Johor Baharu: “Makcik tetap menanti kepulangan mereka setiap kali menjelang Aidilfitri biar pun Ina sanggup menipu kononnya mahu bercuti ke New Zealand,sedangkan dia sebenarnya berhijrah ke sana semata-mata mahu melepaskan tanggung jawab menjaga mak cik,” kata warga emas, Robiah Razali, 66, di sini, semalam.
Menceritakan kisah malang hidupnya, Robiah berkata, dia hidup sebatang kara di perumahan Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) Taman Desa Bukit Mutiara, Tebrau, selain menagih kasih dan ihsan jiran selepas kedua-dua anaknya tidak lagi mempedulikannya.
Robiah berkata, anak sulungnya, Salim Ahmad, 40, melepaskan tanggung jawab untuk menyaranya dengan alasan tiada pekerjaan tetap di Kuala Lumpur manakala anak bongsunya, Ina, 36, gagal menghubunginya sejak lima tahun lalu apabila berhijrah ke New Zealand.
Menurut Robiah, keadaan itu menyebabkan dia terpaksa menguruskan hidupnya bersendirian biar pun dimamah usia selain menghidap kencing manis.
“Mak cik bukan mahu mengaibkan anak tetapi sekurang-kurangnya dapat meringankan beban di hati jika dapat berkongsi nasib malang ini.
“Mak cik kehilangan suami, Ahmad Budin, pada 1978 ketika berusia 33, sejak itu mak cik tidak pernah terlintas untuk berkahwin semula demi anak, mak cik membesarkan serta menyekolahkan anak dengan bekerja sebagai tukang masak di restoran selain wang pencen suami,” katanya.
Menurut Robiah, masalah timbul selepas kedua-dua anaknya berumah tangga dan kehadiran warga emas berkenaan dalam keluarga mereka dianggap sebagai beban.
Robiah berkata, kini dia terputus hubungan dengan Salim mahu pun Ina yang tidak lagi menziarahinya, termasuk pada Aidilfitri.
“Ina turut tergamak menipu mak cik dengan memberi alasan mahu bercuti ke New Zealand, sedangkan dia merancang meninggalkan mak cik dan kini hidup mewah di sana.
“Keadaan itu mengakibatkan mak cik terpaksa bergantung sepenuhnya kepada wang pencen bulanan arwah suami berjumlah RM350 yang perlu diagihkan untuk membayar sewa rumah,” katanya.
Menurut Robiah, setiap kali bersahur, dia hanya meminum susu kerana bimbang kehabisan barangan dapur, namun bersyukur mempunyai jiran berhati mulia yang sanggup berkongsi makanan ketika berbuka puasa.
Katanya, jiran juga pernah menyumbangkan bantuan ketika dia terputus bekalan makanan selain membelikan basikal elektrik bagi memudahkan pergerakannya untuk ke surau.
“Biarpun terguris dengan perbuatan anak, mak cik tidak pernah lupa mendoakan kebahagiaan mereka.
“Ibu mana yang tidak mengingati anak, mak cik harap dapat bertemu kembali dengan mereka dan cucu pada Aidilfitri ini dan seperti biasa, mak cik akan memasak juadah kegemaran mereka,” katanya.
Robiah antara 100 penerima yang ditemui pada Penyampaian Bantuan Ibu Tunggal di PPRT Bukit Mutiara sumbangan ahli perniagaan, Baazlan Ibrahim selain Scenic Route Sdn Bhd yang diwakili pengarah eksekutifnya, Brian Tan Chong Beng.
Scenic Route Sdn Bhd menaja sumbangan berbentuk barangan keperluan asas berjumlah RM4,000 dan menurut Brian, program julung kali syarikatnya itu bertujuan meringankan beban golongan memerlukan. -hm
No comments:
Post a Comment