Pages

Wednesday 7 September 2011

Pelajar Yatim Piatu Catat Keputusan Cemerlang

(23 Mac 2011, Bernama)-- Ayahnya meninggal dunia dalam tidur pada 2008 dan ibunya meninggal dunia kerana kanser usus pada tahun berikutnya, membuatkan Ahmad Ibrahim Zakaria berasa masa depannya gelap.

Pada mulanya sukar baginya untuk menerima pemergian ayahnya Zakaria Nor, 45 dan ibunya Norhana Ismail, 43 namun dengan dorongan dan bantuan daripada sanak saudara, guru-guru dan rakan-rakan, dia muncul salah seorang pelajar cemerlang yang mendapat 11A+ dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010.

"Saya rasa sukar pada mulanya tetapi dengan kekuatan yang diberikan oleh Allah SWT serta dorongan ayah dan emak saudara, guru-guru dan rakan-rakan saya dapat lulus cemerlang SPM ini," katanya.

Anak keempat daripada lapan beradik itu ditemui pemberita selepas menerima Anugerah Pelajar Cemerlang Kategori Cemerlang Tertinggi daripada Pengarah Jabatan Pelajaran Johor, Markom Giran di sini Rabu.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Maahad, Muar itu bercita-cita untuk melanjutkan pelajarannya ke Jerman dalam bidang Kejuruteraan Nuklear bagi mengikut jejak langkah tiga kakaknya iaitu seorang belajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, seorang di Kaherah dan seorang lagi menjalani kursus persediaan untuk belajar di United Kingdom.

Ahmad Ibrahim berharap empat orang adik perempuannya akan turut cekal hati untuk belajar dan cemerlang dalam pelajaran walaupun mereka yatim piatu.

Sementara itu, pelajar Sekolah Menengah Convent Muar Lee Jia Ning turut menerima anugerah bagi kategori yang sama

Ibu bapa Jia Ning ketika ditemui pula berkata mereka berasa amat terkejut apabila dimaklumkan anak mereka itu adalah pelajar terbaik di kalangan lapan pelajar yang mendapat 11A+ di negeri ini.

"Bila saya diberitahu saya tanya balik sama ada perkara ini betul kerana saya betul betul terkejut dengan pencapaian Jia Ning," kata Lee Tee Eng,55.

Beliau yang gembira dengan pencapaian Jia Ning berkata anak perempuan bongsu daripada empat beradik itu sememangnya mempunyai disiplin diri yang tinggi dan sebagai ibu bapa mereka hanya memberi bimbingan kepada Jia Ning manakala jadual belajar dan beriadah harian ditetapkannya sendiri.

Beliau yang baru sahaja bersara sebagai pegawai kewangan sebuah kilang elektronik berharap anaknya itu dapat melanjutkan pelajaran di dalam bidang perubatan di bawah tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Ini memandangkan pengajian di dalam bidang itu memerlukan perbelanjaan tinggi sedangkan beliau sudah bersara dan tiga anaknya yang lain masih belajar.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...