mereka.
 
Difahamkan pihak PPKM menyerahkan kes kepada anggota unit MPV untuk tindakan lanjut sejurus penahanan itu.
 
Ketua Polis Daerah Kulim, Superitendan Ghuzlan Saleh berkata, sehingga kini tidak ada sebarang laporan polis dibuat oleh mana-mana pihak terlibat.
 
Menurutnya polis akan menjalankan siasatan jika ada laporan dibuat terhadap mangsa terlibat.
 
“Perlakuan seks remaja bawah umur sama ada pasangan perempuan rela ataupun tidak, ia akan diklasifikasikan sebagai rogol dan ini merupakan kesalahan jenayah serius.
 
“Bagaimanapun waris harus membuat laporan polis untuk membolehkan siasatan dijalankan. Sehingga kini kebanyakan kes rogol melibatkan pasangan kekasih bawah umur berlaku kerana suka sama suka,” katanya.
 
Katanya, gejala ini mula menular ke pelajar sekolah rendah dan ibu bapa perlu memberikan didikan agama yang sempurna supaya mereka tidak mudah terlibat dalam sebarang perlakuan berunsurkan maksiat dalam usia muda.
 
 


Friday, 25 November 2011

Bila Jari Mula Meratib Bicara CINTA: “Jika KITA hilang segala-galanya, JANGAN LUPA, bahawa KITA masih mempunyai masa depan.”.

Bismillahirrahmanirrahim.. Bicara cinta buat insan yang sedang berduka kerna kecewa atau dikecewakan oleh orang yang sepenuh hatinya dicintai bahkan mungkin insan yang benar-benar diimpikan untuk disunting menjadi makmum dalam solatnya.. Setelah mata, telinga, serta deria kurniaan Allah ini melihat dan mendengar, malah diri ini pernah berkedudukan seperti disebutkan diatas, maka jari-jemari ini berani menukilkan sesuatu yang diharapkan bisa mententeramkan seketika kekecewaan, putus harap, dan merhedai sebuah KEHILANGAN.


Terpapar di fb teman-teman berbagai status dan luahan perasaan yang dilihat sedikit rasa kecewa asbab KEHILANGAN... Ya, KEHILANGAN... suatu yang mudah dibicarakan... TAPI,sukar untuk menerima KETETAPAN. Disebalik kesedihan itu, terukir satu senyuman... Ya, SENYUMAN... kerna, sebuah PERSAMAAN PERASAAN. Dalam puluhan malah ribuan madah perasaan, diri ini terpandang suatu ungkapan yang sangat bererti dan begitu terkesan

Mungkin Tuhan sengaja mahu kita berjumpa dengan orang yang salah sebelum menemui insan yang betul 

Mengapa Allah menemukan kita kepada orang yang salah untuk dicintai? Maka, tanpa TAULIAH mana-mana institusi akedemia diri ini merumuskan teori bahawa, Apabila Allah menemukan kita pada insan yang betul, kita akan tahu bagaimana untuk BERSYUKUR dengan nikmat pemberian dan hikmah di sebalik pemberian tersebut. Di sini, diri ini banyak belajar.. iaitu;

BELAJAR menerima SEADANYA... BELAJAR makna KEHILANGAN... BELAJAR membentuk KEBAHAGIAN.. BELAJAR meredhai KETETAPAN.. dan BELAJAR bahawa cinta itu TIDAK semata SEMANIS MADU, TETAPI, adakalanya ianya PAHIT sepahit HEMPEDU.


Adalah menjadi norma dan KEBIASAAN bagi diri yang kecewa atau dikecewakan, Apabila salah satu pintu kebahagiaan tertutup, yang lain akan terbuka tapi,  lazimnya kita kita akan memandang pintu yang TELAH tertutup itu terlalu lama hinggakan kita tidak nampak pintu yang telah pun dibukakan untuk kita. Mudahnya, kita lebih MERATAPI kehilangan malah BERLEBIH-LEBIHAN mengenainya pada masa yang sama ada PELUANG dan RUANG pada diri orang lain yang mengharapkan sesuatu daripada kita.


