Pages

Monday, 7 November 2011

Gadis ini terpaksa gadai tubuh ganti telefon bimbit


MUAR - Hanya kerana takut dengan ugutan teman lelaki yang menuntut semula telefon bimbit dan wang yang diberi sebelumnya, seorang gadis berusia 15 tahun terpaksa merelakan tubuhnya dijamah lelaki terbabit sebagai ganti.


Episod hitam itu bermula apabila remaja terbabit mengambil keputusan ingin memutuskan hubungan bersama teman lelakinya yang sudah terjalin sejak dua tahun lalu.
Walau bagaimanapun, remaja itu gagal memulangkan telefon bimbit yang diminta kerana ia telah dirampas pihak sekolah ketika pemeriksaan mengejut dilakukan ke atasnya.

Sejak itu, mangsa mendakwa sering menerima ugutan dan pertama kali terpaksa merelakan tubuhnya dijamah teman lelakinya di sebuah kebun yang terletak hanya kira-kira 100 meter dari ru­mahnya.

Namun, dia tidak menyang­ka kejadian pertama itu berulang yang akhirnya dia dirogol beberapa kali oleh teman lelakinya, tetapi tetap merahsiakan perkara tersebut daripada pengetahuan ibu bapanya.

Ibu mangsa, Zaleha (bukan nama sebenar) berkata, sikap pelik anaknya menimbulkan tanda tanya kepada dirinya.

“Saya ada bertanya kepada Ain (bukan nama sebenar) mengenai sikap peliknya itu. Pada awalnya dia tidak mahu bercerita kepada saya.

“Setelah dipaksa alangkah terkejutnya saya apabila diberitahu dia dirogol teman lelakinya,” katanya kepada Sinar Harian kelmarin.

Menurutnya, kerana tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku, dia segera ke Balai Polis Parit Jawa pada 24 September lalu untuk membuat laporan.

“Saya juga ada menghantar Ain ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini, untuk buat pemeriksaan kesihatan,” katanya.

Menurut Zaleha, dia mengenali lelaki terbabit kerana bekerja dalam satu kawasan perindustrian dengannya di Muar.

Katanya, anaknya mula mengenali Johan (bukan nama sebenar) dalam majlis makan malam sempena Tahun Baru Cina di kilang tempat dia bekerja.

“Pada pertemuan itu, mereka saling bertukar nombor telefon dengan bermula sekadar teman biasa, sebelum akhirnya menjadi pasangan kekasih.

“Sejak dari itu, saya lihat Ain berubah sikap dan menjadi anak yang tidak menghormati orang tua,” katanya.

Menurutnya, Ain juga menjadi pelajar bermasalah dan enggan ke sekolah sehingga menyebabkan pelajarannya merosot.

“Disebabkan bimbang dengan pelajaran Ain memandangkan dia bakal menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), saya segera menyiasat perkara ini.

“Saya menyamar menjadi Ain dan berhubung dengan Johan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS),” ka­tanya.

Dari penyamaran itu katanya, dia dapat mengetahui bahawa Johan selama ini menyamar sebagai lelaki berusia 19 tahun, sedangkan usia sebenarnya ialah 30-an dan telah berkahwin serta memiliki dua anak.

Katanya, Johan sangat licik dengan menggunakan ayat-ayat manis memikat anaknya selain memberi telefon bimbit dan wang untuk memperdaya anaknya.

“Saya berharap pihak polis segera menyiasat perkara ini dan mengambil tindakan sewajarnya di atas kesalahan yang telah dilakukannya.

Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi berkata, pihaknya mengesahkan laporan yang telah dibuat.

Mengulas mengenai kes tersebut, Kadi Daerah Pontian, Ustaz Fauzi Bacik menasihatkan golongan remaja menjaga adab dan batas-batas pergau­­lan supaya tidak tersalah memilih rakan.

“Perkara yang berlaku kerana tiada batas antara mahram, yang memungkinkan seseorang itu terjerumus ke dalam keadaan ini seterusnya berlaku rogol.

“Kita kena bersikap pilih teman supaya tidak tersalah berkawan yang akhirnya individu itu mengambil kesempatan ke atas remaja ini, jika perlukan pertolongan kena memilih rakan yang benar-benar kenal,” katanya semalam.



http://penburukonline.blogspot.com/2011/11/gadis-ini-terpaksa-gadai-tubuh-ganti.html

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...