Pages

Thursday 18 August 2011

Pelajar Pulangkan "Interlok" Didakwa Ugut Mahu Bunuh Guru




Saya petik:
[HM] HULU SELANGOR: Tiga pelajar tingkatan lima sebuah sekolah menengah di sini, bertindak samseng dengan mengugut untuk membunuh seorang guru disiplin, kelmarin.

Difahamkan, kumpulan terbabit bertindak demikian kerana tidak puas hati apabila guru terbabit enggan menerima buku teks yang mahu dipulangkan mereka.

Berikutan itu, ketiga-tiga pelajar terbabit ditahan pihak berkuasa sejurus guru lelaki berkenaan membuat laporan polis berhubung insiden berkenaan.

Kejadian itu bermula kira-kira jam 11 pagi apabila tujuh pelajar sekolah berkenaan pergi ke pejabat sekolah bertemu pengetua untuk memulangkan buku teks yang enggan digunakan mereka.

Menurut sumber, tindakan tujuh pelajar itu yang berlagak samseng dengan meluru masuk ke pejabat sekolah tanpa meminta kebenaran bagaimanapun cuba dihalang guru berkenaan.
“Hairan dengan tindakan pelajar terbabit, guru disiplin itu bertanyakan tujuan mereka mahu berjumpa pengetua dan mereka memberitahu mahu memulangkan buku teks yang tidak mahu digunakan lagi.

“Guru itu menjelaskan kepentingan dan salah faham yang timbul mengenai buku berkenaan yang dianggap memberi ilmu pengetahuan kepada pelajar,” katanya.

Namun, pelajar terbabit tidak puas hati dengan penjelasan guru itu dan menganggap dia sengaja menghalang mereka bertemu pengetua dan mula bertindak biadab dengan meninggikan suara.

Sumber berkata, guru disiplin yang tergamam dengan tindakan pelajar terbabit cuba menenangkan keadaan dan menjelaskan perkara sebenar.

“Bagaimanapun, keadaan menjadi kecoh apabila tiga daripada pelajar terbabit mengugut guru itu kerana mendakwa dia menyinggung perasaan mereka,” katanya.

Bimbang keselamatan diri berikutan ugutan pelajar terbabit, guru berkenaan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor, di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affendy ketika dihubungi mengesahkan penahanan ketiga-tiga pelajar itu. - Raja Noraina Raja Rahim


P/s: Malang kerana pelajar-pelajar ini berkemungkinan tidak pun membaca novel itu, namun terus menerima segala-gala perkara buruk yang dibangkitkan oleh sesetengah pihak.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...