Benarlah bahawa ALLAH itu Maha TAHU melebihi apa yang diri ini dan kita TAHU. Jika manusia punya kuasa TAHU maka, tidaklah terpapar madah sedemikian pula;

kita tidak tahu apa yang telah kita punyai sehinggalah kita kehilangannya

Ramai yang menyangka bahawa, apabila dia sudah berkorban dan memberi SELURUH cintanya, maka HASILnya dia akan MEMILIKI cinta... itu pasti!.. cuma, andai benarlah seperti dikata... mengapa ada yang sanggup MEMBUNUH DIRI sungguhpun tidak terbilang jari MODAL dan USAHA dilabur untuk MEMILIKI cinta? Sekali lagi, tanpa tauliah akademia, diri ini menyimpulkan.. bahawa;

Bukanlah satu kepastian bagi anda yang GAH menabur BUDI dan KASIH akan BERJAYA memperoleh apa yang dihajati dan mampu MEMBELI cinta yang membuatkan yang yang dicintainya akan menyintai anda kembali!

Maka, setelah diri dikecewakan... berpusu-pusulah "tukang dukun".. "tok-tok bomoh" ... dikalangan teman jauh dan dekat datang memberi NASIHAT.. selembut LIDAH tanpa TULANG.. mereka menyusun kata bahawa;  Jangan harapkan cinta sebagai balasan. Waduh-waduh.. semudah dilafaz secantik bahasa... persoalannya, BOLEHKAH diri yang MENANGGUNG azab itu MENERIMANYA?

Ada, teman-teman yang membuat hipotesis lagak persis saintis.. Entah dari siapa penjuru mana TEORI ini diambil. Malah, digunakan hingga kini sebagai WASIAT untuk bakal-bakal pasangan bercinta, menjadi KITAB RUJUKAN dan MAZHAB pegangan... bahawa;

Kita cuma mengambil masa seminit untuk jatuh hati pada seseorang, satu jam untuk menyukai seseorang,satu hari untuk menyintai seseorang tetapi ia mengambil masa sepanjang hidup untuk melupakan seseorang.


Carilah seseorang yang membuatkan anda tersenyum kerana ia cuma memerlukan sekuntum senyuman untuk mencerahkan hari yang suram.

Belajarlah MEMAHAMI bukan MENYAKITI.. Selalu bayangkan diri ini di dalam kasut seseorang,jika diri ini rasa
ianya menyakitkan, fikirlah ia PASTI menyakitkan orang lain juga. Pada akhir catatanku, dengah penuh rasa KESEDARAN dan KEPASRAHAN... Cuma, kata-kata ini yang dapat aku sampaikan... Buat diri dan teman-teman yang sedang kecewa dan dikecewakan... 

KEBAHAGIAAN seseorang manusia TIDAK semestinya dalam memiliki semua yang TERBAIK.

Kebahagaiaan itu terletak kepada mereka yang MENANGIS ,mereka yang TERLUKA , mereka yang TELAH MENCARI dan mereka yang TELAH MENCUBA. Maka, benarlah kata hikmah ini...

“Jika anda berhasrat untuk berjaya, jangan hanya memandang ke tangga tetapi belajarlah untuk menaiki tangga tersebut.”


Beruntunglah bagi diri yang BELAJAR daripada SEJARAH. Kerana, disebalik tinggalan sejarah berkenaan tersembunyi 1001 cerita dan PENGALAMAN yang boleh dijadikan DAHAN untuk berpaut bila hidup dilanda RIBUT. Masa depan yang cerah sentiasa berteraskan kehidupan yang lalu yang telah dilupakan. BUKAN bermaksna melupakan KESEMUANYA yang berupa kegagalan dan kekecewaan, kerna kita tidak boleh meneruskan kehidupan dengan sempurna sehingga anda melupakan kegagalan dan kekecewaan masa silam.

Sebutir kata permata buat diri dan teman-teman sekaliannya..

“Jika KITA hilang segala-galanya, JANGAN LUPA, bahawa KITA masih mempunyai masa depan.”. 


http://www.facebook.com/note.php?note_id=10150308478843783

Sepucuk Surat Daripada Bonda Untuk Anak Dii Rumah Insani

Di bawah merupakan antara isi kandungan sepucuk surat seorang IBU kepada seorang Pelatih Rumah Insani (Pusat Pemulihan Akhlak dan Akidah), remaja lelaki berumur 17 tahun (SPM) berasal daripada Taman Keramat, Kuala Lumpur. Segala identiti dan kesalahan yang dilakukan ada tercatat dalam surat berkenaan. Semoga anda mengambil iktibar dan pengajaran daripada kisah remaja ini. Pada mulanya hanya menganggap ugutan untuk dimasukkan ke Pusat Pemulihan (Rumah Insani) merupakan GURAUAN dan LAWAK semata-mata. Tetapi, setelah tangan terikat, dan dimasukkan ke dalam kereta, badan terus mengigil kerisauan, merayu-rayu minta diberikan peluang terakhir. Malangnya, semua itu sudah terlambat! pilihan yang dibuat adalah menjurus untuk menetap di Rumah Insani selama 6 bulan dalam pengawasan warden khas untuk remaja bermasalah dan memfokuskan didikan kerohanian dan islami.





sambungan



sambungan




mulanya dia hanya sekadar membaca tanpa terluah sedikit perasaan pun..


