Pages

Sunday 2 October 2011

Jantung hati ku





Perpatah Melayu menyatakan “Melentur buluh biarlah dari  rebungnya”. Begitu antara pepatah Melayu yang popular sehingga kehari ini. Anak-anak jugak adalah amanah Allah SWT kepada kita. Tanpa mereka hidup kita akan terasa sunyi dan hampa. Walaupun kita mempunyai banglo yang besar, harta yang banyak dan isteri yang cantik. Tanpa anak-anak kehidupan pasangan suami isteri itu tidak memberi apa-apa erti dan makna dalam kehidupan ini. Tanpa mereka jugak kehidupan ini hilang serinya. Gelak dan tangisan mereka adalah ibarat melodi kehidupan sesebuah rumahtangga yang bahagia.

Anak-anak jugak ibarat permata dan jantung hati hidup kita. Walaupun mereka telah besar panjang dan berumahtangga. Perasaan ibu dan bapa terhadap mereka adalah seperti dahulu jugak. Tidak berubah, masih menganggap mereka ini anak-anak yang kecil dan comel itu. 

Walaupun kita adalah ibubapa yang penyayang dan adil. Masih ada jugak ibubapa yang durjana. Tidak amanah dan bertanggungjawab. Mereka ini ingat anak-anak mereka seperti  "punching bag". Salah dan marah sikit, anak-anak jadi mangsa sepak terajang dan kadang-kadang ditumbok sampai lembam mata. Apabila melihat gambar anak-anak mangsa penderaan ibu atau bapa. Rasa benci dan geram sangat pada pendera-pendera ini Allah SWT saja yang tahu. Laknatlah mereka ini cukup-cukup di dunia dan akhirat. 

Selalunya kes begini terjadi pada keluarga yang bermasalah, Seperti berlaku kes penceraian, bapa yang mengalami tekanan tempat kerja atau panas baran terlampau. Selalunya yang melakukan kes penderaan dan menyebabkan kematian adalah bapa tiri yang penagih dadah atau teman lelaki kepada ibu  yang mengambil dadah. Apabila anak-anak ini menemui ajal dari penderaan, barulah timbul keinsafan dan penyesalan yang tidak boleh dimaafkan lagi oleh sesiapa pun. Hanya hukuman yang setimpal patut dijatuhkan kepada mereka ini. 

Membesarkan anak-anak bukanlah suatu perkerjaan yang mudah. Kesabaran yang tinggi dan dedikasi serta ilmu perlu ada pada setiap ibubapa. Mendidik anak-anak boleh dilaksanakan dalam pelbagai cara iaitu, memberi nasihat, arahan, petunjuk, kelembutan, toleransi, penghargaan ataupun contoh teladan. Tapi kalau tak jalan juga, iaitu jenis yang tak makan saman, cari cara memberi hukuman yang dapat diterapkan dengan membaca buku atau berjumpa dengan orang alim yang boleh mendoakan supaya anak kita menjadi baik dan dengar nasihat ibubapa. Tapi jangan lebih-lebih pula sampai jadi kes mendera. Bersabarlah mendidik anak kerana anak itu amanah Allah SWT.

Sebagai ibubapa kita merasakan begitu susahnya untuk menahan diri untuk tidak memukul anak ketika dia melakukan suatu yang menyusahkan kita. Padahal jika kita berfikir panjang kita akan dapati bahawa pukulan itu tidaklah akan memberikan suatu manfaat yang besar dibandingkan dengan penyesalan yang akan kita terima nanti. Maka sebagai ibubapa, kita harus mengerti bagaimana cara agar kita biasa mengendalikan diri kita untuk tidak memukul mereka ketika berbuat kesalahan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Barang siapa diberi amanah oleh Allah untuk memimpin lalu ia mati (sedangkan pada) hari kematiannya dalam keadaan mengkhianati amanahnya itu, nescaya Allah mengharamkan syurga baginya.” (Hadis riwayat Bukhari)

Melalaikan hak ibu bapa dan anak termasuk perbuatan khianat terhadap amanah Allah SWT. Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya.” (Surah an-Nisa, ayat 58)

Firman-Nya lagi yang bermaksud:

“Hai orang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul (Muhammad) dan (juga) janganlah kamu mengkhianati amanah diberi kepercayaan kepadamu, sedang kamu mengetahui.” (Surah al-Anfal, ayat 27)

Meskipun ibu bapa mengetahui mendidik anak adalah tanggungjawab besar, masih ramai yang lalai dan menganggap remeh perkara itu. Kemudian, apabila anak derhaka, melawan orang tua atau menyimpang daripada aturan agama baru mereka menyalahkan anak. Sedihnya, ramai tidak sedar sebenarnya ibu bapa juga menjadi penyebab utama sikap derhaka anak-anak. Kelalaian atau kesilapan dalam mendidik anak yang tanpa disedari memberi saham kepada munculnya kenakalan remaja serta sikap durhaka kepada orang tua.

Perlu diingat bahawa menghukum anak bukan hanya dengan memukulnya sahaja, tetapi hukuman boleh diberi dalam pelbagai cara, malahan kadang-kadang pemberian hukuman dengan cara memukul sangat tidak berkesan malah dapat menimbulkan impak yang negatif.

