Pages

Sunday, 7 August 2011

Bapa mohon bantuan rawat anak khunsa




KUALA TERENGGANU - Tatkala umat Islam lain bergembira menyambut Ramadan dengan pelbagai juadah berbuka puasa, seorang bapa di Kampung Tuan Chik Haji di sini, hanya mampu termenung mengenang nasib anaknya yang menghidap penyakit ketumbuhan buah pinggang.

Bagi Marzuki Rani, 50, seorang nelayan dengan pendapatan tidak menentu saban bulan, Ramadan dan Aidilfitri yang bakal menjelang tidak membawa sebarang pengertian apabila seorang daripada 12 anaknya disahkan menghidap penyakit berkenaan, selain memiliki dua kemaluan, atau lebih tepat khunsa.

Anaknya, Muhammad Aidiel Ashraf Mustaqin Marzuki, 5, perlu diberi rawatan rapi walau apapun halangan yang terpaksa dihadapi, termasuk kekangan kewangan.

Marzuki berkata, penyakit anak kesebelasnya itu mula dikesan apabila darah keluar ketika Muhammad Aidiel membuang air kecil sekitar Oktober tahun lepas.

“Isteri saya, Rokiah Nasir, 41, mendapati kencing anak kami berdarah, lalu membawanya ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan dan kemudian dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi menjalani pembedahan,” katanya ketika ditemui semalam.

Marzuki berkata, mulai saat itu, dia sering kesuntukan duit kerana terpaksa berulang alik merawat anaknya di HSNZ dan Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Sepanjang tempoh pembedahan dan menjalani rawatan susulan anak di HKL pada 20 November lepas, saya terpaksa mencari duit sehingga RM12,000 untuk makan minum dan tambang,” katanya.


Bedah enam minggu lagi

Menurutnya, Muhammad Aidiel kini mendapat rawatan susulan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan dua kali seminggu, iaitu pada Ahad dan Khamis, untuk memasukkan ubat kemoterapi bagi menghilang rasa sakit dan tidak bermaya anaknya itu.

“Setiap kali isteri saya pergi di HUSM Kubang Kerian, dia memerlukan sekurang-kurangnya RM300 dan RM500 untuk kemoterapi dan perbelanjaan makan minum serta tambang perjalanan.

“Saya cuma nelayan, mana nak dapatkan duit sebanyak itu setiap kali pergi mendapatkan rawatan di sana,” katanya.

Marzuki juga berkata, memandangkan Muhammad Aidiel khunsa, seorang doktor mengesyorkan anaknya itu menjalani pembedahan membuang kemaluan perempuan dan ia dijangka dilakukan dalam tempoh enam minggu lagi.

Bagaimanapun, dia tidak tahu di mana pembedahan itu akan dilakukan kerana belum dimaklumkan doktor.

Selain itu, Muhammad Aidiel berdepan masalah mata yang dipercayai mempunyai kaitan dengan penyakit ketumbuhan buah pinggang yang dihidapnya.

Marzuki berkata, dia menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 sebulan.

“Walaupun dapat bantuan daripada JKM, ia masih belum cukup untuk saya merawat anak. Saya cuba juga minta bantuan daripada sumber lain, namun sehingga kini masih hampa,” katanya sayu.

Sesiapa yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Marzuki menerusi talian 019-9812337. BERNAMA 

Read more: http://kafesantai.blogspot.com/2011/08/bapa-mohon-bantuan-rawat-anak-khunsa.html#ixzz1ULintxCE

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...