Tiba-tiba, dia menitiskan air mata setelah membaca satu demi satu ayat dari surat berkenaan



Di mana ada kemahuan di situ pasti ada jalan

Kalau ingin dihormati, belajarlah untuk menghormati.

Kalau ingin dimaafkan, belajarlah untuk memaafkan.

Kalau ingin difahami, belajarlah untuk memahami.

Kalau ingin disedari, belajarlah untuk menyedari.

Kalau ingin disayangi, belajarlah untuk menyayangi.

Kalau ingin dikasihi, belajarlah untuk mengasihi.

Kalau ingin diterima, belajarlah untuk menerima.

Kalau ingin dihargai, belajarlah untuk menghargai.

Kalau ingin disenangi, belajarlah untuk menyenangi.

Bukan orang lain yang perlu berubah mengikut kehendak kita tetapi kitalah yang sebenarnya perlu mengubah diri kita.

Memuaskan hati semua orang itu tidak mudah tetapi berubah untuk memuaskan hati semua orang itu tidak mustahil.

"Di mana ada kemahuan di situ pasti ada jalan"



InsyaAllah Dia akan permudahkan.



Jadilah seperti sang pelangi yang tidak bercahaya namun tetap berseri


Jadilah seperti bintang-bintang meskipun jauh tetap setia menemani sang bulan menghiasi malam



akhir sekali, Jadilah seperti dirimu sendiri :)

Thursday, 24 November 2011

Calon SPM ditangkap khalwat dengan duda beranak dua




[SH] LEDANG – “Saya hanya berehat dan menonton televisyen di bilik ini.”

Demikian alasan seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) apabila dicekup berkhalwat bersama pasangannya oleh Penguatkuasa Pejabat Agama Daerah Ledang (PPADL), awal pagi semalam. 

Remaja perempuan berusia 17 dan pasangannya berusia 27 itu ditahan dalam serbuan kira-kira jam 12.30 pagi ketika sedang berdua-duaan di dalam sebuah bilik di bengkel jentera di Serom 6, Sungai Mati, di sini. 

Pelajar itu juga mendakwa dia datang ke bilik teman lelakinya itu sekadar untuk mengisi masa lapang kerana tiada kertas peperiksaan yang diduduki pada hari tersebut, selain akan pulang ke rumah di Muar sebaik sahaja selesai berehat di bilik itu. 

Manakala, teman lelakinya adalah duda beranak dua dan baru sahaja bekerja di bengkel itu sejak sebulan lalu. 

Kadi Daerah Ledang, Sulaiman Maidin berkata, berdasarkan aduan orang awam, sepasukan anggota yang diketuai Pegawai Penguatkuasa, Zainal Kadiran memeriksa bilik di bengkel itu. 

Menurutnya, selepas mengetuk pintu dan memberi salam, seorang lelaki yang hanya berseluar dalam membuka pintu. 

“Para penguat kuasa hanya me­nunggu kira-kira dua minit sebelum lelaki itu membuka pintu dan membenarkan pemeriksaan dijalankan. 

“Pemeriksaan menemui seorang remaja perempuan memakai baju-T dan berseluar pendek sedang baring di atas tilam,” katanya kepada Sinar Harian. 

Sulaiman berkata, pasangan itu kemudiannya ditahan untuk siasatan lanjut kerana gagal menunjukkan sebarang dokumen mempunyai hubungan mahram atau suami isteri. 

“Mereka dibawa ke Balai Polis Sungai Mati untuk dibuat laporan tangkapan sebelum dibawa ke Pejabat Agama untuk siasatan lanjut dan dijamin dengan jaminan keluarga masing-masing. 

“Mereka ditahan dan didakwa di bawah Seksyen 27 (1) a b, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor, 1997 yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya.

