Pages

Tuesday, 23 August 2011

Remaja lari dari rumah kerana ganja



KUALA LUMPUR: Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang dilaporkan tidak pulang ke rumah selama dua minggu bukan saja dicekup ketika menggoreng nasi ayam pada pagi Ramadan, tetapi ketika tangkapan remaja itu didapati ‘lalok’ selepas menghisap ganja di sebuah rumah di Keramat, minggu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, Timbalan Presiden Pertubuhan Kebajikan Sahabat Insan dan Iman Malaysia (Sidim), Ahmadi Baharudin yang diminta pertolongan daripada bapa remaja terbabit bergegas ke tempat kejadian selepas menerima maklumat tempat persembunyiannya di sebuah rumah.

“Ketika sampai di rumah persembunyian itu, kami mendapati remaja terbabit menggoreng nasi ayam sambil kepalanya lentok kerana menghisap ganja,” katanya.

Menurut Ahmadi, beliau difahamkan remaja terbabit pengedar di kawasan berkenaan.

“Soal siasat mendapati remaja terbabit mempunyai banyak rekod buruk dan pernah memasuki kem pemulihan kami di Bukit Beruntung, Hulu Selangor. Kami juga mendapat tahu remaja itu bekas pelajar sekolah agama,” katanya.

Katanya, bapa remaja terbabit memberitahu anaknya sepatutnya masih bersekolah di Wangsa Maju, namun mulai liar dan meninggalkan bangku sekolah sejak beberapa bulan lalu selepas terpengaruh dengan rakan-rakannya yang juga ahli kongsi gelap.

“Difahamkan, remaja terbabit tidak pulang ke rumah sejak awal Ramadan lalu selepas berang dengan ibu bapanya yang menegurnya menghisap rokok dan ganja, tidak berpuasa selain memaki-hamun seluruh anggota keluarga sejurus perangainya ditegur,” katanya.

Menurut Ahmadi, remaja terbabit kini dibawa ke pusat pemulihan akhlak di Bukit Beruntung untuk mengubati penyakit jiwa. - Mymetro

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...