KUALA LUMPUR: Seorang budak lelaki berusia 12 tahun layak digelar ‘gengster cilik’ apabila dia bukan saja nekad menyamun warga emas yang juga nenek kepada rakannya, malah sanggup membelasah mangsa sehingga patah kaki.
Difahamkan, suspek melakukan perbuatan kejam itu bersama seorang lagi rakannya berusia awal 20-an di rumah mangsa di Bandar Tun Razak, di sini.
Malah, kedua-dua suspek terbabit berulang kali memijak dan menendang mangsa berusia 57 tahun itu ketika cuba meloloskan diri.
Semuanya bermula jam 11 malam pada Jumaat lalu, apabila kedua-dua suspek pergi ke kediaman seorang lagi rakan mereka, sebelum bertemu dengan warga emas terbabit yang berseorangan di rumah.
Kedua-dua suspek cuba merampas barang kemas dan wang tunai milik warga emas berkenaan menyebabkan berlaku pergelutan antara mereka.
Menurut sumber, disebabkan terdesak untuk melarikan barangan berkenaan selain mengelak perbuatan itu disedari penduduk, kedua-dua suspek membelasah warga emas berkenaan.
“Mereka berulang kali memijak dan menendang tubuh mangsa sehingga merampas barang kemas berkenaan.
“Biarpun warga emas itu berulang kali merayu dikasihani, kedua-dua suspek tidak mengendahkannya,” katanya.
Sumber itu berkata, jeritan mangsa didengari penduduk setempat sebelum mereka tampil menghulurkan bantuan.
Tersentak dengan kehadiran penduduk, kedua-dua suspek cuba melarikan diri, namun remaja lelaki itu ditangkap.
Penduduk juga merampas semula barang kemas dan wang tunai milik warga emas berkenaan, namun seorang lagi suspek dapat meloloskan diri.
Sehubungan itu, penduduk setempat menghubungi pihak berkuasa sebelum menyerahkan suspek untuk siasatan dan tindakan lanjut.
‘Gengster cilik’ itu dibawa ke Balai Polis Cheras di sini, untuk tindakan susulan manakala warga emas terbabit dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk rawatan kecemasan.
Difahamkan, warga emas itu patah kaki akibat dibelasah kedua-dua suspek selain lebam seluruh tubuh dipercayai akibat dipijak dan ditendang.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Abdul Rahim Hamzah Othman ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan dan memberitahu kanak-kanak terbabit akan direman sehingga esok bermula kelmarin, bagi membantu siasatan.
“Manakala rakan suspek masih diburu dan pihak polis percaya akan dapat memberkasnya dalam masa terdekat. Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 395 samun berkumpulan tanpa senjata,” katanya.//hmetro
No comments:
Post a Comment