Wednesday, 23 November 2011

Hilang Dua Hari, Hilang DARA!





[HM] KAJANG: Kehilangan seorang remaja perempuan selama dua hari terjawab apabila dia bersama teman lelakinya terserempak dengan abang kandungnya ketika sedang bersarapan di sebuah restoran di Batu 9, Cheras, di sini, kira-kira jam 9 pagi kelmarin. 

Lebih mengejutkan, adiknya yang berusia 15 tahun mengaku dia dirogol teman lelakinya itu di rumah sewa lelaki berkenaan di Bukit Belimbing, di sini, sejak melarikan diri Sabtu lalu.

Berang dengan pengakuan itu, abang mangsa kemudian membawa adiknya itu membuat laporan di Balai Polis Batu 9, Cheras sebelum teman lelakinya berusia 20 tahun ditahan polis. 

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, sebelum ditemui, mangsa dilaporkan melarikan diri dari rumah keluarganya dan usaha mengesannya dilakukan keluarganya.

Mangsa dikatakan terpedaya dengan ayat manis teman lelakinya yang mengajak bermalam di rumahnya dan meminta mangsa agar tidak bimbang.

“Termakan dengan pujuk rayu suspek, mangsa akhirnya bersetuju bermalam di rumah suspek tanpa memaklumkan kepada keluarganya. 

“Melihat mangsa memasuki ‘jerat’, suspek kemudian mengambil kesempatan merogol mangsa sebanyak dua kali sepanjang mangsa berada di rumah sewanya,” katanya.

Beliau berkata, selepas merogol mangsa, suspek merayu kepada mangsa agar perbuatan terkutuknya itu tidak dimaklumkan kepada sesiapa terutama kepada keluarga mangsa kerana bimbang akan ditahan polis. 

Bagaimanapun, usaha suspek menyembunyikan perbuatan kejinya itu tidak kesampaian apabila dia ditahan selepas abang mangsa memaksa mangsa untuk menceritakan kejadian sebenar sepanjang dia melarikan diri.

“Mangsa akhirnya akur dan mengaku dirogol suspek sebelum mangsa membuat laporan polis.

“Suspek kini ditahan reman selama empat hari kerana kesalahan merogol gadis bawah umur dan kini di tempatkan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk siasatan lanjut,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan sabit kesalahan akan dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.



P/s: Retorik apabila perbuatan sendiri terbongkar! Kalau usia baru 15 tahun sudah ada teman lelaki dan berani pula tidur di rumahnya, apa jenis budak perempuan ini?

AKHIRNYA USAHA SEKOLAH MENGANDUNG DI MELAKA MENAMPAKKAN HASIL YANG HEBAT.



Kondom, tisu basah bersepah

MELAKA - Benteng yang dibina di sepanjang Pantai Sungai Tuang hingga ke Pantai Tanjung Dahan, di sini, sebagai penahan ombak, malah turut menjadi lokasi remaja melakukan maksiat.

Lebih mengejutkan, perbuatan tidak bermoral itu dilakukan tanpa mengira waktu dan semakin ‘panas’ menjelang malam.

Pihak berkuasa beberapa kali melakukan serbuan dan tangkapan terhadap beberapa pasangan yang asyik memadu asmara, malah lebih mengejutkan terdapat juga pasangan merakam video aksi berahi mereka untuk dijadikan koleksi peribadi.

Lebih menjijikkan, kondom dan tisu basah turut mengotori kawasan benteng berkenaan.

Menyedari aktiviti tidak bermoral semakin menjadi-jadi, penduduk tempatan mengambil inisiatif memantau keadaan pantai dan menegur pasangan yang menunjukkan aksi mencurigakan.

Penduduk, Md Zamri Bashir, 39, berkata, aktiviti maksiat lebih ketara pada waktu malam berikutan kemudahan lampu yang tidak mencukupi dan sebahagiannya tidak berfungsi.

“Kami bimbang dengan aktiviti tidak bermoral ini, lebih-lebih lagi ia membabitkan penuntut institusi pengajian tinggi dan pelajar,” katanya kepada Sinar harian, semalam.

Sementara itu, Setiausaha Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Telok Gong, Mohd Ali Hanafiah Jamat berkata, dia juga kesal dengan penemuan kondom yang bersepah di kawasan berkenaan, membuktikan adanya aktiviti maksiat.

“Pihak berkenaan perlu memantau kawasan riadah di pantai ini, begitu juga masyarakat dan pengunjung diharap dapat memberi kerjasama menangani gejala ini.