Di bawah ini disenaraikan cara-cara memberi hukuman sebagai pendidikan kepada anak, diulangi, sebagai pendidikan kepada anak. Teknik menghukum anak ini sebagaimana yang disarankan oleh Ustaz Mohd Zawawi Yusoh dari Universiti Islam Antarabangsa:

1. Pandangan mata yang sinis – Pandangan mata ibu bapa yang memancarkan rasa cinta dan kasih sayang dapat menanam rasa cinta dalam diri seseorang anak. Begitu juga pandangan mata yang sinis dapat menimbulkan peringatan pada si anak dan boleh membuat anak terdiam.

2. Keluarkan suara dari tenggorok (mendengus) sebagai tanda tidak bersetuju dan peringatan kepada anak terhadap apa yang telah dan akan dilakukannya.

3. Puji orang lain depan dia, tetapi dengan syarat untuk memberi rasa sangsi saja kepada si anak dan mendorong si anak untuk menjadi sebagus yang dipuji.

4. Buat-buat macam tak pedulikan si anak. Ini merupakan keterbalikan daripada sikap memberi perhatian yang dapat menanam rasa cinta pada diri anak. Contohnya, jika anak melakukan kesalahan dan hendak diberi hukuman, apabila si anak mengajak berbicara, maka palingkanlah wajah (konon-konon jual mahal la… ) sehingga si anak menyedari kesilapannya. Dalam hal ini hendaklah dijelaskan kesalahannya dengan cepat dan tidak membiarkannya terus sebab peranan kita ialah mendidik bukan menyeksa.

5. Tidak bagi duit, tak mengajaknya berekreasi atau tidak memberikan sesuatu yang dia suka seperti basikal, bermain video game, menonton TV, berkunjung ke rumah teman, saudara atau seumpamanya.

6. Putuskan hubungan dengan anak tapi tidak lebih tiga hari dengan niat untuk menghukumnya, hubungan harus kembali seperti biasa jika anak telah mengakui kesalahannya atau menyesali perbuatannya.

7. Beri ancaman dengan syarat ancaman tersebut tidak terlalu berat. Ancaman tersebut juga tidak boleh dilaksanakan sekiranya belum melewati tempoh yang diberikan untuk si anak mengakui dan memperbaiki kesalahannya.

8. Memulas telinga. Sebagaimana yang pernah dilakukan Rasulullah S.A.W seperti yang diriwayatkan oleh Imam Nawawi dari Abdullah bin Basr al-Mazni r.a, dia berkata : Aku telah diutuskan oleh ibu ku dengan membawa beberapa biji anggur untuk disampaikan kepada baginda, ketika aku menemui Rasulullah S.A.W, baginda memulas telinga ku sambil berkata “Wahai penipu!”

9. Memukul sebagai alternatif terakhir. Oleh itu tidak dibenarkan memukul kecuali telah dilakukan semua cara-cara mendidik dan menghukum lainnya. Memukul anak dapat dilakukan jika cara-cara yang lain tidak lagi berfungsi dan si anak telah mencapai umur, sebab anak yang belum mumaiyyiz tidak dapat membezakan yang benar atau yang salah serta tidak menyedari kesalahannya. Jika dilakukan juga dikhuatiri anak menerima impak negatif seperti tekanan jiwa/batin, terbiasa untuk memukul, rasa takut, kencing malam dan penyakit kejiwaan lainnya.



Anak-anak akan mendapatkan apa yang kita semaikan dalam sifat hati nurani mereka dalam kehidupanya ini.

Sekiranya kita tanamkan sifat-sifat ini…….

Jika anak-anak  diasuh dengan KEANGKUHAN, dia belajar erti TAKABUR,
Jika anak-anak  diasuh dengan KELEMAHAN, dia belajar erti HINA DIRI, 
Jika anak-anak  diasuh dengan PERMUSUHAN, dia belajar MEMBENCI,
Jika anak-anak  diasuh dengan PENTINGKAN DIRI, dia belajar erti MENGKHIANATI.

Namun jika kita semaikan sifat-sifat ini…..

Jika anak-anak  diasuh dengan NILAI INSANI, dia belajar HARGA DIRI. 
Jika anak-anak  diasuh dengan KEPAYAHAN dia belajar erti MENGASIHI. 
Jika anak-anak  diasuh dengan BALAS BUDI, dia belajar erti MENSYUKURI. 
Jika anak-anak  diasuh dengan MENUKIL KARYAdia belajar MANFAAT ILMU. 
Jika anak-anak  diasuh dengan DIDIKAN TAQWA, dia belajar erti HAYATI AGAMA. 
Jika anak-anak  diasuh dengan JIWA RAKYAT, dia belajar MUAFAKAT.
Jika anak-anak  diasuh dengan PENGALAMAN, dia belajar erti HAKIKAT KEHIDUPAN.

Sebagai penutup, pendidikan agama menjadi tunjang dalam asuhan. Ini kerana melalui agamalah mereka akan mengenal erti akhlak yang dituntut dalam Islam. Sebagai ibu bapa yang baik dan taat dengan perintahNya hendaklah kita selalu mendoakan keselamatan, kesejahteraan dan mendidik anak-anak sebagai pewaris kita dan keturunan kita yang akan datang supaya dirahmati Allah SWT dan memperolehi kebahagiaan di dunia dan di akhirat nanti.

Wasallam

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...