Gambar Hiasan |
Saya petik:
Dilarang ambil peperiksaan kerana bimbang jejas prestasi sekolah
[BH] KUCHING: Tiga murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Bintangor di Bintangor, dalam Bahagian Sarikei, tidak dibenarkan menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) kerana mereka dianggap lemah dan dibimbangi boleh menjejas prestasi keseluruhan sekolah itu.
Ketiga-tiga murid lelaki terbabit, Idie Ganyol, Edward Ujoh Augustine dan Richmend Mangi dikurung di bilik pemulihan sekolah, sementara rakan sekelas lain menduduki peperiksaan berkenaan pada 13 dan 14 September lalu.
Mereka hanya dibenarkan menduduki peperiksaan pada 15 September, iaitu pada hari terakhir UPSR, selepas ibu bapa mereka membuat aduan kepada polis.
Difahamkan ketiga-tiga murid terbabit dikunci di dalam bilik pemulihan mulai jam 8 pagi hingga tengah hari pada kedua-dua hari berkenaan. Pasukan polis yang tiba di sekolah itu pada 15 September menemui murid terbabit dikurung dalam bilik berkenaan.
Sementara itu, Ketua Polis Bintangor, Deputi Superintendan (DSP) Mohd Hafifi Mohd Salim, mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu daripada ibu bapa murid terbabit.
“Kita mendapati ketiga-tiga murid itu dikunci dalam bilik untuk mengelak mereka daripada menduduki peperiksaan kerana pihak sekolah mendakwa murid terbabit lemah dalam pelajaran dan boleh menjejas pencapaian sekolah,” katanya ketika dihubungi semalam.Bagaimanapun, beliau menyifatkan kes itu sudah ditutup kerana ibu bapa murid terbabit bersetuju menarik balik laporan polis yang dibuat.
“Pihak Jabatan Pelajaran juga sudah dimaklumkan. Kami dimaklumkan tindakan akan diambil terhadap guru besar sekolah terbabit,” katanya.
Mengulas perkembangan sama, Menteri di Pejabat Ketua Menteri, Datin Fatimah Abdullah, kesal dengan tindakan pengurusan sekolah terbabit.
“Saya belum menerima laporan secara rasmi. Kita serahkan kepada polis untuk menyiasat. Bagaimanapun, kejadian seperti ini tidak seharusnya berlaku kerana semua murid Tahun Enam berhak menduduki UPSR, tak kira sama ada mereka bijak atau lemah,” katanya.
Guru besar sekolah itu dan Jabatan Pelajaran Sarawak bagaimanapun tidak dapat dihubungi untuk komen.
P/s: Lahanat betul GB dan pihak yang terbabit dengan kes ini. Ibu bapa ketiga-tiga orang murid yang diperlakukan sedemikian rupa tidak wajar menarik balik laporan polis. Mengapa perlu menarik laporan polis yang telah dibuat semula? Kes ini amat serius! Mereka juga perlu mengambil tindakan menyaman pihak yang terlibat kerana telah menjejaskan masa depan anak mereka hanya semata-mata mahu menjaga prestasi akademik sekolah!
No comments:
Post a Comment