Ahli Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Hasni Yang Ghazali pula berkata, masalah membabitkan pasangan memadu kasih di benteng berkenaan perlu diberi tumpuan.

“Kami akan panjangkan isu ini dalam mesyuarat Ahli Majlis MPAG yang akan di adakan,” katanya.SH

Teruskan membuat maksiat dan berzina. Sekolah Mengandungkan ada.........(sindir)

Tuesday, 22 November 2011

Air mani dikatakan air penghawa dingin..



GEORGETOWN: Sepasang kekasih memberi alasan tidak masuk akal dengan mendakwa tompokan air mani di katil sebagai kesan air alat penghawa dingin ketika mereka ditahan kerana berkhalwat di sebuah hotel di Lebuh Chulia, disini, kelmarin.

Dalam serbuan jam 12.15 tengah malam oleh sepasukan pegawai penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) itu, wanita berusia 18 tahun itu tidak sempat memakai pakaian dan hanya berselimut untuk menutup tubuhnya.

Ketua Unit Operasi JHEAIPP, Khairul Azman Azizan berkata, pihaknya membuat pemeriksaan melalui buku pendaftaran sebelum ke bilik disewa pasangan kekasih itu.

Menurutnya, ketika pemeriksaan, pihaknya terpaksa menunggu hampir lima minit sebelum pintu bilik dibuka seorang lelaki.

Katanya, pemeriksaan dilakukan mendapati seorang lelaki hanya berseluar panjang tanpa memakai baju mengaku duduk bersama rakannya.

“Hasil pemeriksaan lanjut, kami menemui seorang wanita berada atas katil dalam keadaan berselimut dan pemeriksaan mendapati dia di dalam keadaan berbogel.

“Pemeriksaan lanjut turut menemui kesan tompokan air di atas katil dipercayai air mani namun ketika disoal mereka memberi alasan air dari alat penghawa dingin,” katanya.

Khairul Azman berkata, lelaki terbabit berusia 20 tahun dan dia memberi alasan mahu menumpang tidur di situ.

Beliau berkata, kedua-duanya ditahan dan dibawa ke JHEAIPP untuk siasatan lanjut.

Katanya, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 27 (a) (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996 dan sabit kesalahan boleh didenda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya.



http://www.utaranews.com

Monday, 21 November 2011

Padah Lari dari Asrama, Budak 14 Tahun Dirogol Lelaki Baru Dikenali



[HM] ARAU: Akibat kebosanan, seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun yang bertindak melarikan diri dari asrama sekolahnya, dekat sini, berdepan detik menyayatkan hati apabila menjadi mangsa rogol seorang lelaki pada Khamis lalu.

Mangsa dipercayai memanjat pagar asrama kira-kira jam 10.45 malam sebelum terserempak dengan seorang lelaki berusia 22 tahun di sebuah stesen bas lalu mempelawa diri untuk menemani gadis itu. Ketua Polis 

Daerah Arau, Superintendan Mohd Nadzri Hussain berkata, suspek kemudian membawa mangsa bersiar-siar di Kangar, dekat sini, sehingga tengah malam.

Katanya, mangsa yang berasal dari Lubuk Sireh tidak dapat pulang ke asramanya kerana sudah lewat malam sebelum diajak pulang ke rumah lelaki terbabit.

“Mangsa tidak mengesyaki sesuatu yang buruk apabila suspek memaklumkan tinggal bersama keluarga selain berjanji menghantarnya pulang ke asrama pada keesokan paginya.

“Percaya dengan kata suspek, mangsa mengikut lelaki itu pulang ke rumahnya sebelum dirogol serta dikurung sehingga petang keesokkan harinya. Bagaimanapun, mangsa berjaya melarikan diri ketika ketiadaan lelaki itu,” katanya.

Menurutnya, pihak sekolah yang terkejut dengan kehilangan mangsa dari asrama kemudian mencarinya sebelum berjaya menemuinya pada petang kelmarin.

Katanya, selepas disoal, mangsa memberitahu dia keluar dari asrama sekolah sebelum dirogol suspek menyebabkan laporan berhubung kejadian dibuat di Balai Polis Arau untuk tindakan lanjut.

“Berdasarkan laporan polis, suspek ditahan kira-kira jam 5 pagi tadi (semalam) dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol,” katanya. 


P/s: Cari nahas!!!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...