Pages

Wednesday 12 October 2011

Janin Dalam Plastik Sampah Di Rompin




KUANTAN – Sebuah beg plastik sampah yang berisi janin ditemui di tapak pelupusan sampah Bukit Ibam, dekat Muadzam Shah, Rompin hari ini.

Bungkusan plastik berwarna hitam itu ditemui seorang wanita Orang Asli yang rutin hariannya mengutip sampah kira-kira 12 tengah hari.

Wanita berusia 50-an itu terkejut apabila mendapati bayi yang tidak cukup bulan di dalam plastik sampah ketika mahu memilih sampah sarap untuk proses kitar semula.

Pemangku Ketua Polis Daerah Rompin, ACP Zainul Mujahidin Mat Yudin, berkata polis bergegas ke tempat kejadian selepas dimaklumkan perkara berkenaan.

“Siasatan awal mendapati janin itu berusia dalam lingkungan tujuh bulan. Kami percaya plastik sampah itu dikutip di sekitar bandar Muadzam Shah pagi tadi,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata, janin yang tidak dikenal pasti jantina tersebut dihantar ke Hospital Muadzam Shah untuk bedah siasat.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung perkara ini diminta menghubungi polis untuk membantu siasatan,” katanya. – BERNAMA



Rogol Cucu, Upah Ayam Goreng!!



KULIM - Tidak serik dipenjara kerana kesalahan merogol, seorang datuk sanggup melakukan perbuatan sama terhadap cucunya yang juga murid tahun tiga dan masih bersekolah. 

Lebih menyedihkan mangsa hanya diberi upah ayam goreng setelah suspek memuaskan nafsunya.

Mangsa dikatakan sering tidak ke sekolah menyebabkan gurunya bertanya tentang masalah yang dihadapinya. 

Mangsa kemudiannya menceritakan apa yang berlaku dan guru berkenaan yang terkejut dengan pengakuan itu membawa mangsa menjalani pemeriksaan di hospital. Doktor menasihatkan supaya laporan polis dibuat.

Kejadian itu kemudiannya dimaklumkan kepada waris mangsa dan suspek datang ke balai polis bersama mangsa untuk membuat laporan polis dengan menuduh bapa mangsa melakukan perbuatan tidak bermoral itu. 

Polis yang menjalankan siasatan ke atas datuk dan bapa mangsa berasa curiga lalu meminta mangsa menceritakan kisah sebenar. Barulah kanak-kanak itu mengaku dia diarahkan oleh datuknya untuk menuduh bapanya.

Setelah menjalankan siasatan terhadap datuk mangsa, akhirnya suspek mengaku melakukan perbuatan itu terhadap cucunya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Salleh berkata, sebelum ini suspek pernah menjalani hukuman penjara kerana kesalahan merogol.

“Dia pernah menerima hukuman 12 sebatan dan dipenjarakan sebelum ini. Suspek juga baru dibebaskan dari penjara. Apa yang dilakukan oleh suspek adalah satu kesalahan serius dan kes akan disiasat bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan," katanya. - SH Utara/SHAIFUL AZHAR AHMAD ALI -SH



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...