Pages

Thursday 17 November 2011

152,182 Anak Tidak Sah Taraf 2008-2010



[HM] SERAMAI 152,182 anak luar nikah atau tak sah taraf direkodkan bagi 2008 hingga tahun lalu dengan Sabah merekod kelahiran anak tak sah taraf paling tinggi dengan 41,490 orang. 

Selain Sabah, statistik daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) juga mencatat kelahiran anak tak sah taraf tinggi iaitu Selangor (18,983 orang); Sarawak (17,570 orang); Johor (16,298 orang) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (12,095 orang).

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Heng Seai Kie, berkata, kajian pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mendapati terdapat pelbagai sebab berlakunya kelahiran anak luar nikah. 

Beliau berkata, antaranya pengaruh rakan sebaya, rela melakukan hubungan seks, tidak mempunyai pengetahuan berhubung kesihatan reproduktif dan seksual, kurang perhatian ibu bapa, menonton video dan laman web lucah, kurang didikan agama, perasaan ingin mencuba dan diperkosa saudara sendiri.

“Antara langkah yang dibuat ialah menggubal Dasar dan Pelan Tindakan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial Kebangsaan 2009 bertujuan meningkatkan pengetahuan di kalangan masyarakat khususnya ibu bapa dan remaja berhubung kesihatan reproduktif.

“Kementerian juga bekerjasama dengan media mengadakan kempen bagi memberi kesedaran kepada masyarakat, termasuk kepada pelajar institusi pengajian bagi menangani kelahiran anak luar nikah,” katanya di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Jidin Shafee (BN-Setiu) yang mahu tahu jumlah anak luar nikah yang direkodkan bagi tahun 2008 hingga 2010 mengikut pecahan negeri dan punca utama berlakunya masalah itu serta inisiatif kementerian bagi membendung gejala itu.

Menjawab soalan tambahan Mohd Jidin, sama ada pelaku dan juga ibu bapa boleh didakwa, Heng berkata, bagi pelaku bukan Islam ia tidak dikenakan tindakan, bagaimanapun bagi pelaku Muslim ia boleh didakwa mengikut Akta Jenayah Syariah Persekutuan 1997.


P/s: Agak-agaknya, berapakah jumlah anak yang lahir daripada ibu yang beragama Islam?


duniacacamarba.blogspot

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...